Friday, September 18, 2015

Guru tidak perlu rasa terbeban mengajar di kawasan luar bandar


ABDUL WAHAB AZIZ (lima dari kiri) bersama tetamu serta ahli-ahli panel program Bicara Merdeka di Dewan Sri Samarahan Institut Pendidikan Guru Kampus Tun Abdul Razak, Kota Samarahan, Sarawak, kelmarin.

KOTA SAMARAHAN 15 Sept. – Warga pendidik diminta tidak perlu risau dan berasa terbeban apabila ditempatkan di sekolah yang terletak di kawasan luar bandar di ne­geri ini.

Menteri Muda Kemajuan Tanah, Datuk Abdul Wahab Aziz berkata, penempatan tersebut tidak seharusnya menjadi isu kepada warga pendidik kerana ia sudah menjadi tugas dan tanggungjawab mereka dalam membantu memajukan masyarakat terutama di kawasan luar bandar.

“Kita hendaklah berkhidmat dan berbakti kepada negara dan bangsa tidak kira di mana jua ditempatkan kerana harus ingat tanggungjawab kita adalah untuk berbakti kepada masyarakat ter­utama di luar bandar.

“Saya pernah bertugas sebagai pegawai tadbir di Belaga, Saribas dan kawasan lain di luar bandar sebelum saya terlibat dalam politik pada 1987. Kalau kita peka dengan budaya dan masyarakat setempat maka tidak sukar untuk berkhidmat di luar bandar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan program Bicara Merdeka yang bertajuk Merenung Sejenak di Dewan Sri Samarahan Institut Pendidikan Guru Kampus Tun Abdul Razak (IPGKTAR) di sini semalam.

Yang turut hadir, Pengarah IPGKTAR, Hamsiah Abdullah Masni, Presiden Kesatuan Guru Bumiputera Sarawak (KGBS), Ahmad Malie yang mewakili Pengarah Pelajaran Negeri.

Mengulas lanjut, beliau berkata, dalam memastikan suasana kerja yang seronok dan tidak membebankan, mereka perlu berupaya menyesuaikan diri de­ngan masyarakat setempat.

“Bagaimana kita nak majukan masyarakat kalau tidak kenal dengan masyarakat setempat, sebab itu perlu mendekati rak­yat. Warga pendidik harus ikhlas dalam memikul tanggungjawab dalam memajukan masyarakat di luar bandar.

“Jika kita ada perjuangan, ikhlas dalam memikul tanggungjawab dalam memajukan masyarakat, di mana-mana sahaja ditempatkan pasti tidak akan berasa kekok dan terbeban,” ujarnya.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/wilayah/guru-tidak-perlu-rasa-terbeban-mengajar-di-kawasan-luar-bandar-1.136289#sthash.cFH1O4QQ.dpuf

No comments:

Sila klik