Wednesday, September 9, 2015

Muhyiddin, Shafie terbuka pada 'politik serba mungkin'



Al-Abror Mohd Yusuf

Tiada pakatan antara Timbalan Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin dan naibnya Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dalam menangani isu dalaman Umno, kata sumber.

Menurut sumber itu, walaupun pendekatan dan hujah kedua-dua pemimpin itu menangani isu dalaman Umno kelihatan sama, ia berlaku kerana kewujudan “titik temu spontan” dalam melihat masa depan parti.

"Muhyiddin dan Mohd Shafie menyedari masa depan Umno kini berdepan risiko.

"Justeru mereka melihat perlu ada teguran dibuat kepada pimpinan tertinggi parti dan ia sepatutnya didengar dengan terbuka, bukan curiga," katanya kepadaMalaysiakini.

Mengukuhkan hujah itu, sumber berkenaan memberitahu, teguran yang dibuat kedua-dua tokoh terbabit baru-baru ini bukanlah asing.

Ia, katanya, sudah dinyatakan dalam mesyuarat tahunan Umno bertahun-tahun sudah.

"Mereka konsisten menyatakan pandangan itu.

"Isunya ialah, mengapa dulu pimpinan parti menanggapi teguran berkenaan dengan terbuka tetapi kini - walaupun hujah yang digunakan dalam teguran itu sama - mereka dianggap pengkhianat," katanya.

Muhyiddin dan Mohd Shafie digugurkan daripada jawatan dalam kabinet melalui rombakan kabinet oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada 27 Julai lalu.

Pertahan pemimpin melebihi parti

Antara lain, tindakan drastik itu dilihat dibuat perdana menteri apabila kedua-dua mereka membuat teguran demi teguran kepada kerajaan dalam menangani beberapa isu kritikal, termasuk skandal 1MDB.

Mereka menghadiri mesyuarat Majlis Tertinggi Umno dijadual pada jam 3 petang ini.

Ia adalah mesyuarat pertama badan tertinggi parti berkenaan sejak Muhyiddin disingkirkan daripada jawatan timbalan perdana menteri dan Mohd Shafie sebagai menteri kemajuan luar bandar dan wilayah.

Sejak beberapa hari lalu tersebar khabar angin kononnya Muhyiddin dan Mohd Shafie - serta beberapa pimpinan lain dalam Umno - akan dipecat dari parti berkenaan.

Bagaimanapun Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sudah menafikan berita berkenaan kelmarin.

Sumber dalaman Umno memberitahu, parti lebih terjejas apabila wujud golongan tertentu yang mahu menjadi wira mempertahankan pemimpin melebihi keperluan melindungi Umno.

"Keperwiraan bukan sekadar mempertahankan tokoh tertentu tetapi memperjuangkan kepentingan parti melebihi kepentingan peribadi," katanya.

Mengenai kemungkinan berlaku pemecatan, sumber itu berkata, beliau yakin Muhyiddin dan Mohd Shafie terbuka kepada semua kemungkinan.

"Politik adalah seni serba mungkin," katanya.

No comments:

Sila klik