Sunday, September 13, 2015

Kehilangan Kevin terus misteri


Kevin Anthony Morais

ROKIAH ABDULLAH 
DAN TERMIZI CHE ANUAR | 07 September 2015

KUALA LUMPUR 6 Sept. - Kes kehilangan Timbalan Ketua Bahagian Perbicaraan dan Rayuan di Jabatan Peguam Negara, Kevin Anthony Morais sejak kelmarin masih misteri memandangkan siasatan polis sehingga kini belum menunjukkan perkembangan positif.

Malah, peranan Kevin sebagai Timbalan Pengarah Bahagian Perundangan dan Pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum ini turut memberi kesan terhadap misteri kehilangan terbabit.

Kevin bertugas dengan Badan Pencegah Rasuah (BPR) dan SPRM selama hampir 10 tahun sebelum kembali ke Jabatan Peguam Negara (AGC) pada 1 Julai tahun lalu.

Sepanjang tempoh itu, beliau pernah mengendalikan prosiding pendakwaan di mahkamah melibatkan pelbagai kes berprofil tinggi.

Persoalan sekarang, adakah Kevin diculik?

Difahamkan sehingga kini, keluarga mangsa juga belum dihubungi mana-mana pihak yang meminta wang tebusan.

Bagaimanapun, penemuan sebuah kereta terbakar dipercayai hampir sama dengan model mangsa di ladang kelapa sawit di Kampung Sungai Samak, Hutan Melintang, Perak pada pukul 10 pagi semalam menimbulkan pelbagai andaian orang awam.

Buat masa ini, polis belum dapat mengesahkan sebuah kereta yang ditemukan itu ada kaitan dengan Kevin.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, ini kerana sehingga kini polis belum menemukan sebarang bukti atau dokumen pada kereta tersebut termasuk model sebenar kenderaan itu.

“Polis gagal menemukan nombor casis kenderaan kerana keadaannya yang terbakar seratus peratus.

“Justeru, kita tidak boleh mengaitkan kenderaan ini dengan mana-mana identiti atau personaliti,” katanya.

Sementara itu, satu sumber memberitahu, casis kenderaan yang ditemukan terbakar berkemungkinan besar dikikis bagi tujuan menghilangkan bahan bukti.

Mohd. Shuhaily ketika diminta mengulas perkara itu berkata: “Pe­nemuan kenderaan ini merupakan satu perbuatan jenayah yang telah dirancang dengan begitu rapi.”

Beliau memberitahu, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan iaitu khianat menggunakan api.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Zainuddin Ahmad berkata, pihak­nya sedang menyiasat kes tersebut sebagai laporan orang hilang.

“Kita juga akan menyiasat kemungkinan kaitan antara kende­raan itu dengan kehilangan mangsa,” katanya ketika dihubungi di sini.

Kevin dilaporkan hilang selepas kali terakhir dilihat meninggalkan kediamannya di Menara Duta untuk keluar bekerja pada pukul 9 pagi kelmarin.

Mangsa pada masa itu dikatakan keluar rumah untuk pergi ke tempat kerja di Pejabat Peguam Negara, Putrajaya dengan memandu sendiri kereta milik kerajaan Proton Perdana berwarna kelabu bernombor pendaftaran WA 6264 Q.

Seorang rakan mangsa cuba menghubungi Kevin pada hari ber­kenaan, namun tidak dijawab sebelum bertindak menghubungi abang mangsa, Datuk Richard Morais yang kemudian membuat laporan polis berhubung kehilangan mangsa di Balai Polis Jinjang pada pukul 6 petang semalam.

Kehilangan Kevin itu turut menjadi viral dalam media sosial apabila ahli keluarganya merayu untuk mendapatkan maklumat berhubung kehilangan tersebut.

Sementara itu, Richard ketika dihubungi enggan mengulas lanjut tentang kehilangan adiknya.

“Kami sekeluarga menyerahkan kepada polis untuk siasatan lanjut,” ujarnya.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/kehilangan-kevin-terus-misteri-1.132549#sthash.j02RQpOO.dpuf

No comments:

Sila klik