Friday, May 9, 2014

PM ucap tahniah pelantikan Dr Jemilah


Kuala Lumpur: Datuk Seri Najib Razak mengucapkan tahniah di atas pelantikan Tan Sri Dr Jemilah Mahmood mengetuai Sekretariat Persidangan Kemanusiaan Dunia (WHS) yang bakal berlangsung di Istanbul, Turki, pada 2016.

Menerusi kenyataannya di Facebook, Perdana Menteri berkata, pelantikan Jemilah adalah bukti kepada kualiti kepemimpinan luar biasa bagi kerja-kerja kemanusiaan dilakukannya yang membantu melonjakkan nama negara di persada antarabangsa.

“Beliau tidak tahu erti penat dalam tugas perubatan dan kemanusiaan untuk negaranya dan dunia, membuktikan peranan besar wanita dan membantu meletakkan nama Malaysia di peta dunia.


Beliau tidak tahu erti penat dalam tugas perubatan dan kemanusiaan untuk negaranya dan dunia seterusnya membuktikan peranan besar wanita dan membantu meletakkan nama Malaysia di peta dunia” Najib Razak, Perdana Menteri
“Tahniah, anda (Jemilah) membuat negara kita berbangga,” katanya.
Dalam kenyataan Sekretariat WHS yang beroperasi di Ibu Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) New York kelmarin, Dr Jemilah, 54, dilantik ke jawatan Pengarah dan bertanggungjawab merealisasikan persidangan yang dicadangkan Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon itu.

Dr Jemilah ialah Pengerusi Lembaga Amanah Teach For Malaysia, bekas Presiden MERCY Malaysia, bekas felo kanan Khazanah Nasional Berhad, felo penyelidik pelawat kanan di Institut Dasar Global King’s College London.

Seru rakyat cintakan negara
Sementara itu, sebelum meninggalkan negara untuk memulakan tugas baharunya hari ini, Dr Jemilah dalam Facebooknya meminta rakyat Malaysia untuk terus mencintai negara.

Beliau mengingatkan rakyat memberikan kritikan membina dan tidak sesekali merendahkan martabat orang lain.

“Disebabkan saya akan meninggalkan anda semua malam ini (semalam), saya berharap dan berdoa supaya anda terus menyayangi negara dan sesama insan lain. Berpegang teguh sesama anda dan berikan kritikan yang membina.

“Saya sentiasa berpegang kepada pesanan rakan saya di Teach For Malaysia yang mengatakan ‘masalah bersifat sejagat, penyelesaian boleh dikongsi’.

“Anda perlu bersyukur dilahirkan dalam suasana aman dan kasih sayang. Saya pernah melihat dan bekerja dengan mereka yang kehilangan segala-galanya dan mengajar saya bahawa kita boleh belajar mengenai daya tahan dan ketekunan di mana saja,” katanya.

“Belajarlah mengenai belas kasihan di seluruh kawasan berhampiran termasuk di Jalan Chow Kit, perkampungan di Pantai Timur, pelarian dan yang kurang bernasib baik serta miskin,” katanya.

Katanya, tidak kira apa jua kepercayaan, kita mempunyai warna darah yang sama, ketawa, menangis, rasa sayang dan putus asa dan kita semuanya sama di sisi Allah.

“Saya akan pulang kepada Malaysia yang lebih kuat dan anda semua berada dekat di hati saya, tidak kira di mana saya berada,” katanya.

No comments:

Sila klik