Sila klik

Thursday, June 12, 2014

Audit: 20,434 penjawat awam kena tindakan

Datuk Seri Shahidan Kassim

RAZIATUL HANUM A.RAJAK

KUALA LUMPUR - Seramai 20,434 penjawat awam telah dikenakan tindakan tatatertib dan 4,743 daripadanya dibuang kerja sejak 2009 sehingga tahun lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, tindakan tatatertib, surcaj atau pertuduhan jenayah di mahkamah akan dikenakan terhadap pegawau sekiranya didapati melakukan salah laku ataupun kecuaian.

"Setiap teguran yang dilapor melibatkan penyelewengan, penyalahgunaan kuasa, salah laku atau kecuaian pelaksanaan tugas, siasatan perlu dijalankan bagi memperoleh bukti dan keterlibatan pegawai dalam kes-kes yang dilaporkan.

"Setakat ini, penglibatan salah laku, kecuaian, penyalahgunaan kuasa tidak melibatkan secara khusus terhadap ketua-ketua-ketua jabatan. Ia merupakan salah laku yang berlaku di peringkat pelaksanaan sama ada dalam proses pembayaran, perolehan atau libatkan kehilangan aset di bawah tanggungjawab pegawai berkenaan," katanya ketika menjawab soalan dari Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Wira Mohd Johari Baharom di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau meminta Perdana Menteri menyatakan tindakan yang telah diambil kepada ketua-ketua jabatan yang tidak melaksanakan tugas masing-masing terutamanya berkaitan dengan pengurusan kewangan seperti dilaporkan Ketua Audit Negara.

Menurut Shahidan, pegawai yang bertanggungjawab secara terus menguruskan pemerolehan berkenaan telah disyorkan dikenakan tatatertib kerana gagal mematuhi prosedur yang sedang berkuatkuasa.

"Dalam tempoh lima tahun antara 2009 hingga 2013, seramai 20,434 penjawat awam di Perkhidmatan Awam Persekutuan, Perkhidmatan Awam Negeri, Pihak Berkuasa Berkanun Persekutuan dan Pihak Berkuasa Tempatan telah dikenakan tindakan.

"4,743 dibuang kerja; 125 diturunkan pangkat dan tidak dipertimbang kenaikan pangkat bagi tempoh empat tahun; 963 diturunkan gaji dan tidak dipertimbangkan kenaikan pangkat bagi tempoh tiga tahun dan 2,048 ditangguhkan pergerakan gaji dan tidak akan dipertimbang kenaikan pangkat bagi tempoh lima tahun.

"3,491 dilucutkan hak emolumen dan tidak akan dipertimbang kenaikan pangkat bagi tempoh 2 tahun; 3,373 dikenakan denda maksimum 7 hari emolumen dan tidak akan dipertimbang kenaikan pangkat bagi tempoh 18 bulan dan 10,531 diberi amaran dan tidak akan dipertimbangkan kenaikan pangkat bagi tempoh setahun," katanya.

No comments: