Tuesday, May 6, 2014

Pesawat China sertai SAR MH370 berlepas pulang

Tan Su Lin,Astro Awani |Kemas kini:Mei 04, 2014
(Diterbitkan pada: Mei 04, 2014 13:42 MYT)


Pesawat Ilyushin IL-76s milik Tentera Pembebasan Rakyat China yang menyertai operasi mencari dan menyelamat MH370.

SUBANG: Dua pesawat Ilyushin IL-76s milik Tentera Pembebasan Rakyat China (PLA) yang menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR) pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 di Australia berlepas pulang ke China pagi tadi.

Kedua-dua pesawat itu berlepas pulang ke China kira-kira pukul 8.30 pagi dengan membawa 38 kru selepas pencarian udara pesawat MH370 digantung berikutan pengumuman pencarian memasuki fasa baharu dengan tumpuan di dasar laut.

Kedua pesawat berkenaan berlepas ke Pangkalan Tentera Udara Diraja Australia (RAAF) Pearce penghujung Mac lalu bagi membantu misi pencarian MH370 di kawasan pencarian di Lautan Hindi.

Rabu lalu, dua pesawat C-130 Hercules Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) bersama-sama 53 anak kapal juga pulang ke Malaysia.

Perdana Menteri Australia Tony Abbott pada Isnin mengumumkan misi mencari akan memasuki fasa baharu dengan tumpuan diberikan kepada kawasan yang lebih luas di dasar laut.

Keputusan itu diambil setelah mendapati kemungkinan amat tipis sebarang serpihan pesawat berkenaan akan dijumpai di permukaan laut.

Beberapa buah kapal dari Australia, Malaysia dan China masih meneruskan dengan pencarian maritim dan pesawat udara Australia P3-Orion diletakkan dalam keadaan bersiap sedia.



Penerbangan MH370 ke Beijing bersama 239 penumpang dan anak kapal, hilang daripada pengesanan radar kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL ketika terbang di ruang udara Laut China Selatan pada 8 Mac lalu.

Operasi melibatkan pelbagai negara dilancarkan untuk mencari pesawat Boeing 777-200ER itu, mula-mula di Laut China Selatan dan kemudian di selatan Lautan Hindi apabila ia dikatakan melencong daripada laluan asalnya

China antara negara yang menghulur bantuan dalam misi mencari dan menyelamat MH370.
sumber : http://www.astroawani.com/news/show/pesawat-china-sertai-sar-mh370-berlepas-pulang-35202

No comments:

Sila klik