Thursday, September 10, 2015

Empat Juta Rakyat Malaysia Merokok Setiap Hari


Rabu, 9 September 2015

KOTA KINABALU: Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Sabah Datuk Jainab Ahmad Ayid berkata tinjauan pada 2011 oleh Kajian Perokok Dewasa Global (GATS) mendapati kira-kira 4.3 juta atau 20.9 peratus penduduk Malaysia mengamalkan tabiat merokok setiap hari.

Beliau berkata tinjauan itu menunjukkan bahawa bilangan perokok tersebut terdiri daripada 39.9 peratus lelaki dewasa dan 0.7 peratus wanita dewasa.

"Antara 10 dan 15 peratus atau lebih 100,000 kematian setiap tahun di negara ini disebabkan penyakit berkaitan dengan merokok. Pengguna tembakau bertanggungjawab menyumbang kepada apa yang sebaliknya boleh dicegah," kata Jainab ketika menutup Seminar Mengenai Bahaya Merokok di sini, Rabu.

Seminar itu dianjurkan oleh Majlis Penasihat Wanita Sabah dan dihadiri kira-kira 200 pelajar sekolah menengah, guru-guru, penjawat awam dan persatuan ibu bapa.


Jainab berkata asap rokok boleh menyebabkan kematian kepada lebih lapan juta manusia setiap tahun pada 2030.

Beliau turut memberi amaran bahawa merokok dalam kalangan remaja adalah satu trend yang membimbangkan dan jika tidak dikawal boleh menjadi semakin buruk pada masa hadapan.

"Dalam banyak kes penagihan dadah, bermula dari merokok. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyatakan kadar kelaziman merokok dalam kalangan lelaki Malaysia berumur lebih 15 tahun pada 2008 adalah 43 peratus dan tiga peratus bagi wanita," katanya.

No comments:

Sila klik