Thursday, September 17, 2015

Latih anak tempatan berkhidmat jadi guru



NAJIB bersalaman dengaan orang ramai ketika hadir pada sambutan Hari Malaysia, di Padang Merdeka Kota Kinabalu.

Kota Kinabalu: Kerajaan akan memastikan dalam tempoh tiga tahun akan datang, sebanyak 90 peratus guru di negeri itu terdiri daripada anak watan tempatan.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, keputusan ini dilakukan selepas mendapati kebanyakan guru yang berkhidmat di negeri itu terdiri daripada guru Semenanjung.

“Anak watan akan dilatih sebaik mungkin dan jika kurang daripada segi akademik, kita melatih mereka sehingga berjaya dipertingkatkan.

“Apa yang penting, mereka dapat mengajar dalam kalangan komuniti mereka sendiri, berada di sisi masyarakat selain komited melihat anak bangsa berjaya memiliki pendidikan tertinggi. Ini adalah hadiah kepada rakyat Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan sambutan Hari Malaysia 2015 di Padang Merdeka, di sini, malam tadi.

Turut hadir, Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin dan isteri, Toh Puan Norlidah RM Jasni; Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman dan isteri, Datin Seri Faridah Tussin; Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria; Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia; Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Mohd Salleh Said Keruak dan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri Datuk Seri Masidi Manjun.

Najib berkata, kerajaan sentiasa mendengar isi hati rakyat Sabah berikutan hubungan erat antara kerajaan negeri dan Kerajaan Pusat.

“Hubungan erat dan intim ini adalah kuncinya dan saya minta supaya hubungan ini dipertahankan dalam usaha memastikan negeri ini lebih maju di bawah pimpinan Kerajaan Pusat.

“Perjalanan kita masih jauh, tetapi jika ini bayangannya, sudah pasti impian dan tujuan kita dapat dicapai,” katanya.

Terdahulu, Najib turut menegaskan Kerajaan Pusat sudah mula melaksanakan pemerkasaan kuasa (empowerment) kepada kerajaan negeri bagi menghormati hak penduduk Sabah.

“Saya tahu Sabah merdeka dalam Malaysia bukan satu perkara mudah, termasuk mendapat tentangan daripada pemimpin masyarakat Dusun ketika itu.

“Tetapi, akhirnya mereka (masyarakat) bersetuju untuk menyertai Malaysia dan kita (kerajaan) mendengar isi hati rakyat Sabah yang mahu peranan lebih besar, projek pembangunan dan lokasi yang sesuai untuk dimajukan.

“Atas sebab inilah, saya menurunkan kuasa kepada kerajaan negeri,” katanya.

Sementara itu, sambutan itu dihadiri lebih 50,000 pengunjung, termasuk pelancong asing yang tiba seawal jam 3 petang menyaksikan pelbagai acara dan persembahan daripada artis tempatan selain pertunjukan bunga api.

Kemuncak perayaan diisi upacara menandatangani buku catatan Hari Malaysia 2015 ditandatangani sendiri pemimpin Kerajaan Pusat dan negeri termasuk wakil dari Sarawak.

Buku catatan itu akan diletakkan di Arkib Negeri Sabah untuk tatapan generasi akan datang.


Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 September 2015 @ 9:59 AM
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/78196#sthash.6E3IoIoh.dpuf

No comments:

Sila klik