Wednesday, September 16, 2015

Jenazah lima rakyat kita selamat dikebumikan


(Dari kiri) Jamil Khir, Abdul Azeez dan Zainol hari ini melawat Mohd Nor Azman yang cedera dalam kejadian kren tumbang di Masjidilharam, Jumaat lalu. FOTO Noor Azam Abd Aziz

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 September 2015 @ 10:31 PM
Daripada Noor Azam Abd Aziz di Makkah

Jenazah lima jemaah haji Malaysia yang terkorban dalam kejadian kren tumbang di Masjidilharam, Jumaat lalu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Syara’ik selepas solat Subuh, pagi tadi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, semua jenazah diserahkan oleh pengurusan bilik mayat Muaissem untuk dimandikan dan dibawa ke Masjidilharam untuk disembahyangkan.

“ Selepas semua prosedur dipatuhi, pengebumian selesai diadakan pada waktu subuh sebentar tadi (semalam) dengan memandikan jenazah dan pengebumian.

“ Alhamdulillah kita bersyukur pihak muassasah dan pihak kerajaan Arab Saudi bantu kita untuk menguruskan jenazah,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas bertemu dan memberi sumbangan semua waris dan mangsa kejadian berkenaan di ibu pejabat Tabung Haji (TH) di sini.

Turut hadir Pengerusi TH Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, Duta Malaysia ke Arab Saudi Zainol Rahim Zainudin dan Ketua Rombongan Haji Malaysia Datuk Syed Saleh Syed Abdul Rahman.

Beliau juga berharap keluarga jemaah haji terbabit yang ada di tanah air meredai pemergian mereka yang meninggal dunia di bumi Makkah dan Masjidilharam.

Berhubung usaha mencari dua lagi jemaah haji yang masih hilang, pihak TH katanya, masih meneruskan usaha mencari di sekitar Makkah dan tumpuan di rumah mayat untuk pengecaman.

Dua jemaah haji yang masih hilang dalam kejadian yang mengorbankan lebih 100 nyawa itu ialah Abdul Habib Lahman, 68, berasal dari Sik, Kedah dan Shahidan Saad, 52, dari Kodiang, Kedah.

Jamil Khir sebelum itu turut menziarahi dua jemaah haji yang masih dirawat di Pusat Rawatan Syisha, di sini.

Mereka ialah Mohd Nor Azman Hassan, 44, dan Faridah Mansor, 63.

Senarai lima jenazah yang dikebumikan Tanah Perkuburan Syara’ik

* Rusiah Suar, 56, (Sungkai, Perak)

* Siti Nuroshlizan Zulkifli, 37, (Tanah Merah, Kelantan)

* Munah Jusoh, 73, (Cherang Ruku, Kelantan)

* Rohana Ismail, 54, (Kuala Krai, Kelantan)

* Zainun Taha, 69, (Ampang Selangor).

No comments:

Sila klik