Wednesday, September 16, 2015

Al Jazeera pertahan laporan kes bunuh Altantuya



15 Sep 2015, 4:49 pm

Al Jazeera mempertahankan laporan wartawannya Mary Ann Jolley mengenai kes pembunuhan Altantiya Shaariibuu yang menimbulkan rasa tidak senang Putrajaya.

Jurucakap ibu pejabatnya di Doha, Qatar juga menafikan mereka mempunyai agenda tertentu dengan penyiaran dokumentari 30 minit berjudul “Murder in Malaysia” (Pembunuhan di Malaysia) itu.

“Murder In Malaysia memperincikan dan menelusuri laporan kes pembunuhan misteri yang terus mengundang persoalan tidak terjawab.

“Filem itu berdasarkan fakta-fakta di samping membangkitkan persoalan baru, terutamanya berhubung Sirul Umat Azhar, yang kini berada dalam tahanan rumah di Australia,” kata jurucapanya dalam e-mel kepadaMalaysiakini.

Sirul salah seorang daripada dua bekas polis elit yang disabitkan kesalahan dan dijatuhi hukuman mati.

Jurucakap Al Jazeera berkata mereka mengambil berat kebebasan sidang redaksi organisasi itu dan mempertahankan hasil kerja wartawan yang menunjukkan teladan dengan laporan adil pada setiap masa.

“Semua usaha sentiasa diambil bagi memastikan hak menjawab diberikan kepada semua pihak yang disebut dalam laporan itu.

“Kami ingin tegaskan bahawa kami sebuah badan berita bebas antarabangsa yang tiada agenda apa pun dalam semua laporan yang kami hasilkan,” katanya.

Al Jazeera bersedia bekerjasama dengan pihak berkuasa Malaysia yang menyiasat laporan itu.

Jolley pada Jumaat diusir pulang ketika sedang membuat dokumentari mengenai kematian wanita Mongolia itu.

Kementerian Dalam Negeri didakwa menganggap aktiviti beliau sebagai mempunyai "kesan negatif terhadap imej Malaysia" .

Timbalan Menteri Dalam Negeri Nur Jazlan Mohamed berkata menjadi prerogatif kerajaan mengusir sesiapa sahaja dari negara ini jika ia patut.

Beliau bertegas bahawa isu ditimbulkan adalah berita lama kerana ia berlaku Jun, tiga bulan yang lalu.

Sementara polis pula berkata dokumentari mengenai kematian itu pada 2006berdasarkan dakwaan tidak benar.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata pihaknya menjalankan siasatan mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan atas kenyataan yang dikhuatiri mendatangkan khianat awam.

[Baca berita asal]

No comments:

Sila klik