Sunday, July 31, 2011

Telaga garam tidak pernah kering


URAT kasar di tangan sasa Tinus Beram, 46, timbul apabila dia mengangkut baldi berisi air masin yang ditimba dari telaga berhampiran.
Sebaik sahaja baldi mencecah tanah, Tinus dibantu isterinya, Ramina Tingang, 43, cermat mencurahkan air dari baldi ke dalam tong dram yang telah dibelah dua sekali gus menjadi periuk untuk menjerang air.
Menurut pasangan Kelabit ini, untuk menghasilkan garam bukit, air yang diambil daripada telaga air masin perlu dimasak dengan api sederhana besar selama sehari semalam.
Air masin yang sudah dimasak selama 24 jam mengalami proses pengkristalan di mana air tadi akan bertukar ke butiran garam halus. Pada fasa ini, proses bertambah rumit kerana air yang dimasak perlu sentiasa dipantau untuk mengelak kristal garam menjadi kering dan hangus.

Imbuhan untuk pahlawan negara



SEBAHAGIAN anggota tentera dan polis bergambar bersama selepas Perbarisan Tamat Latihan Perdana di Port Dickson semalam.


PORT DICKSON – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam mengumumkan imbuhan kepada penerima Pingat Tentera Udara (PTU) dan Jasa Perkasa Persekutuan (JPP).
Menurut beliau, bagi penerima PTU dan JPP, masing-masing akan menerima wang tunai sebanyak RM1,000 sebulan.
“Bagi penerima PTU dan JPP yang telah meninggal dunia pula, keluarga masing-masing akan menerima imbuhan sebanyak RM10,000 yang diberi sekali gus,” katanya ketika berucap pada majlis perbarisan tamat latihan perdana Angkatan Tentera Malaysia-Polis Diraja Malaysia (ATM-PDRM) Siri 1/2011 di Pusat Latihan Asas Tentera Darat di sini semalam.
Pada majlis yang sama, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ketika ditemui berkata, mereka yang menerima Pingat Gagah Berani (PGB) akan mendapat RM1,500 sebulan, manakala Seri Perkasa (SP) RM2,000 sebulan.
“Dua minggu lepas, Kabinet setuju untuk memberi imbuhan kepada penerima anugerah PTU dan JPP.
“Pemberian imbuhan ini adalah komitmen kerajaan Malaysia terhadap mereka yang mempertahankan negara,” katanya sambil menambah, ia berita baik sempena Hari Pahlawan yang disambut hari ini.
Mengulas tentang latihan perdana ATM-PDRM, beliau berkata, latihan di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) itu akan diteruskan pada tahun depan.
“Kita akan kaji dan menilai semula latihan ini sebelum menambah baik pada masa akan datang. Latihan di bawah NBOS ini akan diteruskan pada tahun depan,” katanya.
Sementara itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menyifatkan latihan perdana itu sebagai kejayaan kerajaan dalam memantapkan dua organisasi pasukan keselamatan negara.
“Ini adalah kejayaan buat kerajaan dalam mempertingkatkan kerjasama antara ATM dan PDRM, sekali gus menjimatkan kos kerajaan sebanyak RM639 juta bagi tempoh lima tahun daripada membina pusat latihan baharu untuk polis,” ujarnya.
Pada majlis itu, seramai 984 orang konstabel polis dan 2,107 perajurit termasuk 194 anggota wanita di bawah NBOS terlibat dalam perbarisan tamat latihan.
Sementara itu, mereka yang mengikuti latihan berkenaan menerima anugerah pelatih terbaik masing-masing sempena majlis tersebut.
Mereka ialah Perajurit Muda Keseluruhan Terbaik, Mohd. Nur Amirul Muntil, 20; Perajurit Muda Wanita Keseluruhan Terbaik, Mas Erma Md. Sharif, 21, dan Pelatih Konstabel Keseluruhan Terbaik Md. Kairul Razee Ramli, 25.
sumber: Kosmo Online

Dikebumi sebagai seorang lelaki



ABDUL AZIZ Ahmad memerhatikan isterinya yang hanya mahu di kenali sebagai Mak Yah menyiram air mawar ke atas pusara Mohd. Ashraf di Tanah Perkuburan Islam Kampung Seberang Takir, Kuala Terengganu semalam.


KUALA TERENGGANU – Kisah kontroversi yang menyelubungi seorang lelaki, Mohd. Ashraf Hafiz Abdul Aziz selepas permohonannya untuk menukar nama kepada Aleesha Farhana ditolak Mahkamah Tinggi di sini dua minggu lalu berakhir apabila dia menghembuskan nafas terakhir pagi semalam.
Lelaki berusia 26 tahun itu disahkan meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini pada pukul 4.55 pagi, iaitu hanya sehari selepas mendapatkan rawatan.
Bapa mangsa, Abdul Aziz Ahmad, 60, ketika mengesahkan kematian Ashraf menjelaskan, anaknya itu dimasukkan ke HSNZ pukul 3 pagi kelmarin selepas mengalami muntah yang teruk.
Jelasnya, pihak keluarga juga akur dengan keputusan mahkamah dan telah bersetuju untuk menguruskan serta mengebumikan jasad arwah sebagai Ashraf dan bukannya Aleesya Farhana.
“Semua keluarga terdekat berada di sisi arwah pada saat-saat terakhirnya. Pemergian Ashraf merupakan satu kehilangan besar buat keluarga,” katanya ketika ditemui di pekarangan Bilik Mayat HSNZ di sini semalam.
Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Saturday, July 30, 2011

Pesaing BMW 1 Series




MODEL A1 memperoleh peralatan lima bintang dalam ujian kemalangan Euro NCAP.


MODEL kompak Audi iaitu A1 akhirnya diperkenalkan ke pasaran tempatan. Ia merupakan model paling kecil daripada Audi dan diimport sepenuhnya (CBU) oleh pengedar tunggal kenderaan Audi di Malaysia, Euromobil Sdn. Bhd. (Euromobil).

Pengenalannya dalam pasaran pastinya mencetuskan saingan kepada dua model rakan senegaranya, BMW 1 Series dan Mini. Sebenarnya terdapat beberapa varian A1 di pasaran global, namun hanya A1 1.4 TFSI sahaja yang diperkenalkan di Malaysia.

Model Audi A1 membuat debut pada Geneva Motor Show 2010. Jualan kereta kompak tiga pintu itu bermula di Jerman pada Ogos 2010 dan tiga bulan kemudiannya, ia sudah berada dalam pasaran United Kingdom. Sehingga Jun lalu, pengeluaran model ini sudah mencecah 100,000 unit.

Baru beberapa bulan berada dalam pasaran antarabangsa, A1 sudah menerima beberapa pengiktirafan. Antaranya, Auto Trophy daripada majalah Auto Zeitung, Golden Steering Wheel daripada Auto Bild dan Bild am Sonntag serta Car of the Year Award daripada majalah What Car?. Jentera itu turut menerima penarafan lima bintang dalam ujian kemalangan Euro NCAP.

Model 1.4 TFSI dilengkapi enjin suntikan terus pengecas turbo empat silinder sebaris bersesaran 1,390cc. Kuasa maksimum ialah 122hp pada 5,000rpm. Sementara tork puncak ialah 200Nm @ 1,500-4,000rpm. Enjin kompak itu dipadankan dengan kotak gear klac berkembar tujuh kelajuan S-tronic. Ia membolehkan pemandu memilih sama ada untuk menukar gear secara automatik atau manual dengan mudah.

Model A1 mampu memecut dari 0 kilometer (km) hingga 100km dalam tempoh 8.9 saat sahaja. Untuk setiap 100km, ia hanya menggunakan 5.3 liter petrol. Kelajuan maksimum ialah 203 km/sejam. Kadar emisi karbon pula cuma sebanyak 122 gram/km.

Cukup mudah untuk mengenali jentera itu kerana Audi memaparkan lambang empat cincin berangkai pada gril besar pada bahagian hadapannya.

Lampu depan mengguna pakai lampu jenis xenon. Sementara lampu belakang ialah lampu LED. Turut disediakan ialah lampu kabus dan DRL (Daytime Running Lights) LED.

Rekaan dalaman membabitkan kerusi sport pada barisan hadapan yang dibalut dengan fabrik Herzklopfen. Selain itu, ia turut memiliki cermin dalaman antisilau automatik, stereng sport kulit tiga jejari dan tempat duduk belakang yang boleh dilipat.

Model A1 sarat dengan pelbagai sistem keselamatan termasuklah ESP, ASR, EDL, ABS, EBD dan BA. Ia juga didatangkan dengan enam beg udara. Kereta kompak itu ditawarkan pada harga RM179,900 atas jalan tanpa insurans.

sumber: KOSMO Online

Nissan GT-R pencabar kereta berprestasi Barat

Oleh MUHAMMAD MD TAJUDIN



KEUPAYAAN GT-R menggugat ego pengeluar jentera dari Barat.


SELEPAS lebih dua bulan, pelbagai jenis kereta sudah dipaparkan dalam kolum ini. Walau bagaimanapun, kereta berprestasi tinggi masih belum saya tulis. Bukan apa, kereta sebegini hanya segelintir sahaja yang mampu memilikinya. Era kereta berprestasi massa seperti Toyota Corolla AE86, Nissan March Superturbo dan Ford TX3 nampaknya sudah luput ditelan sejarah. Kini, jentera sebegitu majoritinya sudah memasuki pasaran premium hingga orang kebanyakan hanya mampu melihat dan mengidamkannya. Masakan tidak, harga sebuah kereta berprestasi tinggi sudah menyamai atau melebihi nilai sebuah rumah teres atau banglo di kampung.

Terbaik daripada Toyota

Oleh MUHAMMAD MD. TAJUDIN



LFA didakwa menjadi jelmaan Toyota Supra berikutan persamaan rekabentuk antara kedua-dua model tersebut.


ASIA TENGGARA ialah ‘tanah jajahan’ Toyota. Di Malaysia, walaupun Perodua dan Proton adalah peneraju utama industri automotif, namun jika dikira pengaruh Toyota dalam Perodua dan digabungkan dengan jualan Toyota itu sendiri, maka boleh dibuat kesimpulan mudah bahawa gergasi dari Jepun itu sebenarnya adalah penakluk pasaran tempatan.

Di sekeliling kita pula penuh dengan kenderaan jenama Toyota. Ada jiran yang memandu Avanza atau rakan sekerja yang memandu Vios. Di pejabat pula, terutama agensi kerajaan, banyak yang menggunakan Hiace sebagai kenderaan rasmi untuk mengangkut pekerja.

Toyota kini berada dalam keadaan yang kukuh. Mereka mewah dengan teknologi dan platform dengan kos pembangunan yang dikongsi oleh beberapa model lain. Mereka mempunyai skala ekonomi, faktor yang penting dalam survival bisnes masa kini.

Naik taraf paling komprehensif

Oleh SHAWKATH AZDE




TAHUN 1993 menyaksikan pembentukan satu kategori baharu untuk rangkaian model Mercedes-Benz. Dinamakan sebagai C-Class, ia merangkumi model-model kereta kompak eksekutif daripada pengeluar Jerman itu. Kelahiran segmen tersebut bertujuan menggantikan siri rangkaian sedan 190 Mercedes-Benz.

Model C-Class merupakan kereta paling murah pernah ditawarkan oleh Mercedes-Benz. Itu pun sebelum ketibaan model A-Class pada tahun 1997.

Model C-Class dilihat memiliki rekaan sporty dan bercirikan bulat jika dibandingkan dengan produk lain keluaran Mercedes-Benz. Sedan pertama C-Class mula dikeluarkan pada 1 Jun 1993, sebelum diikuti oleh generasi kedua dan ketiga pada tahun 2000 dan 2007.

8.5 juta C-Class dijual

Friday, July 29, 2011

Kalah bermaruah!

WALAUPUN tewas dengan agregat 6-4 namun aksi anak buah Datuk K Rajagobal masih boleh dipuji. Turun dengan aksi menyerang, Harimau Malaya bertekad untuk menjaringkan gol bagi mengatasi defisit.

Namun kesilapan yang dilakukan barisan pertahanan menyebabkan penyokong Malaysia hampa apabila Singapura berjaya menyumbat gol pada minit ke-72.

Pujian harus diberikan kepada pemilik sepasang ‘tangan emas’ yang berjaya mematah­kan serangan bertali arus Skuad Singa. Penjaga gol yang berasal dari Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat boleh dianggap wira apabila mempamerkan aksi hebat.

TV AlHijrah Pantau Drama Pelakon Nampak Aurat


Selebriti AlHijrah yang bakal menghiasi Ramadan di TV AlHijrah
KUALA LUMPUR: TV AlHijrah menegaskan bahawa pihaknya sentiasa memantau semua rancangannya terutama sekali jika ia berkaitan sensitiviti melibatkan aurat berdasarkan garis panduan yang ditetapkan stesen televisyen itu.
Bagaimanapun, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Bukhari Che Muda berkata, penapisan yang dilakukan adalah mengikut kesesuaian cerita dan tidak mencacatkan mesej yang ingin disampaikan dalam sesebuah karya.
“Kami memang tegas mengikut garis panduan yang ditetapkan iaitu cara pemakaian yang menutup aurat, dialog dan cara lakonan yang tidak bersentuhan di antara lelaki dan perempuan.

Malaysia Tersingkir Bila Seri 1-1 Dengan Singapura

Pemain Malaysia, S. Kunalan Subramaniam (16) dan pemain Singapura, Qiu Li (11) berebut bola pada saingan Kelayakan Piala Dunia 2014 di Stadium Nasional Bukit Jalil di Kuala Lumpur, Khamis. - Foto REUTERS/Bazuki Muhammad

KEPUTUSAN seri 1-1 dengan Singapura dalam perlawanan pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2014 yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, pada malam Khamis menyaksikan Malaysia tersingkir dari kempen pra-kelayakan. Jaringan pertama Malaysia disumbangkan oleh Safee Sali pada minit yang ke 57 menyebabkan lebih 85,000 penonton bersorak gembira. Malangnya kegembiraan penyokong Malaysia tidak bertahan lama apabila Singapura pula mendapat jaringan pada minit ke 72 hasil jaringan Shi Jiayi. Dengan keputusan seri itu, Malaysia tersingkir dalam siri kelayakan Piala Dunia 2014. Secara agregat, Singapura menang 6-4.

sumber: mStar Online

Thursday, July 28, 2011

Koleksi baru Scholl sumbang 40 peratus



Berazam meningkatkan kesihatan, keselesaan dan kesejahteraan masyarakat melalui kaki, jenama kasut terkemuka dunia, Scholl optimis koleksi 2011, mampu menyumbang 40 hingga 60 peratus ke atas keseluruhan jualan tahun ini.

Pengarah Urusan Reckitt Malaysia, Veronika Rost berkata, syarikat yakin dengan sasaran itu kerana koleksi Scholl 2011 menawarkan lebih 100 pilihan untuk lelaki dan wanita dengan pelbagai gaya dan warna menggunakan teknologi biomekanik, yang memberi kelainan tanpa mendatangkan kesakitan pada kaki walaupun terlalu lama berdiri mahupun penggunaan yang kerap.

Menurutnya, koleksi itu juga mempunyai potensi jualan yang besar kerana bakal menjadi pilihan pengguna menjelang sambutan Hari Raya nanti.

“Koleksi Scholl 2011 terdiri daripada kasut untuk bersantai, acara rasmi, kasual lelaki dan wanita, bersukan meliputi jenis selipar bersarung, dan sandal.

“Dalam setiap rekaan, fokus utama kami adalah untuk menyerlahkan gaya bagi memenuhi cita rasa, selain membangkitkan keyaki-nan pengguna tanpa menga-baikan aspek keselesaan kaki,” katanya selepas melancarkan koleksi 2011 sempena Karni-val Scholl di pusat membeli belah Sunway Piramid bermula 25 hingga 28 Julai ini.

Veronika berkata, walaupun saiz pasaran jenama Scholl masih kecil, tetapi dari segi penguasaan pasaran ia berada di tangga teratas.



sumber: Sinar Harian Online

Suntikan semangat Harimau Malaya

PUTRAJAYA 27 Julai - Datuk Seri Najib Tun Razak mengingatkan pemain Harimau Malaya agar percaya kepada diri sendiri dan mempraktikkan taktik yang ditentukan jurulatih, Datuk K. Rajagobal dalam berhadapan Singapura pada pusingan kedua kelayakan Piala Dunia di Stadium Nasional Bukit Jalil malam esok.

Perdana Menteri berkata, kalau mereka bermain dengan penuh disiplin, bersemangat dan keyakinan diri, beliau percaya mereka boleh mengatasi Singapura kerana mereka ada kebolehan dan bakat untuk berjaya.

''Meskipun terpaksa mengatasi defisit dua gol tetapi kita yakin mereka mampu membuat kenaikan mata dengan syarat bermain sebagai satu pasukan dan tidak ada kelemahan di mana-mana posisi pun," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurutnya, beliau akan menyaksikan perlawanan tersebut menerusi skrin gergasi bersama kira-kira 10,000 peminat bola sepak tanah air khususnya rakyat negeri Kedah sebagai tanda sokongan kepada pasukan Harimau Malaya.

Menerusi perbualan telefonnya bersama Rajagobal, Najib memberitahu, beliau sudah mengubah format jamuan makan malam bersama rakyat di Dewan Wawasan Kubang Pasu apabila meminta penganjur memasang skrin gergasi untuk menyaksikan perlawanan bola sepak.

"Saya tidak akan berada di Stadium Nasional Bukit Jalil malam esok tetapi saya akan menyaksikan perlawanan itu, semangat saya ada di sana, semoga berjaya," katanya.

Menurut Perdana Menteri, beraksi di tempat sendiri di hadapan ribuan penyokong memberi kelebihan kepada pasukan negara untuk memenangi perlawanan tersebut.

Sementara itu, Najib berkata, kerajaan akan meneliti dan mempertimbangkan pelbagai cadangan yang dibangkitkan oleh pakar-pakar bidang yang terlibat perbincangan dalam talian meja bulat 1Malaysia.

''Ada yang memberi kertas cadangan mengenai bagaimana mewujudkan cara hidup sihat di peringkat sekolah, terdapat juga wakil daripada industri muzik membangkitkan bahawa artis tidak menerima ganjaran yang sewajarnya," katanya.

sumber: Utusan Malaysia Online

Wednesday, July 27, 2011

Menteri wanita Pakistan runding konflik 64 tahun


2011/07/27

HINA tiba di lapangan terbang New Delhi, semalam.
HINA tiba di lapangan terbang New Delhi, semalam.
NEW DELHI: Wanita pertama dilantik Menteri Luar Pakistan, Hina Rabbani Khar, 34, menjadi tumpuan apabila tiba di sini semalam untuk mengadakan rundingan hari ini dengan rakan sejawat dari India yang 45 tahun lebih tua daripadanya. 

Khar dilantik minggu lalu selepas berkhidmat sebagai menteri luar muda sejak Februari, menjadi wajah diplomatik Pakistan ketika tempoh kritikal, lebih-lebih lagi berkaitan hubungan negara itu dengan Washington.
Menteri yang mempunyai ijazah sarjana dalam pengurusan hotel itu akan terbabit dalam rundingan berhubung isu sempadan yang paling kacau di dunia yang membawa kepada peperangan tiga kali sejak 1947, dengan Menteri Luar India, SM Krishna yang jauh lebih berpengalaman.


Rundingan itu yang pertama antara kedua-dua negara pada peringkat berkenaan sejak setahun lalu, adalah mesyuarat kedua bagi Hina selepas menghadiri forum keselamatan serantau dengan Asean di Bali minggu lalu, yang mana beliau mengadakan pertemuan dengan Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Hillary Clinton. 

Hina menggesa kedua-dua India dan Pakistan meninggalkan ‘beban’ sejarah. 
“Kedua-dua negara harus maju ke hadapan sebagai jiran yang baik yang sudah mempelajari daripada sejarah dan tidak dibebani oleh sejarah”, katanya. 

India menggantung rundingan dengan Islamabad selepas serangan pengganas ke atas 2008 Mumbai yang New Delhi meletakkan kesalahan terhadap militan di negara jirannya itu. 
Sejak itu, kedua-dua negara mengambil langkah bagi memulihkan hubungan. 
Hina yang memakai selendang adalah ibu kepada dua anak perempuan tidak dapat mengelak daripada dibandingkan dengan Benazir Bhutto, Perdana Menteri wanita Pakistan yang dibunuh sejurus pulang dari hidup dalam buangan pada 2007. – AFP 



sumber: Berita Harian Online

Saturday, July 23, 2011

Tajaan Perkahwinan Norman, Memey Bernilai RM12 Juta


KUALA LUMPUR: Pasangan Norman Hakim,35, dan Memey Suhaiza, 23, bakal mengadakan sebuah majlis perkahwinan bernilai RM12 juta pada 28 September ini di Hotel Crown Plaza Mutiara di sini yang ditaja sepenuhnya oleh jenama barangan kemas, Rafflesia.
Menurut wakil Rafflesia selaku perancang perkahwinan pasangan itu, Bill Bora, sebanyak enam penaja yang akan bekerjasama dengan Rafflesia iaitu Lords Tailor, Snips, Angsana Spa, Crown Plaza, Naz(pereka pelamin dan dewan) dan Prof. Datuk Jimmy Choo.
"Memey akan memakai sebanyak dua persalinan baju dan antara tajaan yang diterima ialah, set barangan kemas yang bernilai RM5.6 juta, gaun bertatahkan mutiara Rafflesia bernilai RM1 juta dan kasut rekaan Jimmy Choo (RM600 ribu).
"Bagi persalinan gaun, kami memberi peluang kepada semua pereka fesyen tempatan untuk menghantar rekaan masing-masing dan pihak Rafflesia akan memilih yang terbaik di mana rekaan tersebut mestilah berpadanan dengan mutiara yang dipadankan itu," katanya pada sidang akhbar penajaan perkahwinan Norman dan Memey di Hotel Crown Plaza, di sini, Jumaat.
Tambah Bill, tema majlis perkahwinan itu berkonsepkan New York Look dan hanya 200 orang tetamu sahaja di undang iaitu pihak media dan selebriti.
Lebih menarik lagi beberapa selebriti antarabangsa turut dijemput untuk memeriahkan majlis tersebut dan perkahwinan ini mungkin boleh dianggap sebagai 'Wedding of The Year'.
Norman dan Memey bakal bernikah pada 24 September depan di Felda Tenggaroh Selatan 1, Kota Tinggi, Johor dan pada keesokan harinya, resepsi di rumah pihak perempuan akan diadakan.
Kata Norman, pada mulanya, dia dan Memey bercadang ingin membuat sebuah majlis sahaja di Kota Tinggi dan tidak sangka pula menerima tawaran penajaan untuk resepsi kedua yang begitu besar.
"Sebenarnya kami rasa sangat kerdil apabila menerima tajaan daripada pihak yang bukannya calang-calang orang. Maklumlah, siapalah kami jika dibandingkan dengan selebriti tersohor yang lain.
"Rasa seperti berada di alam fantasi pun ada juga. Tetapi saya anggap tajaan berkenaan adalah rezeki kami dan saya percaya sepanjang kontroversi yang kami lalui sebelum ini ada hikmahnya," ujarnya.
Bagaimanapun Norman tidak menganggap ia sebagai sebuah perkahwinan 'perniagaan' apabila mereka ditaja sepenuhnya pada majlis resepsi kedua itu.
Ditanya pula adakah dia akan menjemput bekas isterinya, Abby Abadi, kata Norman dia semestinya akan menjemput ibu kepada tiga orang anaknya itu iaitu Mohamed Danish Hakim,8, Marissa Dania Hakim, 9, dan Maria Danisha Hakim,3.
"Sudah pasti saya akan menjemput Abby. Lagipun, dia sudah pun menghantar ucapan tahniah menerusi sistem pesanan ringkas (SMS)," katanya.
sumber: mStar Online

Sila klik