Monday, September 14, 2015

Zulhijjah dirai, roh pengorbanan dihayati



NORKUMALA AWANG | 14 September 2015 2:15 AM

ZULHIJJAH adalah bulan yang sarat dengan pelbagai peristiwa sejarah. Zulhijjah sinonim dengan rukun Islam yang kelima iaitu haji dan juga ibadah korban. Keistimewaan bulan ini bukan hanya khusus untuk yang menunaikan fardu haji, tetapi juga memberi kelebihan kepada yang tidak menjadi tetamu Allah SWT. Jarang sekali kita mendengar ramai orang yang menunggu akan ketibaan malam satu Zulhijjah seperti mana menantinya kedatangan bulan Ramadan.


Sedangkan, kelebihan 10 hari awal bulan Zulhijjah wajar direbut bagi umat Islam yang mencari medan pahala sebagai bekalan akhirat. Seperti mana sabda Rasullullah SAW daripada Ibnu Umar RA yang bermaksud: “Tidak ada hari yang lebih besar di sisi Allah SWT dan beramal padanya lebih dikasihi oleh Allah daripada hari-hari yang sepuluh ini. Maka perbanyakkanlah padanya bertahlil, bertakbir dan bertahmid”.

Menurut al-Hafiz Ibnu Hajar, di antara sebab keistimewaan 10 hari Zulhijah ini ialah kerana di dalamnya terhimpun beberapa ibadah besar iaitu solat, puasa, sedekah dan haji. Sedangkan pada waktu lain, ibadah-ibadah tersebut tidak pernah terhimpun sebegitu. Ia juga seperti pesta ibadah bagi umat Islam yang tahu memanfaatkannya.

Setiap Muslim hendaklah menyambut dan meraikan kedatangan musim kebajikan dan medan pahala tersebut dengan penuh kesyukuran. Malah seharusnya perlu dihadirkan rasa bertaubat yang bersungguh-sungguh dengan meninggalkan segala dosa dan maksiat.

“Tidak ada satu pun amal soleh yang lebih dicintai oleh Allah SWT melebihi amal soleh yang dilakukan pada hari-hari ini (iaitu 10 hari pertama bulan Zulhijjah)”. Para sahabat bertanya: “Tidak pula jihad di jalan Allah?” Nabi SAW menjawab, “Tidak pula jihad di jalan Allah, kecuali orang yang berangkat jihad dengan jiwa dan hartanya dan tidak kembali lagi selepas itu (syahid).” - Ahmad at-Tirmizi.

Keistimewaan ini tidak ditawarkan pada bulan lain, apakah masih sanggup kita membiarkan ia berlalu begitu sahaja?

Mendekatkan diri kepada Allah memerlukan rasa mujahadah yang tinggi. Pengorbanan untuk melawan hawa nafsu dan mengikat diri untuk menjadi hamba yang taat perintah-Nya perlu dididik dalam jiwa setiap individu Muslim. Inilah semangat pengorbanan yang wajar dipupuk dalam erti kata menghayati pengorbanan yang dilakukan oleh dua insan yang berjiwa besar dalam sejarah Islam iaitu Nabi Ibrahim AS dan Nabi Ismail AS.

Ibadah korban yang dilakukan sempena Aidiladha bukan semata-mata menyembelih binatang dan memberi sedekah kepada yang memerlukan tetapi rohnya jauh lebih besar. Simbolik daripada ibadah ini ialah semangat pengorbanan dan jihad yang tinggi perlu ada bagi setiap individu Muslim.

Kecekalan Nabi Ibrahim AS dan Nabi Ismail AS dalam me­laksanakan perintah Allah memberikan sumber inspirasi kepada umat manusia pada hari ini. Mereka mengorbankan jiwa raga dan perasaan demi perintah Allah. Maka itu, wajar kita mencontohi kekuatan iman dan semangat pengorbanan yang dipamerkan oleh dua susuk tubuh yang agung tersebut. Demi mencari keredaan Allah SWT, pengorbanan jiwa raga, masa dan tenaga serta harta benda ditagih. Kita tidak akan kehilangan sekiranya ada perkara yang perlu dikorbankan demi mencari keredhaan Allah SWT. Malah ia adalah satu pengorbanan yang akan dibalas jua dengan ganjaran yang sebaik baiknya oleh Allah.

Realitinya hari ini, ramai umat Islam yang sanggup mengeluarkan wang menjalani ibadah korban dengan menyembelih binatang tetapi tidak sanggup mentaati perintah Allah SWT dalam perkara berkaitan dengan hukum lain. Sikap ini seolah-olah hanya memahami ibadah korban itu sebagai ritual tanpa ada roh pengajaran yang sebenar daripadanya. Masih ramai yang tidak menunaikan solat lima waktu, menutup aurat serta tidak melaksanakan perintah Allah.

Zulhijjah akan berlalu seperti mana perginya Ramadan atau bulan-bulan lain. Banyak peluang yang Allah berikan kepada hambanya untuk dinikmati. Sekiranya kita melepaskan peluang ini maka terlepas jualah untuk kita meraih nikmat dan rahmat-Nya. Malah sekiranya semangat perjuangan dan pengorbanan Aidiladha itu tidak dihayati, manfaatnya juga tidak akan dapat dirasai.

PENULIS ialah Pegawai Penyelidik Kanan, Pusat Kajian Sains 
dan Alam Sekitar, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).

- See more at: http://www.utusan.com.my/rencana/zulhijjah-dirai-roh-pengorbanan-dihayati-1.135672#sthash.CzlyTO0i.dpuf

No comments:

Sila klik