Sila klik

Monday, May 26, 2014

Terima kasih TG Nik Abdul Aziz

http://abuhassanadam.blogspot.com/ | 25 Mei 2014.

Aku merasa lega dengan kenyataan Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang disiarkan melalui artikel berjodol,’Teluk Intan: Pandangan Saya’ bertarikh 24 Mei 2014. Aku dan beberapa orang kawan telah begitu lama agak ‘lemas’ dengan isu Hudud ini. Ini isu ‘ditelan mati emak diluah mati bapak’. Apa tidaknya. Sebagaimana yang dijelaskan oleh TG Nik Aziz, ‘hudud merupakan satu kewajipan. Mana-mana orang Islam wajib menerima hukum ini sebagaimana mereka menerima kewajipan bersolat dan berpuasa.’

Lantas mahu tidak mahu sebagai orang Islam kita perlu menerimanya. Tidak ada tolak ansur lagi. Orang islam wajib menerima hukum ini sebagaimana mereka menerima kewajipan bersolat atau berpuasa. Persoalan yang ditimbulkan sekarang ialah bahawa hukum hudud akan diperkenal dan akan dilaksanakan di Malaysia tetapi mendapat tentangan dari pihak-pihak yang bukan Islam.

Walaupun aku bukan pemimpin negara, namun isu ini memeningkan kepala aku juga kerana aku amat simpati dengan pemimpin-pemimpin lain yang cuba menyelesaikan isu hudud ini, terutama parti-parti dalam Pakatan Rakyat. DAP sejak dari dulu lagi telah pun menentang pelaksanaan Hudud ini. Malah mendiang Karpal Singh pun telah pernah beberapa kali menyatakan bahawa, ‘langkah mayatnya dahulu sebelum Hudud dilaksanakan di Malaysia’.

Dan dalam kempen PRK Teluk Intan juga, calonnya Dyana Sofia telah juga menyatakan bahawa beliau, ‘would vote against the implementation of hudud law in Malaysia if she wins and such a Bill is tabled in Parliament……the 27-year-old stressed that she was not against hudud, but implementation in Malaysia is not feasible before socio-economic issues can be addressed….My stand on hudud is the same as the party stand,"Malaysia Chronicle 18 May 2014.

Kenyataan Dyana Sofia yang sebegininya pasti mengundang kontroversi yang bukan kecil terutama bagi masyarakat Melayu di kawasan Teluk Intan yang amat kuat berpegang kepada agama. Pastinya mereka akan berfikir banyak kali sebelum memberikan undi kepada beliau yang kelihatan terang-terang tidak menyokong pelaksanaan hukum Hudud. Walaupun dijelaskan beberapa kali namun penjelasan orang biasa yang bukan memiliki kepakaran agama pastinya terlalu sukar sekali untuk diterima oleh masyarakat Melayu di Teluk Intan.
Kenyataan TG Nik Aziz datang tepat pada waktunya. Beliau menjelaskan bahawa, “Berhubung pilihanraya kecil Teluk Intan, ramai yang bertanya pendirian saya berhubung isu hudud setelah calon DAP dikatakan membuat kenyataan menolak hudud. Saya tegaskan bahawa hudud merupakan satu kewajipan. Mana-mana orang Islam wajib menerima hukum ini sebagaimana mereka menerima kewajipan bersolat dan berpuasa. PAS tidak pernah lari dari kewajipan ini bahkan konsisten mempertahankannya semenjak daripada hari ia ditubuhkan lagi.
Di Teluk Intan, kerusi tersebut ialah kerusi DAP yang merupakan rakan tahaluf siyasi PAS. Bersama-sama DAP dan juga PKR, PAS telah bekerjasama membentuk Pakatan Rakyat dan sama-sama memperjuangkan keadilan dan membanteras rasuah. Sehingga hari ini DAP belum pernah menzalimi PAS sebagaimana yang dilakukan UMNO sebelum ini.

Justeru, apabila calon DAP dikatakan menolak hudud, ia tidak mengejutkan kerana itulah perbezaan PAS dengan DAP. Dalam hal ini, PAS sewajibnya berusaha lebih gigih memberikan kefahaman kepada DAP agar kebaikan dan keindahan hukum Islam ini dapat difahami dan diterima. Sebab itu, saya sentiasa menaruh harapan agar satu hari nanti DAP menerima hasrat PAS ini hasil dakwah berterusan yang tidak henti-henti.

Usia Pakatan Rakyat baru sahaja lima tahun. Dalam masa lima tahun, adalah satu perkara yang logik jika DAP masih belum memahami hasrat PAS dalam isu ini. Pihak yang patut malu ialah UMNO yang telah setengah abad bersahabat dengan parti-parti komponen bukan Melayu dalam Barisan Nasional, namun hingga sekarang masih gagal memberikan kefahaman tentang Islam. Bahkan ada ahli Parlimen UMNO sendiri secara terang-terangan mengeluarkan kenyataan untuk mengundi menolak hudud di Parlimen nanti.
Amat lojik penjelasan yang diberikan oleh TG Nik Aziz, seorang ulama yang amat bijaksana dan dapat menyesuaikan pemikiranya di era Kurun ke 21. Dengan sendirinya beliau mengerti apa yang dimaksudkan dengan istilah ‘modern’ dan ‘perubahan’.

Aku terbaca juga tentang kisah bagaimana Rasulullah berusaha cuba menegakkan undang-undang Islam di Madinah yang beliau mengambil masa puluhan tahun sebelum dilaksanakannya. Namum akhirnya undang-undang sedemikian dapat diterima oleh masyarakat Islam dan bukan Islam di Madinah. Apakah begitu cara hukum Hudud hendak dilaksanakan di Malaysia nanti. Dan sekiranya begitulah caranya aku amat yakin masyarakat Islam memahaminya dan lantas akan bersetuju pelaksanaannya insyallah.

Aku yakin bukan Islam lambat laun akan menerima Hudud berdasarkan pengalaman yang dilalui oleh PAS sendiri. Dulu parti PAS terlalu sukar untuk diterima oleh bukan Islam. Malah terus menerus dimusuhi. Kini bukan sahaja diterima tetapi telah pun ‘rakan kongsi’ yang amat ikrab demi untuk kemajuan bangsa Malaysia. Sejarah akan terukir tentang pakatan murni yang terjalin antara PAS, DAP dan PKR ini. Atas pertimbangan itu jugalah aku amat yakin bahawa penjelasan mengenai isu Hudud ini dapat diterima dengan hati yang terbuka oleh Islam dan bukan Islam di Teluk Intan. Aku amat yakin pengundi yang terbuka mindanya akan menerima penjelasan TG Nik Aziz ini.

Diharapkan begitulah..

abuhassanadam
25 Mei 2014

sumber : Harakahdaily

No comments: