Saturday, May 10, 2014

Belasungkawa Jamal Mohamad 1939-2014: Pak Cik Jamal dalam kenangan


Oleh Ridzuan Abdul Rahman

Siapa yang dapat menafikan populariti Jamal Mohamad yang cukup popular terutama dalam kalangan kanak-kanak pada era 1980-an.

Setiap kali menjelang ulang tahun Hari Kemerdekaan, kelibatnya pasti akan dinanti-nantikan.

Berpakaian kemas dan segak, insan yang sinonim dengan gelaran Jamal Kerdil atau Pak Cik Jamal dalam kalangan kanak-kanak ini mengetuai perbarisan sambil diikuti oleh kanak-kanak dari Mini Parlimen yang dipimpinnya.

Ketika itu, Jamal menjadi Speaker Mini Parlimen yang diterbitkan bertujuan mendedahkan masyarakat terhadap erti demokrasi. Program yang dicetuskan oleh Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali ini turut disiarkan menerusi RTM dan mencetuskan kelucuan dengan kerenah kanak-kanak yang menyertai perbahasan diadakan.


DARI muda hingga ke usia emas beliau diminati golongan muda.

Seperti suasana parlimen biasa, suasana Mini Parlimen tidak kurang meriahnya dengan sesi perbahasan dan bertengkar dalam kalangan kanak-kanak ini. Bagaimanapun, kehangatan itu disejukkan dengan dialog Pak cik Jamal yang berbunyi, “Kita minum dulu!” yang menjadi ikutan ramai.

Sememangnya terlalu banyak pengajaran yang boleh ditimba. Sehingga kini, belum ada program kanak-kanak lain dapat menandingi kehebatan Mini Parlimen. Bahkan Pak Cik Jamal mencipta populariti luar biasa terutamanya dalam kalangan kanak-kanak.

Bagaimanapun insan istimewa ini sudah tiada dan meninggalkan kita buat selama-lamanya pada jam 11.07 pagi kelmarin pada usia 75 tahun di Hospital Putrajaya.

Allahyarham dikejarkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) berkenaan sejak Isnin lalu akibat sesak nafas.

Pak Cik Jamal meninggalkan isteri Salmiah Serat, 68, dan tiga anak iaitu Sheila, 47, Mohd Shahan, 45, dan Mohd Iskandar, 31, serta sembilan cucu.

Pada usia 61 tahun, Pak Cik Jamal disahkan menghidap penyakit ‘ankylosing spondylitis’ yang menyebabkan tulangnya semakin membengkok dan mengganggu paru-parunya.

Sejak Mini Parlimen tamat, Allahyarham menjauhkan diri daripada publisiti kerana tiada perkara menarik mengenainya yang boleh ditulis.

Tidak ramai yang tahu selain Mini Parlimen, Pak cik Jamal pernah menerbitkan program Taman Kanak-Kanak, Pesta Pop dan Pentas Aneka. Disebabkan itulah dia dijemput menghadiri Mesyuarat Seluruh Komanwel Orang-Orang Kerdil di Sydney, Australia serta berpeluang mengikuti kursus di Channel 10, Australia Broadcasting Corporation (ABC) selama sebulan pada 1977.

Beliau yang dilahirkan di Jalan Raja Alang, Kuala Lumpur adalah kakitangan RTM dan menyertai stesen penyiaran milik kerajaan ini pada 1960 dan bersara pada 1995.

Menerusi bantuan pelakon Nordin Ahmad, Allahyarham pernah menjalani uji bakat dengan Studio Cathay Keris untuk berlakon filem di bawah arahan K M Basker.

Impiannya terlaksana apabila berpeluang membintangi filem Sabaruddin Tukang Kasut dan Jambatan Maut. Bahkan dia juga berbakat besar dalam nyanyian apabila menyertai pertandingan nyanyian yang turut disertai Allahyarham Datuk Ahmad Jais dan Idrus Daud. Beliau yang menyanyikan lagu Gunung Banang berjaya menduduki tempat ketiga.

Pemergian Allahyarham diratapi ramai rakan artis dan kenalan serta menerima penghormatan daripada Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari; Ketua Pengarah Penerangan, Datuk Norhyati Ismail dan bekas peserta Mini Parlimen itu sendiri.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek menerusi Facebooknya menyifatkan Allahyarham sebagai seorang guru yang berjiwa besar serta seorang personaliti TV yang lain daripada lain.

“Melalui dunia penyiaran, beliau mendidik anak bangsa untuk menjadi bangsa yang besar dan mahu melihat Malaysia sentiasa dihormati,” katanya.

Mengenang detik terakhir bersama Allahyarham, isterinya Salmiah berkata, arwah suaminya gembira dapat bertemu semula anak-anak didiknya menerusi pertemuan yang dianjurkan Berita Harian dan RTM pada 23 Februari lalu.

“Dia sering bercakap mengenai hal ini. Impian arwah untuk menunaikan umrah juga kesampaian dan selamat pulang pada 30 April lalu walaupun keadaannya kurang sihat.

“Cuma impian untuk menubuhkan Kelab Mini Parlimen dan pertemuan bersama bekas peserta Mini Parlimen di rumah kami pada 30 Ogos ini tak kesampaian,” katanya.

Jenazah Allahyarham disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Dengkil, Selangor pada jam 6 petang kelmarin. Al-Fatihah.

sumber : http://www.hmetro.com.my/articles/BelasungkawaJamalMohamad1939-2014_PakCikJamaldalamkenangan/Article?hm

2 comments:

#chonteng2 said...

Arwah Abah mempunyai 2 orang anak sahaja. Muhammad Eskandar adalah anak angkat. Arwah Abah dilahirkan di Batu Berendam, Melaka dan dibesarkan di Jalan Raja Alang, Kg. Bahru, Kuala Lumpur.

- Sheila Jamal (FB)

#chonteng2 said...

Salam Admin, Terima Kasih byk2 atas artikel tersebut.

Sila klik