Monday, March 31, 2014

Ocean Shield, kapal pengesan kotak hitam sertai misi cari MH370

Kapal kesan kotak hitam sertai misi cari MH370



KAPAL milik Australia, Ocean Shield berlabuh di sebuah pelabuhan di Perth semalam.

PERTH - Sebuah kapal perang Australia yang dilengkapi dengan alat pengesan kotak hitam menyertai misi mencari sebuah pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) yang terhempas di Lautan Hindi.

Penghantaran kapal tersebut dibuat semalam iaitu sehari selepas beberapa kapal lagi mengambil beberapa objek di Lautan Hindi bagi mengenal pasti sama ada ia mempunyai kaitan dengan pesawat yang hilang itu.

Bagaimanapun, tiada satu pun objek mempunyai kaitan dengan pesawat MH370 tersebut menyebabkan pasukan mencari masih belum mengetahui lokasi sebenar kapal terbang itu terhempas selepas lebih tiga minggu hilang.

Seramai 29 ahli keluarga penumpang pesawat berkenaan tiba di Kuala Lumpur, Malaysia semalam bagi mencari jawapan berhubung kehilangan saudara-mara mereka.

Pesawat yang dalam penerbangan dari Kuala Lumpur menuju ke Beijing dan membawa seramai 239 penumpang itu hilang pada 8 Mac lalu.

Seramai 153 penumpang pesawat jenis Boeing 777-200 tersebut adalah warga China.

Kotak hitam yang perlu dicari itu mengandungi maklumat penerbangan dan rakaman perbualan di kokpit. Kapal Ocean Shield milik Australia itu dijadualkan sampai dilokasi carian yang seluas hampir menyamai keluasan Poland dalam tempoh empat hari.

Pihak Berkuasa Keselamatan Maritim Australia (AMSA) yang menyelaras misi mencari itu berkata, kapal Ocean Shield dilengkapi dengan sebuah alat pengesap kotak hitam yang dikenali sebagai towed pinger locator.

Selain alat pengesan yang dipinjam dari tentera Amerika Syarikat itu, kapal berkenaan turut membawa sebuah kapal selam kawalan jauh.

Seorang jurucakap AMSA berkata, kapal dari China dan Australia telah mengambil beberapa objek di kawasan carian tetapi mendapati ia hanya sampah.

Ketika ini tiada objek yang diambil itu disahkan mempunyai kaitan dengan MH370. - AP

sumber : Kosmo! Online

No comments:

Sila klik