Saturday, June 25, 2011

Sepah Juara Maharaja Lawak, Kongsi RM350,000

Kumpulan Sepah menjadi juara Maharaja Lawak yang diadakan di Stadium Malawati,Shah Alam, Jumaat.
SHAH ALAM: Selepas 13 minggu bertanding, akhirnya gelaran juara Maharaja Lawak berjaya menjadi milik kumpulan Sepah apabila mereka memperoleh markah tertinggi, dalam pertandingan tersebut yang berlangsung di Stadium Malawati, di sini malam Jumaat
Kemenangan Sepah yang terdiri daripada Mamat, Shuib dan Jep melayakkan mereka membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM350,000 dan sebuah trofi sumbangan Astro.
Gelaran naib juara pula dimenangi oleh kumpulan Jozan (Johan dan Zizan)dengan menerima hadiah wang tunai sebanyak RM250,000 berserta sebuah trofi manakala Nabil mendapat tempat ketiga dengan hadiah wang tunai RM150,000 dan sebuah trofi.

Thursday, June 23, 2011

Kebaikan makan pisang

Oleh KUMARA SABAPATTY
kumara.sabapatty@kosmo.com.my



PISANG murah dan mengandungi potasium yang amat berguna dalam menentang masalah kesihatan seperti strok.


PISANG sering menjadi pencuci mulut di negara ini. Secara amnya, kandungan potasium pisang menyebabkan ia disyorkan oleh para doktor untuk pesakit yang kekurangan sumber itu.

Sebagai contoh, sebiji pisang sepanjang 22 sentimeter (sm) mengandungi 600 miligram potasium.

Pakar perunding diet, Indra Balaratnam berkongsi maklumat berguna tentang khasiat buah pisang.

Menurut Penolong Setiausaha Persatuan Pakar Diet Malaysia itu, kajian makmal menunjukkan pisang mengandungi kanji sebanyak 20 peratus dan gula satu peratus.

“Ketika pisang berubah warna menjadi kuning dan sedia untuk dimakan, kandungan gula akan berpecah kepada 66 peratus sukrosa, 14 peratus fraktosa, dan 20 peratus glukosa.

Sunday, June 19, 2011

Zami Ismail Meninggal Dunia Akibat Masalah Jantung


Zami Ismail (tengah) bersama dua lagi pelakon sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu, Imuda (kiri) dan Khatijah Tan.
KUALA LUMPUR: Pelawak veteran, Zami Ismail, 67, meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) dekat sini, kira-kira pukul 10.30 pagi Ahad akibat kegagalan jantung.
Anak ketiga Allahyraham yang juga pelakon dan pengarah Mohd Soupi Zami (Opie Zami), 37, berkata, ayahnya sempat berpesan kepada semua anaknya agar berbuat baik sesama manusia.
"Keadaan dia (Allahyarham) berada dalam keadaan biasa saja dan pergi dengan tenang. Dia sempat berpesan kepada kami semua agar berbuat baik sesama manusia," katanya yang ditemui di perkarangan rumah mayat IJN, di sini, Ahad.
Menantu sulung Allahyarham, Azizah Amdih, 35, berkata, Allahyarham yang dimasukkan ke IJN sejak dua minggu lalu dilaporkan tenat pada malam Sabtu dan terpaksa bergantung hidup dengan bantuan mesin perubatan.
"Doktor memberitahu jantungnya sangat lemah dan terpaksa dirawat di Unit Rawatan Kritikal (CCU) sehinggalah pada malam tadi (Sabtu) keadaanya menjadi semakin tenat. Bagaimanapun Allah lebih sayangkan dia," katanya kepda mStar Online ketika dihubungi di sini, Ahad.
Jenazah Allahyarham dibawa keluar dari rumah mayat Institut Jantung Negara, Kuala Lumpur untuk disemadikan di kampung halamannya di Tapah, Perak, petang Ahad. - Foto BERNAMA
Azizah berkata, pihaknya reda dengan pemergian Allahyarham dan berharap semua peminat dapat mendoakan kesejahteraannya.
Allahyarham yang popular dengan sitkom Pi Mai Pi Pai Tang Tu pada tahun 1980-an hingga 1990-an turut berlakon hampir 20 buah filem termasuklah dua filem yang belum ditayangkan lagi iaitu Husin Mon Dan Jin Pakai Toncit (arahan Mamat Khalid) dan Shh...Dia Datang (Saiful Apek).
Allahyarham juga pernah memenangi anugerah Pelakon Komedi Terbaik, Festival Filem Malaysia ke-9 (FFM9) pada tahun 1991 menerusi filem Mak Som.
Jenazah Allahyarham dibawa pulang dan dikebumikan di kampung halamannya di Tapah, Perak dan dikebumikan selepas solat Asar.
Allahyarham meninggalkan seorang balu, Hanizan Ibrahim, 58, dan sembilan orang anak iaitu Mohd Hitler, 39, Ahmad Yamashita, 38, Mohd Soupi Zami, 37, Ismail Fahmi, 36, Khairul Affendi, 30, Aida Nurul Asyikin, 29, Aida Nurul Wahyu, 27, Mohd Firdaus, 24 dan Zahid Albukhman, 21.
sumber: mStar

Kereta hoverkraf



    
VOLKSWAGEN AQUA... kereta konsep baru.
VOLKSWAGEN AQUA... kereta konsep baru.


SEORANG pereka menghasilkan reka bentuk baru sebuah kereta yang mampu meluncur
di atas jalan raya, pasir, ais dan juga air.

Kenderaan untuk semua bentuk muka bumi yang mempunyai kelajuan 99.2 kilometer
sejam dan berfungsi seperti hoverkraf, boleh bergerak tanpa masalah merentas
dua permukaan.

Pereka, Zhang Yuhan, 21, mencipta jentera menakjubkan itu yang dinamakan Volkswagen Aqua
— untuk pertandingan yang ditaja syarikat pembuat kereta Jerman itu.

Kereta dengan rekaan seperti ‘sports car’ itu menggabungkan empat kipas berkuasa
tinggi serta mempunyai beg udara yang mengembung untuk boleh mengangkatnya
daripada permukaan.

Cermin depan yang luas memberikan pemandangan panoramik lanskap di depan.

Pemiliknya masuk dan keluar dari kereta itu melalui ruang belakang kereta itu.

Dengan menggunakan teknologi yang ada ketika ini, Aqua menggunakan sel tenaga
hidrogen untuk menggerakkan dua motor berkuasa tingginya dan lebih menarik lagi,
ia tidak mengeluarkan karbon.

Motor pertama mengembungkan bahagian tepi sekeliling kereta itu untuk membolehkannya
terangkat dan motor kedua membolehkannya bergerak ke depan serta mengawal arahnya.

“Tidak ada pengangkutan lebih baik daripada kenderaan kusyen udara kerana ia bergerak
sama baiknya di darat, ais dan air,” kata Zhang.

Pereka mekanik dari China itu berharap Aqua akan menjadi ‘kereta super’ yang mampu
dimiliki orang ramai suatu hari kelak.

Pelajar Universiti Xihua itu tersenarai untuk menerima Anugerah Kereta China CDN.

Pertandingan itu meminta pereka menghasilkan kereta lasak yang berupaya bergerak
di mana-mana.

sumber: myMetro

Astro turunkan caj atau diboikot



PPIM mahu syarikat televisyen berbayar Astro mengkaji semula kanaikan caj langganannya bagi mengelakkan pengguna terbeban. - Gambar hiasan


KUALA LUMPUR - Syarikat televisyen satelit berbayar, Astro diberi kata dua untuk mengkaji semula kenaikan harga langganannya atau berdepan dengan tindakan boikot secara besar-besaran oleh Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).
Penasihat PPIM, Tunku Azwil Tunku Abdul Razak berkata, selain Astro, pihaknya juga bersedia melancarkan boikot terhadap penaja dan syarikat pengiklan dengan syarikat televisyen tersebut.
"Tindakan Astro menaikkan kadar bayaran langganan sehingga RM15 sebulan adalah tidak wajar kerana syarikat itu telah mendapat keuntungan menjangkau RM831 juta setahun.
"Sebanyak RM31 juta daripada jumlah itu merupakan hasil keuntungan daripada iklan yang disiarkan. Malah tindakan mengenakan caj sebanyak RM20 untuk menyambung perkhidmatan Astro juga tidak munasabah kerana ia tidak melibatkan sebarang kerja teknikal, mereka hanya perlu menekan satu butang sahaja," katanya pada satu sidang akhbar di sini semalam.
Astro baru-baru ini mengumumkan bahawa mereka akan melakukan pelarasan terhadap pakej yang ditawarkan berkuat kuasa 11 Julai ini dengan harga langganan diselaraskan bergantung kepada pakej pilihan pelanggan.
Ikuti berita selanjutnya di Kosmo! hari ini.

Thursday, June 16, 2011

Pertimbangan membeli kereta baru

Pertimbangan membeli kereta baru

Terfikir untuk membeli kereta baru? Bagi mencari sebuah kereta baru yang benar-benar memenuhi kriteria yang disenaraikan bukanlah mudah kerana ia mungkin memakan masa lama dan sukar, tetapi jangan stres. 

Perkara pertama yang perlu dilakukan ialah jangan menghabiskan masa dengan mencari terlalu banyak informasi melalui Internet kerana anda mungkin tidak mahu melebihi bajet yang ditetapkan kerana terlalu rambang mata. 

Memperuntukkan lebih banyak wang tidak bermaksud kereta itu lebih tahan lama, terdapat beberapa kereta yang bagus, tahan lama, tidak mahal dan tidak bagus, tidak tahan lama serta mahal. 

Semua pihak tahu adalah penting membuat kajian sebelum berfikir untuk melakukan uji pandu di pusat pengedar berhampiran, tetapi tidak semua mengetahui langkah-langkah tinjauan yang akan membawa kepada persetujuan adil pada akhir perbincangan. 

Langkah pertama yang perlu dilakukan adalah melakukan kajian dari segi kereta yang sesuai dengan kewangan anda, meneroka beberapa kenderaan kemungkinan (termasuk kereta terpakai) dan mengunjungi lebih dari satu pusat pengedar kereta bagi melakukan beberapa perbezaan sebelum memutuskan pembelian. 

Berbekalkan kajian berkenaan, apabila anda mengunjungi pusat pengedar dengan keyakinan, pengetahuan dan potensi fikiran terbuka, anda sudah arif dengan penerangan yang diberikan dan boleh melangkah keluar bila anda mahu. 



Kesalahan biasa, fikir secara rasional 

Berdasarkan kajian dilakukan melalui Internet, pembeli perlu mengetahui, bila, di mana untuk membelanjakan wang diperlukan sebelum memutuskan untuk membeli. Sebagai permulaan, kenal pasti dahulu adakah anda benar-benar memerlukan kenderaan baru, hanya kerana anda terpaksa membelanjakan RM80 untuk mengisi minyak setiap minggu tidak bermaksud ia adalah perlu untuk menukar kepada kereta lebih kecil. 

Ketersediaan hibrid misalnya dengan harga yang tidak semua mampu milik, jadinya sesuatu yang kecil mahupun hibrid mungkin akan menjimatkan wang bagi kos minyak atau membuatkan anda berasa lebih baik tentang diri sendiri, tetapi ia bukanlah semestinya pilihan murah, khususnya bagi anda yang sudahpun memiliki kereta kurang kecekapan bahan bakar. 

Realitinya anda masih perlu melakukan kiraan. Kereta yang lebih cekap melibatkan lebih kos pada masa kini, malah nilai kereta juga akan turun sekiranya mahu dijualkan kembali, tidak seperti nilai hartanah yang sentiasa meningkat. 

Sekiranya anda memutuskan untuk membeli kereta baru, seharusnya lebih peka tentang urusan harga keseluruhan kereta berkenaan berbanding bayaran bulanan. Kebiasaannya pengedar lebih gemar membuat kiraan kemampuan pembeli berdasarkan bayaran bulanan, tetapi ia boleh membuatkan anda tertipu, sekiranya dilanjutkan lebih lama, lebih banyak wang yang dilaburkan. 

Langkah lain adalah bekerjasama dengan jabatan jualan pengedar Internet berbanding bersemuka dengan jurujual. Ini kerana jurujual lebih mencuba untuk mendapatkan keuntungan, lebih mahal harga jualan lebih tinggi komisen yang diperoleh. Manakala pengurus Internet mendapat gaji dan bonus berdasarkan volume. 

Semua perkara yang dinyatakan perlu dipertimbangkan oleh pembeli sebelum        berkira-kira untuk membeli kereta baru.


sumber: Sinar Harian Online

Wednesday, June 15, 2011

Facebook semakin lesu


KEBANYAKAN pengguna Facebook menutup akaun mereka kerana bimbang data dan maklumat peribadi diceroboh oleh individu tidak bertanggungjawab.


BRITAIN - Penutupan akaun laman jaringan sosial Facebook yang semakin meningkat sejak kebelakangan ini seolah-olah menjadi petanda kepada permulaan zaman lesu laman web tersebut.
Pakar psikologi Internet, Graham Jones memberitahu pengguna Facebook mula berasa bosan setelah satu tempoh masa menggunakan Facebook.
"Adalah sesuatu yang normal bagi seseorang individu teruja menggunakan sesuatu yang baru. Dia kemudian akan berasa bosan dan beralih pada perkara baru," katanya.
Kajian berkaitan penggunaan Facebook yang dijalankan di United Kingdom (UK) menunjukkan sebanyak 100,000 pengguna di Britain telah menutup akaun mereka sejak bulan lalu.
Penutupan secara mendadak itu turut dikaitkan dengan kebimbangan pengguna Facebook mengenai pencerobohan data dan maklumat peribadi mereka. Malah, timbul spekulasi bahawa laman Facebook juga bakal berdepan waktu suram seperti yang dialami MySpace dan Friendster.
Awal tahun ini, para eksekutif Facebook mengumumkan jumlah pengguna laman web itu UK mencecah 30 juta, iaitu separuh daripada populasi penduduk UK.
Di Amerika Syarikat (AS), jumlah pengguna Facebook juga jatuh merudum kepada 149.4 juta pengguna berbanding 155.2 juta sebelum ini. - Agensi
sumber: KOSMO Online

Tuesday, June 14, 2011

KL Gangster raih RM6.2 juta


Oleh Rozdan Mazalan
rozdan@bharian.com.my
2011/06/14

Babak dalam KL Gangster.
Babak dalam KL Gangster.
Kutipan selepas empat hari tayangan, atasi saingan filem Hollywood 

FILEM tempatan sudah ada penontonnya tersendiri walaupun dengan kemasukan filem daripada luar negara.
Kali ini dibuktikan dengan filem penuh aksi terbitan Skop Production Sdn Bhd, KL Gangster yang meraih kutipan menakjubkan sehingga RM6.2 juta hanya dalam tempoh empat hari tayangan, bermula 9 Jun sekali gus melakar sejarah tersendiri.


Biarpun bersaing dengan beberapa filem blockbuster Hollywood seperti Kung Fu Panda 2, X-Men: First Class dan Super 8, buah tangan Syamsul Yusof itu nyata punyai tarikan sendiri. 

Syamsul berkata, dia tidak menyangka sambutan luar biasa diberikan penonton walau pada masa yang sama berhadapan dengan dakwaan Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (PEKIDA) berhubung pendedahan kod rahsia. 

“Memang saya tidak menafikan, sedikit sebanyak isu itu menarik penonton ke pawagam untuk mengetahui apa yang digembar-gemburkan. Tetapi sebenar sebelum isu itu timbul lagi sambutannya cukup menakjubkan pada hari pertama tayangan apabila meraih kutipan RM1.5 juta. 

“Alhamdulillah, saya sangat bersyukur kerana dari hari pertama hingga hari ini (semalam) sambutan filem ini masih lagi mencipta sejarah untuk penerbitan filem Melayu dari syarikat Melayu sendiri,” katanya yang dihubungi Hip semalam. 
Sebagai pengarah muda yang berjaya, Syamsul menyatakan bukanlah haknya untuk bercerita mengenai kutipan tiket, malah lebih bersemangat bercerita mengenai kehendak penonton masa kini. 

“Sebenarnya jika hendak ikutkan, saya bukanlah orang yang layak untuk bercerita mengenai kutipan tiket, ia adalah hak produser iaitu ayah saya sendiri. 

“Secara peribadi pada pengamatan saya, hari ini saya melihat ramai produser filem seolah lebih mengejarkan kepada kutipan tiket dan rekod baru yang ingin dicipta. 

“Saya sebenarnya tidak begitu selesa apabila orang mengajukan mengenai rekod yang hendak dicipta melalui filem arahan saya. Kalau boleh saya lebih suka memikirkan apa lagi yang dimahukan penonton kita hari ini dan melihat kualiti produk kita mampu atau tidak menyamai filem Hollywood,” katanya lagi. 

Selain Syamsul, KL Gangster turut dibantu sepupunya, Rizal Ashraf, selain bapanya sendiri, Datuk Yusof Haslam turut menyumbangkan idea. Ia menampilkan Aaron Aziz selaku watak utama, Syamsul sendiri, Adi Putra, Zul Huzaimy, Sheera Iskandar, Wan Maimunah dan Ridzuan Hashim. 



sumber: Berita Harian Online

Monday, June 13, 2011

Pekerja Sektor Kewangan Dan Perbankan Terima Bonus Terbaik

imej dari google

KUALA LUMPUR, 13 Jun (Bernama) -- Lebih 50 peratus daripada pekerja yang menerima bonus lebih enam bulan terdiri daripada mereka yang berkhidmat dalam industri perbankan dan kewangan, demikian menurut kajian yang dilakukan oleh JobStreet.Com.

Daripada jumlah itu, profesional, dengan separuh daripada mereka, menerima bonus RM50,000 atau lebih, katanya dalam satu kenyataan Isnin.

Responden membabitkan 48 peratus eksekutif kanan, 24 peratus pengurus, 18 peratus eksekutif muda dan 10 peratus pengurus kanan.

Majoriti daripadanya berkhidmat dengan 10 industri terkemuka di Malaysia, seperti pembuatan, kewangan dan perbankan, perundingan, teknologi maklumat dan komunikasi, pembinaan, pendidikan serta peruncitan dan pemborongan.

Ia bagaimanapun berkata lebih 70 peratus responden tidak berpuas hati terdapat jumlah pembayaran bonus masing-masing.

-- BERNAMA

Sila klik