Sunday, May 18, 2014

UIAM pusat kefahaman hudud yang strategik. – Nurul Islah Ismail



MAY 18, 2014

Tiga, dua, satu, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Tiga angka ini adalah angka yang penting untuk dikenang pada minggu ini. Angka yang akan akan diingati oleh mahasiswa UIAM Kampus Gombak.

Sepanjang minggu ini, tiga buah program berkenaan hudud diadakan di UIAM, dua buah program digesa untuk dibatalkan, satu program berjaya dibatalkan oleh pihak pentadbiran.

Tulisan ini tidak akan melihat tiga angka ini dari sudut negatif. Ini kerana mahasiswa perlu optimis dan positif. Mahasiswa perlu mengutip hikmah pada setiap apa yang mereka hadapi. Tulisan ini akan mengenepikan isu pembatalan, apa-apa sentimen atau halangan dari pihak universiti terhadap program ini.


Sebaliknya tulisan ini menekankan usaha baik mahasiswa yang cakna dan ambil berat tentang isu hudud. Apatah lagi pelajar yang bergelar penuntut di universiti yang membawa entiti dan identiti Islam.

Tiga siri program yang dirancang pelajar UIAM minggu ini adalah sebuah forum "Hudud: Kefahaman Sebelum Perlaksanaan", sebuah diskusi santai, "Bicara Buku: Punishment in Islamic Law, An Enquiry into the Hudud Bill of Kelantan", dan sebuah diskusi berkonsepkan 'Hardtalk' dan santai, "Hudud, Mainan Politik atau Tuntutan Agama".

Hudud bukan sekadar isu undang-undang, bukan jua isu politik semata. Tetapi, ia soal masyarakat dan generasi yang ingin dibentuk.

Menyentuh soal hudud, banyak pandangan dari sudut yang kritis mengkritik perlaksanaannya. Ramai yang melihat kritikan dan pertikaian ini adalah suatu bentuk penentangan terhadap hudud.

Tidak ramai yang melihat kritikan dan pertikaian itu sebagai "check and balance", bukan ke atas hukuman hudud yang diperintah Tuhan, tetapi ke atas perlaksaannya yang diatur oleh manusia.

Demikian jua yang digambarkan oleh mahasiswa UIAM tempoh hari yang ingin merancakkan program kefahaman dan perbincangan berkenaan hudud. Tindakan dan usaha ini tidak wajar dijustifikasikan dengan mudah sebagai gambaran bahawa mahasiswa agresif dan ekstrim ingin mendesak perlaksanaan hudud dengan segera.

Apatah lagi dijustifikasikan sebagai usaha untuk menghidupkan sentimen politik kurang sihat di kampus. Sebaliknya, usaha ini wajar dipandang dari sudut yang positif. Usaha ini sepatutnya ditafsir bahawa mahasiswa dan anak muda ingin menilai suatu isu dengan ilmu pengetahuan.

Bahkan, usaha sebegini membuktikan mahasiswa bukan sahaja membawa imej neutral, malah mentafsir isu dengan pendekatan non-partisan.

Mahasiswa adalah pemimpin di masa hadapan. Maka mahasiswa hari ini tidak lari dari tanggungjawab menyedarkan dan memberikan kefahaman dengan telus kepada masyarakat. Atas pendirian ini, usaha untuk membentuk mahasiswa yang pragmatis dan cakna pada isu amatlah penting untuk dimulakan dari sekarang.

Usaha Mahasiswa UIAM yang menghidupkan perbincangan tentang hudud, diikuti dengan sambutan yang memberangsangkan menggambarkan, UIAM berjaya menjadi pusat yang strategik untuk kefahaman dan perbincangan tentang hudud dikembangkan.

UIAM boleh menjadi pusat persaingan idea dan pendapat. UIAM berpotensi besar menjadi tempat hudud dibincangkan dengan perbahasan ilmiah dan kritis yang bebas daripada mainan dan sentimen politik. Apatah lagi di universiti inilah juga adanya Kuliah Undang-Undang Ahmad Ibrahim yang mempunyai pakar undang-undang yang hebat.

Potensi ini adalah potensi yang besar untuk mahasiswa memimpin masyarakat. Potensi ini adalah potensi yang besar untuk mahasiswa memimpin umat.

Mahasiswa punyai tangan yang kuat untuk menggenggam dunia. Alangkah ruginya andai potensi ini disekat. Alangkah ruginya andai kekuatan ini diikat. – 18 Mei, 2014.

* Penulis adalah mahasiswa Undang-Undang dan Syariah, UIAM.

sumber : The Malaysian Insider

No comments:

Sila klik