Friday, May 9, 2014

TPM mahu ESSCOM ambil langkah drastik elak ditempelak

Tashkent (Uzbekistan): Tan Sri Muhyiddin Yassin kecewa dengan insiden terbaharu penculikan pengurus sebuah syarikat ladang ternakan ikan warga China dekat Pulau Baik, Silam di sini, kelmarin.

Sehubungan itu, Timbalan Perdana Menteri mahu langkah drastik diambil dengan kadar segera untuk menutup setiap kelemahan yang wujud.

“Memang saya agak kecewa kerana kita sudah sebut beberapa isu sebelum ini termasuk menubuhkan ESSCOM (Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah) dan ESSZONE (Zon Selamat Timur Sabah), namun ia masih belum berupaya mengekang kejadian sebegitu.

Kita sudah keluarkan arahan supaya dipertingkat aset di kawasan itu (ESSCOM) termasuk penggunaan radar sebagai kaedah pemantauan untuk melihat pergerakan” Muhyiddin Yassin, Timbalan Perdana Menteri
“Kita sudah keluarkan arahan supaya dipertingkatkan aset di kawasan itu (ESSCOM) termasuk penggunaan radar sebagai kaedah pemantauan untuk melihat pergerakan.

“Justeru, saya harap ESSCOM dapat segera ambil tindakan supaya tiada pihak yang menempelak dan kerajaan mahu tindakan itu segera diambil,” katanya kepada media Malaysia selepas mempengerusikan rundingan meja bulat disertai kapten industri Malaysia-Uzbekistan di sini, semalam.

Selain itu, Muhyiddin mengakui kedudukan perairan yang panjang membabitkan jarak lebih 1,400 kilometer, termasuk berdekatan dengan Filipina yang dikelilingi pulau sedikit sebanyak menimbulkan kesulitan, namun ia tidak boleh dijadikan alasan untuk bersikap lepas tangan.

Perkukuh kawalan
“Kita sudah bincang dalam Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan meminta supaya diperkukuhkan kawalan sempadan yang dianggap antara terpanjang itu.

“Saya dengar pihak kerajaan Sabah juga mengeluarkan beberapa arahan susulan insiden penculikan terbaharu ini dan saya harap ia segera dilaksanakan,” katanya.

Di Kuala Lumpur, Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan 1Malaysia, Tan Sri Lee Lam Thye, berkata satu kajian terperinci perlu dilakukan bagi meneliti langkah keselamatan yang diambil bagi menangani kes penculikan di ESSCOM.

Katanya, keberkesanan langkah keselamatan yang sudah diambil pihak berkuasa ketika ini, perlu dikaji semula selepas berlaku satu lagi kes penculikan.

No comments:

Sila klik