Friday, March 28, 2014

Operasi SAR Mencari MH370 tidak akan dihentikan sehingga kotak hitam ditemui

Malaysia Tidak Akan Henti Operasi Mencari MH370
Friday, 28 March 2014 Written By Moderator





KUALA LUMPUR 28 Mac -Kerajaan Malaysia tidak akan menyerah kalah dalam usaha mencari Penerbangan MH370 milik Malaysia Airlines (MAS) walaupun kotak hitam pesawat hanya mengeluarkan isyarat selama 30 hari.

Pengarah Perkhidmatan Trafik Udara Jabatan Penerbangan Awam (DCA) Ahmad Nizar Zolfakar berkata kerajaan Malaysia telah memberi komitmen untuk meneruskan operasi mencari dan menyelamat (SAR) sehingga kotak hitam pesawat dijumpai.

Nizar berkata kerajaan akan mencontohi langkah yang diambil dalam operasi SAR bagi penerbangan 447 Air France yang terhempas di Lautan Atlantik pada 2009.

"Masa dua tahun diambil untuk menjumpai kotak hitam Air France 447, daripada pesawat Air France 447, oleh itu kami akan menjadikannya sebagai contoh dalam misi SAR untuk MH370.

"Mencari kotak hitam adalah usaha yang diberi keutamaan peringkat tertinggi oleh kerajaan (Malaysia)," kata beliau.

Nizar berkata demikian pada taklimat antara delegasi tertinggi Malaysia dan anggota keluarga penumpang warga China pesawat malang itu di Beijing pada Khamis.

Taklimat itu yang bermula pukul 3 petang berakhir pada 6.40 petang (waktu tempatan).

Sementara itu, Komander Operasi Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Lt Jen Datuk Seri Ackbal Abdul Samad meminta keluarga penumpang tidak menganggap taklimat itu sebagai perbicaraan dan membangkitkan persoalan membabitkan aspek perundangan.

Semasa taklimat, berpuluh-puluh persoalan teknikal dan bersifat spekulasi ditanya oleh anggota keluarga.

Persoalan itu membabitkan kemudahan yang dilengkapi di dalam pesawat Boeing 777-200ER untuk menghalang rampasan, ketinggian maksimum penerbangan MH370, tempoh pesawat boleh terbang melepasi had ketinggian, bekalan oksigen yang mencukupi dan reaksi fizikal penumpang di dalam pesawat sebaik mencapai had ketinggian.

Anggota keluarga juga bertanya sama ada panggilan telefon satelit dibuat ketika sistem Komunikasi dan Pelaporan pesawat (ACARS) dan peralatan transponder dimatikan.

Anggota keluarga juga meminta wakil dari syarikat Rolls-Royce (pembuat enjin) dan Boeing hadir pada taklimat akan datang.

Delegasi tertinggi itu yang diketuai Ackbal tiba di Beijing Khamis lepas.

Delegasi itu, mengandungi wakil dari Pejabat Perdana Menteri, Kementerian Luar, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Jabatan Penerbangan Awam (DCA) dan Malaysia Airlines ditugaskan untuk memberi taklimat kepada anggota keluarga berhubung perkembangan terkini pencarian pesawat.

Kira-kira 154 warga China adalah antara 227 penumpang dalam pesawat Boeing 777-200ER itu yang hilang semasa dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac.

Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing pukul 6.30 pagi pada hari yang sama.

Misi pencarian pelbagai negara digerakkan bagi menjejaki pesawat, mula-mula di Laut China Selatan dan kemudian, di sepanjang dua koriror -- koridor utara menjangkau dari sempadan Kazakhstan dan Turkmenistan ke utara Thailand dan koridor selatan, meliputi dari Indonesia ke selatan Lautan Hindi.

Hasil analisis data satelit yang belum pernah diguna pakai sebelum ini, firma telekomunikasi satelit United Kinghdom Inmarsat dan Cawangan Penyiasatan Kemalangan Udara UK (AAIB) membuat rumusan bahawa Penerbangan MH370 terbang melintasi koridor selatan dan kedudukan terakhirnya ialah di tengah-tengah Lautan Hindi, ke barat Perth, Australia.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pada 24 Mac, 17 hari selepas kehilangan pesawat bahawa Penerbangan MH370 berakhir di selatan Lautan Hindi.

sumber : http://www.rakyatnews.my/index.php/20140328155382/umum/malaysia-tidak-akan-henti-operasi-mencari-mh370

No comments:

Sila klik