Oleh Hafiz Ithnin
hafizithnin@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Halal Industry Development Cooperation (HDC) dalam proses perbincangan untuk mewujudkan hab dagangan halal antarabangsa yang dijangka dapat dimuktamadkan dalam tempoh tiga tahun akan datang.
Penubuhan hab halal antarabangsa itu membabitkan perbincangan antara empat negara iaitu Malaysia, China, Dubai dan Itali bertujuan mewujudkan satu hab halal di setiap negara berkenaan.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Seri Jamil Bidin berkata, kewujudan hab halal itu akan mempunyai satu ekosistem lengkap terdiri daripada logistik perdagangan, pangkalan data, penyediaan polisi antara kerajaan dan insentif yang ditawarkan kepada pemain industri antarabangsa.
Beliau berkata, ketika ini terdapat banyak negara asing termasuk negara bukan Islam mula melihat industri halal sebagai salah satu sumber ekonomi, tetapi isu penyediaan kemudahan terutama logistik menjadi cabaran.
“Buat masa ini, perkara membabitkan pensijilan halal bukan lagi menjadi cabaran kerana mereka boleh menghasilkan produk halal dengan mudah misalnya dari segi penyembelihan daging halal, tetapi apabila kemudahan logistik bagi memastikan status halal pada daging itu terus bertahan adalah menjadi satu masalah.
“Ini kerana kemungkinan tempat menyimpan produk eksport halal mereka bercampur dengan produk yang meragukan status halalnya dan perkara berkenaan menjadikan produk itu pada awalnya halal menjadi tidak halal,”katanya di sini, baru-baru.
HDC juga melihat kadar pertumbuhan penduduk Islam yang kini mencecah 1.8 bilion menjadikan produk halal semakin mendapat permintaan di peringkat dunia.
Jamil berkata, hasil penubuhan hab halal antarabangsa itu membolehkan Malaysia menjadi peneraju utama sebagai rujukan negara asing dan menggalakkan eksport tenaga kerja pakar tempatan ke luar negara.
Katanya, kepakaran Malaysia yang menjadi peneraju dalam bidang halal bukan saja tertumpu kepada peningkatan angka dagangan setiap tahun, tetapi ia juga membabitkan sumber manusia Malaysia yang mendapat permintaan global dalam industri itu.
“Pencapaian perkembangan industri halal ini juga semakin mendapat perhatian bukan saja di rantau Asia, tetapi sudah menular ke Latin Amerika, sekali gus membantu merancakkan lagi dagangan halal dunia,”katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 September 2015 @ 6:28 AM
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/78105#sthash.4oCCVxnv.dpuf
No comments:
Post a Comment