Tuesday, June 10, 2014

Tips Menghadapi Ramadhan dan Beberapa Perkara Berkaitan Syaa’ban


By uzair izham

Nama diberi Muhammad Uzair bin Izham. Dilahirkan pada tanggal 27 Ogos 1992 dan menetap di Sungai Petani, Kedah. Bermula bersekolah di Sekolah Rendah Al-Islah Sungai Petani, Kedah (1999-2004) dan meneruskan pengajian di Ma'had At-tarbiyah Al-Islamiyah(MATRI), Perlis dan kini melanjutkan pelajaran dalam bidang Usuluddin tahun ke-4 di Universiti Yarmouk, Jordan. Menulis dalam bidang agama di LangitIlahi.com dan bakal menerbitkan buku. Berpengalaman mengurus dan mengendalikan program motivasi dan misi kemanusiaan bersama beberapa NGO di Malaysia dan Jordan.



~Persiapan merupakan lambang kesungguhan untuk mencapai kejayaan~

Persiapan dan perancangan merupakan antara asas penting dalam melaksanakan sesuatu tugasan kerana padanya akan lahir keseriusan. Sebagaimana manusia berlumba-lumba bersiap siaga dalam apa jua bentuk kehidupan di dunia dari sudut peperiksaan, pekerjaan dan lain-lain, begitu juga manusia sepatutnya bersedia untuk kehidupan di akhirat. Bahkan persediaan hidup di akhirat lebih mustahak kerana manusia kekal selamanya di alam sana.

Bertepatan dengan ‘tetamu kehormat’ yang bakal kunjung tiba tidak berapa lama lagi iaitu Ramadhan, seharusnya kita sebagai ‘tuan rumah’ perlu menyediakan bekalan agar Ramadhan yang kita lalui pada kali ini tidak mengecewakan bahkan lebih baik dari tahun-tahun sebelumnya kerana bukankah sifat orang mukmin itu sentiasa baik dalam urusannya dari hari ke hari?


Syaa’ban dan pengertiannya

Syaaban ertinya berpecah atau bercerai-berai. Ia dinamakan demikian kerana orang-orang Arab pada bulan tersebut akan pergi ke mana-mana tempat untuk mencari air sehingga ke gua-gua dan sebagainya juga untuk berperang. Namun, ada pendapat lain yang mengatakan, maksudnya sedemikian adalah sebagai tanda pemisah iaitu memisahkan di antara bulan Rejab dan Ramadhan seperti riwayat hadis yang baik dari sudut sanadnya:

“Itulah bulan yang manusia sering lalai tentangnya yang berada antara Rajab dan Ramadhan. Padanya (Bulan Syaaban) diangkat amalan hamba-hamba Allah. Aku suka tidak diangkat amalanku, melainkan aku dalam keadaan berpuasa” (an-Nasai, no: 2316)

Ada sebahagian ulama’ mengertikan syaa’ban mengikut binaan hurufnya dalam bahasa arab:

الشرف ؛ ش : Kemuliaan
العلو ؛ ع : Ketinggian
البر ؛ ب : Kebaikan
الالفة ؛ ا : Kebiasaan/kelembutan
النور ؛ ن : Cahaya

Berdasarkan susunan huruf ini (شعبان) maka ia menjadikan bulan syaa’ban antara bulan yang agung selain bulan-bulan haram atau bulan ramadhan. Sebetulnya ia tidak disebutkan di dalam hadis. Cuma, ada ulama’ yang memberi pengertian ini sekadar memberi suntikan kepada manusia untuk menggambarkan bahawa dalam bulan ini terdapat fadhilat tertentu seperti berpuasa agar manusia terbiasa untuk menempuhi ramadhan seterusnya mendapat nur hidayah dari Allah.


Puasa Syaa’ban dan Keistimewaannya

Seperti yang disebutkan dalam hadis sebelum ini, Rasulullah berpuasa pada bulan syaa’ban kerana pada bulan itu amal diangkat. Dalam hadis yang lain melalui Aisyah r.a:

“Aku tidak pernah melihat Rasulullah s.a.w berpuasa dalam bulan lain lebih daripada puasa Syaaban. Baginda pernah berpuasa Syaaban sepenuhnya, kecuali hanya beberapa hari (tidak puasa)” (Muttafaq ‘Alaih)

Hadis ini menjelaskan kepada kita bahawa baginda berpuasa sebahagian besar daripada bulan syaa’ban. Ini merujuk kepada keutamaanya. Dari sudut lain, pada bulan ini juga amalan seseorang itu akan diangakat kepada Allah sedangkan manusia seringkali masih lalai dengan urusan dunia. Oleh itu, antara hikmah puasa dalam bulan ini bukan sahaja sebagai persiapan kita yang bakal menempuhi ramadhan bahkan sebagai peringatan untuk beramal.

Dari sisi yang lain, ada ulama’ yang mengibaratkan puasa syaa’ban seperti solat sunat rawatib iaitu sebagai persediaan dan perhatian bahawa ramadhan yang hanya datang sekali dalam setahun bakal tiba yang mana terdapat pelbagai ganjaran yang boleh kita peroleh jika kita berusaha.

Namun, perlu diambil perhatian kerana terdapat beberapa hadis palsu yang menyatakan keutamaan berpuasa dalam bulan syaa’ban seperti hadis:

“Dan jika ia bangun pagi itu (bulan syaa’ban) dalam keadaan berpuasa maka baginya pahala seperti puasa dua tahun. Setahun sebelumnya dan setahun akan datang.”

*Berkata Ibnu Jauzi hadis ini adalah palsu.


Malam nisfu(pertengahan) syaa’ban)

Hangat di bibir masyarakat tentang keutamaan malam nisfu Syaa’ban. Hadits-hadits terkait dalam masalah ini sebahagian dikategorikan dha’if (lemah), bahkan sebahagian yang lain dikategorikan maudhu’ (palsu) oleh para ulama hadis. Khususnya hadis-hadis yang mengkhususkan ibadah tertentu pada malam tersebut atau hadis-hadis yang menjanjikan jumlah dan bilangan pahala atau balasan tertentu bagi yang beribadah di dalamnya.

Dr Yusuf al-Qardawi menyanggah terdapat hadis tertentu yang berkait keutamaan malam tersebut secara khusus dengan melakukan ibadah-ibadah tertentu. Antara contoh maksud dari hadis palsu berkenaan malam ini adalah:

“Barangsiapa yang melakukan solat empat belas rakaat, membaca al-fatihah empat belas kali, seterusnya diikuti an-nas dalam bilangan yang sama seterusnya membaca ayat kursi dan lain-lain maka baginya dua puluh haji mabrur dan seperti puasa dua puluh tahun yang diterima.”

*Berkata Ibn Hibban terdapat salah seorang perawinya adalah pereka hadis.

Nota kaki: secara umum hadis-hadis palsu boleh dikenali melalui teks hadis seperti mendapat ganjaran yang melampau bagi amalan yang kecil dan terlalu berlebihan daripada ibadah wajib sebagaimana hadis di atas.

Adapun bukanlah bermaksud malam itu perlu sepi dari segala ibadah. Kita masih bisa terus beribadah seperti malam-malam biasa dan menyerahkan ganjaran hanya pada Allah taala. Yang menjadi salah adalah menyatakan atau melakukan sesuatu ibadat itu mendapat ganjaran atau keutamaan tertentu tetapi tidak berdasarkan hadis-hadis yang sahih.

Menyentuh persoalan membaca surah yassin pada malam tersebut sebanyak tiga kali, ia merupakan suatu bentuk pengkhususan ibadah tidak berdalil. Namun, pembacaan al-Quran hatta membaca surah yassin sekalipun tidak menjadi masalah kerana membaca al-Quran itu ibadah tetapi tidak boleh beranggapan ia adalah suatu surah yang mesti dibaca pada malam berkenaan. Adapun lebih baik kita membaca al-Quran tanpa ada pengkhususan ayat atau surah.

Oleh itu, lebih utama ia tidak dilakukan bukan disebabkan pilihan surah tetapi bilangan bacaan itu menjadi masalah. Hal ini kerana tiga kali bacaan adalah suatu bentuk proses yang lama. Ia boleh membawa pembaca membaca dalam keadaan tergesa-gesa hingga mengabaikan hukum tajwid di dalamnya. Justeru, cukup sekadar sekali dan lebih baik bersama tadabbur ayat-ayat berkenaan.


Qadha’ Puasa dalam bulan syaa’ban

Daripada Aisyah r.a.:

“Aku dahulu memliki baki berpuasa daripada Ramadan, aku tidak dapat mengqada’nya kecuali di bulan Sya’ban, kerana sibuk melayani Rasulullah shallallahu alaihi wa sallam.”

Berdasarkan hadis di atas ada beberapa permasalahan dapat dirungkaikan:

1. melewatkan qadha’ puasa ramadhan disebabkan uzur

Lebih baik qadha’ bagi lelaki yang berbuka puasa atas sebab-sebab yang dibolehkan atau perempuan disebabkan haid dan nifas dilakukan seawal mungkin dan dalam keadaan berturut-turut, tetapi masih boleh dipisah-pisahkan. Atas sebab keuzuran seperti sakit berterusan maka dibolehkan untuk qadha’ puasa yang berbaki walaupun selepas ramadhan berikutnya tanpa dikenakan fidyah.

2. melewatkan qadha’ puasa ramadhan tanpa keuzuran

Bagi mereka yang mengqadha’kan puasa sebelum bulan ramadhan yakni akhirnya pada bulan syaa’ban maka ia dibenarkan namun tidaklah digalakkan. Adapun bagi mereka yang mengqadha’kan setelah sampai ramadhan berikutnya, jumhur ulama’ mengatakan perlu ia puasa ramadhan terlebih dahulu kemudian diqadha’kan puasa ramadhan ganti yang berbaki beserta fidyah secupak dari makanan mengikut hari berdasarkan ijtihad para sahabat.

Justeru itu, janganlah melewatkan-lewatkan qadha’ puasa jika tiada sebarang keuzuran kerana ia dikira sebagai hutang kita kepada Allah. Lagipun kita tidak pasti adakah kita akan sempat menggantikannya walau di bulan syaa’ban kerana ajal itu lebih dekat darinya.


Puasa separuh akhir bulan Syaa’ban

Daripada Abu Hurairah r.a

Nabi s.a.w bersabda: ” Apabila berbaki seperdua daripada Syaa’ban maka janganlah kamu berpuasa.(Tirmidzi, Hasan Sahih)

Berdasarkan hadis ini ulama’ berbeza pendapat ada sebahagian membenarkan jika seseorang itu melazimi puasa pada seperdua sebelumnya atau melazimi puasa sunat Isnin dan Khamis atau puasa nabi Daud a.s (puasa berselang hari).

Adapun pendapat daripada mazhab Syafie seperti disebutkan Imam An-Nawawi bahawa tidak harus berpuasa bahkan ada pendapat dari mazhab ini mengharamkannya.

Justeru, sebagai langkah berjaga-jaga, pada kesempatan syaa’ban yang baru sahaja membuka tabir, ayuh kita berlatih untuk berpuasa di samping boleh berlepas daripada hukum ini sekiranya kita ingin berpuasa pada seperdua akhir syaa’ban nanti.


Puasa hari syak

Hari syak adalah sehari atau dua hari pada akhir bulan syaa’ban sebelum ramadhan datang. Larangan berpuasa pada hari syak disebabkan pada hari tersebut tidak jelas apakah sudah masuk bulan Ramadan atau belum malah ditegah jika niatnya hanya ingin berhati-hati untuk tidak tertinggal ramdhan. Adapun bulan ramadhan diperintah untuk melaksanakannya selepas tampak anak bulan. Walaubagaimanapun era moden ini hal ini tidak menjadi masalah kerana terdapat pengumuman rasmi dikaca televisyen atau radio.

Namun demikian, seseorang itu masih boleh berpuasa jika hari berkenaan bertepatan dengan hari yang disunatkan untuk berpuas seperti hari Isnin dan Khamis. Jika tidak bertepatan dengan mana-mana hari yakni tiada asbab yang lain maka ia tidak dibenarkan.


Kesimpulan

Dalam apa jua perkara yang kita lakukan tidak lepas daripada persediaan kerana dengan ia bukan sahaja kejayaan bisa dikecapi bahkan ia menunjukkan keseriusan dalam diri untuk melakukan sesuatu perkara dengan lebih bersungguh.

Saya nukilkan tips yang pernah dikongsikan dalam artikel dan poster-poster LangitIlahi yang terdahulu berkenaan persediaan kita dibulan syaa’ban dalam rangka perjalanan menuju ramadhan.
Lakukan pembacaan buku daripada kitab-kitab, buku-buku dan artikel-artikel berkaitan dengan Ramadhan.
Lakukan warming-up dengan berpuasa setiap Isnin dan Khamis
Latihan dan intensif tidur awal dan membiasakan diri untuk bangun awal.
Mulakanlah membaca Al-Quran setiap hari dengan penuh tadabur, khusyuk dan terancang.
Luangkan masa mendengar lantunan bacaan Al-Quran daripada pasangan anda, qari-qari yang terkenal dan kaset-kaset radio.
Biasakan diri untuk sentiasa memelihara wudhuk.
Dekati, hampiri dan bergaul dengan orang-orang yang alim, warak dan soleh.
Setiap malam sebelum tidur, bermuhasabahlah diri kita.
Perbanyakanlah mendirikan solat sunat setiap hari, terutamanya di saat sepertiga malam.
Dalam sehari, berikanlah masa untuk bersendirian untuk berzikir kepada Allah SWT.
Mulakanlah amalan bersedekah, sedikit demi sedikit.
Bantulah orang lain yang sangat-sangat memerlukan sama ada dalam bentuk keilmuan, bantuan kewangan, pertolongan kudrat dan kemahiran yang kita miliki.
Luangkan masa bersama ahli keluarga, rakan dan sesiapa sahaja disekitar anda dan berbincangkanlah tentang Ramadhan yang bakal tiba, persediaan, harapan, perlaksanaan dan sebagainya.
Bagi yang berkemampuan untuk mengerjakan umrah, maka rancanglah ia dengan sebaiknya.
Hebah-hebahkan, war-warkan dan maklumkan tentang ketibaan Ramadhan yang akan tiba tidak lama lagi kepada kenalan, sahabat handai dan sesiapa sahaja melalui SMS, emel, FB, twitter dan blog-blog anda.


Rujukan

1. Bahru al-mazi syarah mukhtasar sunan tirmidzi oleh Muhammad Idris Al-Marbawi

2. Himpunan hadis dhaif dan maudhu’ oleh Dr Abdul Ghani Azmi

3. Kelebihan bulan rejab, syaa’ban dan ramadhan

No comments:

Sila klik