Monday, March 24, 2014

Analisis PRK DUN Kajang : Sokongan pengundi muda dan Melayu

Sokongan pengundi muda dan Melayu
MAR 24, 2014 ABD SHUKUR HARUN



Dua hal yang sangat wajar diperhatikan berdasarkan keputusan PRK Kajang Ahad lalu di mana calon PKR/Pakatan Rakyat, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail memenangi kerusi Dun itu dengan majoriti 5,379 undi.

DS Dr Wan Azizah meraih 16,741 undi manakala calon BN memperolehi 11,362.
Dua hal itu ialah Pakatan Rakyat telah dapat mengukuhkan kekdudukan di kawasan pengundi majoriti Melayu, antaranya Sekamat dan Taman Delima. Dua kawasan ini dan beberapa kawasan lain di mana majoriti Melayu menampakkan perubahan sikap pengundiannya dengan mula menyokong Pakatan Rakyat.

Kedua, pengundi muda memberi sokongan besar kepada calon Pakatan, hampir setiap daerah mengundi dan ini memberi gambaran jelas bahawa Pakatan Rakyat akan terus mendapat sokongan pengundi muda di masa akan datang.

Walaupun undi yang diperoleh DS Dr Wan Azizah kurang, tetapi ini perlu dilihat dari sudut bahawa mereka yang keluar mengundi dalam PRK Kajang kali ini merosot. Maka itu tidak boleh dikatakan undi yang diperolehinya kali ini merosot dalam erti kata yang sebenarnya.

Sejumlah 72 peratus pengundi keluar mengundi pada PRK kali ini, kurang 8 peratus daripada sasaran Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Peratus keluar mengundi pada PRU lalu bagi Dun Kajang adalah 87 peratus.

PKR/Pakatan Rakyat juga meningkatkan penguasaan di dua kawasan majoriti Melayu - Sekamat dan Taman Delima.

Pengarah komunikasi PKR Fahmi Fadzil berkata, PKR berjaya menang atau mengurangkan majoriti empat kawasan kubu kuat Umno sebelum ini.

Menurut beliau, calon PKR menang di daerah mengundi Sg Sekamat dengan 45 undi (sebelum ini tewas dengan 239 undi) dan juga daerah mengundi Taman Delima dengan 3 undi (sebelum ini tewas dengan 123 undi).

"Di Sungai Kantan dulu kita kalah 420 undi tetapi sekarang turun kepada 225 undi, manakala di Daerah Mengundi Batu 10 Cheras (157) sekarang berkurangan kepada 151 undi," kata beliau.

Sementara itu, menurut kajian ILHAM Centre, kekdudukan lokaliti bandar dan pinggir bandar, ditambah dengan kadar penetrasi maklumat kepada pelayar internet dan pengaruh media sosial baharu yang luas menyukarkan BN untuk menang.

Menurut kajian tersebut, selama ini, tujuh daerah mengundi peratus penduduk Melayu 75 peratus ke atas yang menjadi kubu kuat Umno kini kian terhakis sedikit demi sedikit.

Laporan kajian itu menunjukkan, daerah mengundi seperti Sungai Kantan (90 peratus Melayu), Taman Mesra (83 peratus Melayu), Saujana Impinan dan Sungai Sekamat (80 peratus), Kantan Permai (79 peratus Melayu) Batu 10 Cheras (78 peratus Melayu) dan Taman Delima (76 peratus Melayu).

Pengundi Cina bertumpu di 6 daerah mengundi iaitu, Sungai Chua Satu, Sungai Chua Dua, Sungai Chua Tiga, Sungai Chua Empat, Sungai Chua Lima, Kajang dan Bandar Kajang. Manakala kawasan bercampur ialah di Taman Kajang Baharu dan Taman Kota Cheras.

MCA berpendapat bahawa calonnya dapat menambah jumlah pengundi Cina kepada MCA, di samping dapat ‘mengurangkan majoriti’ undi calon PKR/Pakatan Rakyat.

Bagaimanapun, DS Dr Wan Azizah Wan menyifatkan kejayaannya mengekalkan kerusi Dun Kajang sebagai bukti keberkesanan strategi 'Langkah Kajang'.

Menurutnya, kemenangannya ‘lebih manis’ kerana majoriti kemenangan disumbangkan oleh pengundi dari muda daripada saluran 5, 6 dan 7.

"Sudah tentu ia (Langkah Kajang) berkesan kerana kita lihat pengundi muda telah memberikan kita keyakinan menyebabkan 'Langkah Kajang' berjaya. Saya bersyukur kepada Allah kerana kemenangan ini begitu manis sekali," kata beliau di sidang media di pusat pengiraan undi.

'Langkah Kajang' itu merujuk kepada strategi PKR untuk membolehkan pilihan raya tersebut diadakan dan seterusnya bagi menawan Putrajaya.

Menurut DS Wan Azizah, jenteranya mendapati sokongan meningkat di kalangan pengundi muda Melayu, di mana ini menunjukkan trend positif. Faktor itu juga menyumbang kepada kemenangan PKR di peti undi Sungai Sekamat dan Taman Delima di mana sebelum ini dikuasai adalah kubu kuat Umno.

Indikasi keputusan PRK Kajang ini, sangat wajar diberi perhatian serius oleh Pakatan Rakyat bahawa ia perlu mengekalkan sokongan pengundi generasi baru.

Dalam masa yang sama ia perlu bekerja keras untuk memberi fokus penting kepada pengundi Melayu yang dilihat mulai menunjukkan perubahan berdasarkan keputusan pengundian di Kajang, Ahad lalu.

Walaupun suasana dan iklim politik Kajang/Selangor sebanyak sedikit berbeza dengan suasana di negeri lain, terutama negeri di Pantai Timur dan Utara, tetapi, tetapi tidak mustahil perubahan di kalangan pengundi Melayu juga akan berlaku.

Yang sangat diperlukan oleh pendukung Pakatan Rakyat ialah kebijaksanaan mendekati pengundi Melayu itu dan jangan sama sekali mudah kecewa untuk mendekati mereka apabila mendapati begitu sukar untuk mempengaruhi mereka.

Sementara itu keputusan PRK Kajang mempunyai makna yang besar bahawa walaupun DS Anwar tidak menjadi calon di situ, tetapi sokongan dan simpati pengundi Kajang kepadanya adalah besar berdasarkan sokongan yang diterima oleh isterinya, DS Dr Wan Azizah.

Di samping itu, kemenangan DS Dr Wan Azizah akan membantu memperkukuh Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Selangor yang selama ini berhempas pulas untuk kepentingan rakyat.

Tidak wajar diperkatakan sekarang mengenai apa peranan dan kedudukan DS Dr Wan Azizah di Selangor nanti di mana saya kira DS Anwar Ibrahim bersama pimpinan Pakatan Selangor dan Pakatan peringkat pusat boleh menentukannya.

Hindarkanlah pelbagai spekulasi mengenai hal ini kerana agenda utama Pakatan ialah memperkukuh lagi kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor yang boleh menjadi pemangkin kepada persiapan Pakatan untuk ke koridor kuasa di Putrajaya menerusi PRU14 akan datang.

sumber : http://bm.harakahdaily.net/index.php/shukur-harun/26628-sokongan-pengundi-muda-dan-melayu

No comments:

Sila klik