Saturday, September 12, 2015

Jerebu kembali teruk, kualiti udara tidak sihat


SEKITAR kawasan lebuh raya dari Seremban ke Kuala Lumpur diselubungi jerebu tebal yang mengehadkan jarak penglihatan pengguna jalan raya semalam. Utusan/MD.SHAHJEHAN MAAMIN

12 September 2015 2:10 AM

KUALA LUMPUR 11 Sept. - Kebanyakan kawasan di Semenanjung dan juga Sabah serta Sarawak kembali dilanda jerebu teruk sehingga Indeks Pencemaran Udara (IPU) mencatat bacaan tidak sihat.

Bagi negeri Selangor, Petaling Jaya menjadi salah satu kawasan yang kronik apabila mencatat bacaan setinggi 104 setakat pukul 4 petang manakala Banting, Pelabuhan Klang dan Shah Alam masing-masing mencatat bacaan IPU 103 dan juga 102.

Melaka juga tidak terkecuali apabila bacaan IPU di Bukit Rambai dan Bandaraya Melaka kembali ke paras tidak sihat apabila merekodkan bacaan melebihi 100 selepas mencatat sedikit penurunan beberapa jam sebelumnya.

Menurut Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Melaka, Shafe’ee Yasin, bacaan IPU yang tidak menentu itu disebabkan pertambahan jumlah titik panas di Sumatera, Indonesia.

“Peningkatan mendadak serta arah angin yang bertiup dari barat daya memberi kesan langsung kepada negeri-negeri yang berada di selatan tanah air termasuk Melaka,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Sementara itu, bacaan IPU di bahagian Samarahan, Sarawak turut membimbangkan apabila bacaan IPU di kawasan berkenaan mencatat 183 setakat pukul 3 petang tadi.

Tinjauan Utusan Malaysia di pangkalan feri dan Desa Ilmu di sini mendapati orang ramai masih menjalankan aktiviti harian seperti biasa walaupun IPU mencatatkan paras tidak sihat.

Mereka juga mula menggunakan penutup mulut dan hidung kerana khuatir keadaan jerebu itu yang boleh menjejaskan kesihatan.

Turut terjejas, tiga daerah di Negeri Sembilan iaitu Nilai, Seremban dan Port Dickson yang mencatat bacaan IPU tidak sihat sejak pukul 12 tengah hari dan terus meningkat kepada 135, 123 dan 105 menjelang 5 petang.

Dalam perkembangan sama, bacaan IPU di Putrajaya, Cyberjaya dan Sepang pula menunjukkan IPU pada tahap sederhana iaitu antara 80 sehingga 93.

Berdasarkan laman web Ja­ba­tan Alam Sekitar, bacaan IPU di ketiga-tiga lokasi itu sehingga 3 petang ini meningkat kepada 93 berbanding pada pukul 12 tengah hari yang hanya merekodkan bacaan 80.

Hasil tinjauan di sekitar Putrajaya mendapati sebahagian besar bangunan kerajaan termasuk Bangunan Perdana Putra, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) diselubungi jerebu dengan pandangan terhad dan berbau asap dari jarak dua kilometer.

Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar menasihatkan orang ramai tidak melakukan pembakaran terbuka atau membiarkan tanah atau premis kepunyaan mereka dimasuki atau dicerobohi oleh mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab sehingga menyebabkan pembakaran terbuka.

Selain itu, orang ramai juga diminta bekerjasama untuk memadam kebakaran kecil dan juga melaporkan kes pembakaran terbuka atau kebakaran kepada Jabatan Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat di talian 999 dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) di talian bebas tol, 1-800-88-2727.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/jerebu-kembali-teruk-kualiti-udara-tidak-sihat-1.135076#sthash.mXAWlUe3.dpuf

No comments:

Sila klik