Sila klik

Sunday, March 23, 2014

PRK DUN Kajang : PKR MENDAHULUI BN, UNDI MELAYU PENENTU MAJORITI

Pola Pengundian Dalam Pilihan Raya Kecil N.25 Kajang
Posted on Sunday, March 23 @ 15:50:24 MYT
Dilulus untuk paparan oleh memo




Selepas tamat tempoh kempen lewat malam semalam, berdasarkan kajian lapangan ILHAM Centre, kami dapati sokongan pengundi kepada Parti Keadilan Rakyat berada dalam keadaan
selesa.

Barisan Nasional (BN) kelihatan sukar menembusi kubu kuat Pakatan Rakyat (PR) dalam Pilihan Raya Kecil Kajang ini. Malah Parti Keadilan Rakyat (PKR) memperbaiki asas sokongan dengan membuat lonjakan sokongan di kalangan pengundi Melayu kerana faktor calon yang ditampilkan.

ILHAM Centre melakukan kajian lapangan bermula 19 Mac hingga 22 Mac 2014 yang menemubual responden secara tatap muka seramai 406 pengundi berdaftar bagi mewakili populasi di dalam kawasan kajian ini.

Kajian ini menfokuskan kepada pola pengundian Melayu yang mana di dalam pilihan raya kecil ini memperlihatkan pengundi Melayu menjadi sasaran dan rebutan kempen kedua-kedua pihak yang bertanding.

Di dalam Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU13) lalu, BN memperolehi sebahagian besar undi mereka daripada daerah mengundi majoriti Melayu seperti Sungai Kantan dan Batu 10 Cheras.

Oleh itu, strategi BN ialah berusaha mengekalkan jumlah undi Melayu agar tidak beralih arah kepada Pakatan Rakyat.

Manakala bagi PR/PKR, kelebihan dengan calon Melayu, sedikit sebanyak mampu meraih undi pengundi yang memilih atas asas Melayu-Islam. Jumlah ini agak signifikan iaitu jika dilihat kepada jumlah undi calon bebas dalam PRU lalu memperolehi seramai hampir 1400 orang.

Jadi, dalam PRK ini, ke mana halatuju pengundi yang mengundi atas pertimbangan Melayu –Islam?

Sama ada mengundi calon PKR atau tidak keluar mengundi? Ini antara fokus kajian yang dilakukan.

Berdasarkan dapatan kuantitatif dan kualitatif, kami dapati calon PKR selesa mendahului calon BN dan bergantung kepada peratus keluar mengundi serta tahap sokongan undi Melayu yang akan menentukan jumlah majority kecil atau besar.

KEMPEN “LAMBAT PANAS”

Berdasarkan pengamatan dari awal fasa kempen hinggalah saat akhir pengundian, kami dapati kempen di Kajang ini seakan lambat panas.

Bermula kesuraman ini selepas “Kajang Move” ini dipatahkan dengan Mahkamah Rayuan menjatuhkan hukuman bersalah ke atas bakal calon yang dicanang awal, Datuk Seri Anwar Ibrahim hilang kelayakan bertanding di sini.

Kemudian, dikuti kemuraman kempen secara kebetulan berlaku insiden kehilangan kapal terbang MAS, MH370 menyebabkan perhatian masayarakat Malaysia dan penduduk Kajang khususnya beralih tumpuan hari ke hari dalam tempoh kempen di Kajang.

Kesuraman kempen ini dikuatkan lagi dengan liputan media sama ada media perdana mahupun portal internet terlalu minima terhadap pilihan raya kecil ini.

Ini juga merencatkan jentera kempen kedua belah parti pada peringkat awal kempen.

Laporan berita menjurus kepada liputan pencarian pesawat MH370 dan pengundi mengikuti perkembangan awal dengan penuh perhatian dan harapan sekaligus menengglemkan aura PRK Kajang.

Selain itu juga, berdasarkan pengakuan responden, mereka akui bahawa faktor lokaliti yang berada dalam kawasan bandar dan pinggir bandar mempengaruhi suasana kempen. Kibaran bendera dan poster sebenarnya tidaklah semeriah berbanding PRK di Kuala Besut dan Sungai
Limau sebelum ini.

Kekuatan jentera juga pada peringkat awal tidak begitu agresif dan menyerlah. Pakatan Rakyat juga tidak sebulat suara pada permulaan kempen.

Pemuda PAS dan Angkatan Muda Keadilan tidak berperanan sewajarnya. Pemuda PAS Selangor “dingin” dan skeptical dengan pengosongan kerusi Kajang secara mendadak, manakala AMK terlalu sibek berkempen untuk pertandingan dalaman parti mereka.

BN TAMPIL “UNDERDOG” DAN SEAKAN TIDAK MAHU MENANG

Ketombokan Barisan Nasional dalam PRK kali ini tampil berbeza berbanding dua PRK yang lepas. Jentera tidak begitu agresif menggempur pengundi. Namun pujian harus diberikan kepada kesungguhan calon BN, Chew Mei Fun turun padang secara intensif dengan tujuan meraih sokongan pengundi terutama masyarakat Tionghua.

Di dalam PRK Kajang ini juga, tiada pengumuman peruntukan tertentu, janji manis kepada
pengundi mahupun projek kerajaan persekutuan bernilai jutaan ringgit. Kebiasaannya, BN akan menggunakan strategi menabur projek pembangunan menerusi bajet dan peruntukan di bawah pelbagai agensi kerajaan, namun sebaliknya berlaku di sini. Ianya seakan mempamerkan ketidakyakinan BN untuk menang dalam PRK ini.

Dalam konteks projek pembangunan juga, Kerajaan Selangor memanfaatkan kuasa pemerintahan di bawah Pakatan Rakyat mendominasi program, pameran agensi kerajaan negeri, Menteri Besar, EXCO dan wakil rakyat memenuhi jadual kempen dalam PRK ini.

SIKAP PENGUNDI KAWASAN BANDAR SUKARKAN BN. KUBU KUAT UMNO TERHAKIS

Lokaliti bandar dan pinggir bandar, ditambah dengan kadar penetrasi maklumat kepada pelayaran internet dan pengaruh media sosial baharu yang luas menyukarkan BN untuk menang.

Selama ini, tujuh daerah mengundi peratus penduduk Melayu 75 peratus ke atas yang menjadi kubu kuat UMNO kini kian terhakis sedikit demi sedikit. Daerah mengundi seperti Sungai Kantan (90 peratus Melayu), Taman Mesra (83 peratus Melayu), Saujana Impinan dan Sungai Sekamat (80 peratus),Kantan Permai (79 peratus Melayu) Batu 10 Cheras (78 peratus Melayu) dan Taman Delima (76 peratus Melayu).

Pengundi Cina bertumpu di 6 daerah mengundi iaitu, , Sungai Chua Satu, Sungai Chua Dua, Sungai Chua Tiga, Sungai Chua Empat, Sungai Chua Lima, Kajang dan Bandar Kajang. Manakala kawasan bercampur ialah di Taman Kajang Baharu dan Taman Kota Cheras.

Beberapa indikator memperlihatkan pola pengundian berbeza antara PRK luar bandar dan kawasan bandar. Kajang mewakili kawasan bandar memberikan gambaran bahawa pengundi
bandar mempunyai pendirian poliitk yang berbeza.

Pengundi Kajang yang ditemubual meletakkan pertimbangan hampir seimbang antara faktor pemilihan berdasarkan parti dan calon.

Dapatan kajian menunjukkan penentuan asas pemilihan dalam PRK kali ini ialah mengikut parti yang dianggotai sebanyak 46 peratus, dan 30 peratus atas faktor calon yang disukai.

Pertimbangan rasional ini memberikan kelebihan untuk pengundi membuat pilihan muktamad sehingga hari membuang undi.

Selain itu, berlaku perubahan kecil tetapi signifikan pada pola pengundian undi Melayu di kawasan kubu UMNO. Merujuk kepada perubahan di dua daerah mengundi Sungai Kantan dan Batu 10 Cheras, kekuatan pengaruh PR dan PKR makin melebar di sana, dipercayai akan berjaya “menculik” sedikit undi yang kebiasaannya tegar kepada UMNO/BN di sana.

MEDIA SOSIAL PENGARUHI POLA UNDI MUDA

Dalam pilihan raya kecil kali ini, capaian dan penetrasi maklumat melalui internet adalah yang tertinggi iaitu sebanyak 63 peratus.

Ini jumlah penemuan tertinggi ILHAM Centre sepanjang kami mengikuti rapat dalam siri-siri PRK yang lain.

Kajian merakamkan bahawa anak muda dan golongan pertengahan lebih terkesan dan dilihat cenderung kepada citra perjuangan Pakatan Rakyat.

Pengaruh media sosial yang pelbagai dan percuma seperti Whatsapp, Telegram, WeChat, ditambah dengan kekuatan segmen Facebook dan Twitter serta disokong oleh portal media alternatif, memberi dampak kuat kepada kempen Pakatan Rakyat di sini.

Meskipun media perdana seperti TV3 dan akhbar arus perdana masih wujud, namun ianya ditenggelamkan oleh ledakan kuasa baru media sosial ini dalam penyebaran maklumat, spekulasi, jadual kempen.

Semuanya dapat disalurkan dengan lebih pantas, terus kepada sasaran (pengundi) dan berkesan. Kelompok sasar terutama anak muda di bawah 35 tahun cukup dipengaruhi kepada elemen kempen media sosial ini, generasi lama kekal dengan kempen politik konvensional iaitu ceramah umum, ceramah kelompok, edaran pamplet dan sebagainya.

WAN AZIZAH MENGATASI CHEW MEI FUN

Faktor calon diperhalusi untuk melihat sejauh mana kekuatan kedua peribadi calon dalam PRK Kajang ini.

Merujuk dapatan kajian, Wan Azizah lebih dikenali oleh responden sebelum pilihan raya lagi iaitu 72 [eratus berbanding Chew Mei Fun menduduki peratus sebanyak 7 peratus sahaja. Chew Mei Fun disifatkan responden terutama pengundi Melayu sebanyak 56 pertaus baru mengenali dalam tempoh kempen ini berlangsung.

Pengundi yang ditemubual juga menyifatkan pemilihan Datin Seri Dr Azizah menggantikan calon asal Anwar Ibrahim sebagai pilihan tepat dengan peratus sebanyak 52 peratus berbanding calon BN hanya memperolehi sekitar 38 peratus sahaja.

Strategi meletakkan Wan Azizah juga dilihat mampu menawan sekelompok pengundi yang memilih atas faktor calon Melayu-Islam iaitu sebanyak 11 peratus. Undi mereka yang mengundi calon BERJASA (ISMA), dan beberapa calon bebas yang lain dalam PRU 13 lalu berjumlah lebih 1,000 undi dijangka akan beralih kepada Wan Azizah atas faktor ini.

KENAIKAN HARGA BARANG DAN BEBAN HIDUP MASALAH UTAMA PENGUNDI

Pada pertanyaan yang merujuk apakah masalah utama yang dihadapi oleh pengundi di Kajang, sebanyak 27 peratus menyatakan kenaikan harga barang dan beban hidup di bandar sebagai masalah utama mereka.

Diikuti dengan infrastruktur yang tidak sempurna terutama penyelenggaraan jaran raya dan kutipan sampah sebanyak 10 peratus, jenayah seperti kecurian, samun, pecah rumah 7 peratus, kesesakan lalu lintas dan masalah sosial berkongsi 5 peratus, peratusan di bawah 5 peratus pula seperti peluang pekerjaan dan lain-lain isu yang tidak dominan dari kaca mata pengundi di sini.

Pada penyataan persetujuan, diajukan mengenai kegagalan BN mengawal ekonomi negara mengakibatkan harga keperluan harian dan kos sara hidup meningkat, 61.6 peratus responden
bersetuju.

Ini memberikan beban besar kepada calon BN untuk berdepan dengan referendum persetujuan majoriti pengundi di sini yang melihat BN gagal membendung kenaikan harga barang dan kos sara hidup di bandar yang menjejaskan kualiti hidup pengundi bandar ini.

Isu Anwar Ibrahim dizalim menominasi isu nasional, populariti Kerajaan Selangor diyakini
dalam isu setempat.

Isu kedua meraih peratusan tinggi ialah responden bersetuju dengan penyataan bahawa kes Liwat 2 ke atas Anwar Ibrahim adalah satu fitnah dan kezaliman kepada beliau sebanyak 42 peratus.

Pengundi di sini mengikuti rapat sejak pengumuman “Kajang Move” atau Langkah Kajang digerakkan dengan meletakkan Anwar Ibrahim sebagai calon hinggalah kepada spekulasi penggantian Menteri Besar.

Apa yang menarik, isu ini diikuti rapat oleh mereka menerusi penguasaan media sosial dan berita alternatif dari portal internet menyumbang kepada pola undi yang cakna dan progresif.

Berdepan dengan pengundi sebegini, corak pemberitaan, laporan media kerajaan tidak mampu mengekang kemaraan wahana baharu maklumat pengundi kawasan ini. Akhirnya sedikit sebanyak mengakibatkan kemorosotan keyakinan pengundi kepada parti pemerintah.

Bagi isu setempat, responden yang memberikan kerjasama mereka kapada kajian ini meletakkan tahap kepuasan hati yang tinggi terhadap dasar dan pentadbiran kerajaan Selangor.

Ini menyumbang sebanyak 73 peratus. Peratus yang cukup kuat menunjukkan keyakinan rakyat kian bertambah kepada kerajaan negeri pimpinan Pakatan Rakyat.

PKR DIJANGKA MENANG SELESA, BERHARAP ANJAKAN PENGUNDI MELAYU PENENTU MAJORITI

Ketika kajian ini dilakukan berakhir semalam, PKR kelihatan selesa dengan 53 peratus mendahulu BN yang hanya pada 32 peratus. Bakinya 15 peratus belum lagi menetapkan pendirian.

Jika keadaan ini berterusan pada hari pengundian, PKR dijangka dapat mempertahankan kerusi DUN Kajang ini.

Namun perkiraan majority menjadi tumpuan penganalisa politik. Berdasarkan unjuran PRU lalu, undi Cina yang memberi undi kepada PR mencecah 82 peratus, undi Melayu 49 peratus dan undi India sekitar 55 peratus. Jika tren ini berterusan, hasrat BN untuk mengurangkan majoriti PKR di sini mungkin hanya tinggal harapan.

PKR hanya perlu mengekalkan momentum sokongan pengundi Cina, menambah lonjakan undi Melayu, maka pengundi Melayu adalah penentu kemenangan dan julah majoriti undi yang akan diperolehi.

Berdasarkan dua himpunan Pakatan Rakyat pada malam terakhir, mengukuhkan kekuatan dan keadaan jentera PKR berhadapan dengan pusingan akhir hingga hari mengundi.

Kesimpulannya, BN masih gagal menambat hati pengundi di sini. Calon BN, Chew Mei Fun juga kelihatan gagal memulihkan sokonga pengundi Cina kepada MCA dan juga BN dalam tempoh berkempen ini.

Dengan tiadanya pengumuman projek pembangunan di sini, boleh ditafsirkan seolah-olah BN tidak mahu membuat pelaburan yang akan merugikan kepentingan politik mereka.

Ini sekaligus memberikan keadaan selesa untuk PKR mewakili Pakatan Rakyat untuk menang di PRK Kajang ini.

Disediakan oleh

MUHAMAD HISOMMUDIN BAKAR
Pengerusi Eksekutif
Firma Penyelidikan, ILHAM Centre
019-5502000
hisommudin@gmail.com

Facebook ilhamcentre

sumber : http://www.tranungkite.net/v12/modules.php?name=News&file=article&sid=13443

No comments: