Sila klik

Wednesday, June 4, 2014

Abang Long Fadil: Patut kategori P13, bukan 18PL



PERCATURAN pertamanya adalah pada 2010, menerusi filem genre aksi dan romantik, SAM (Saya Amat Mencintaimu).

Namun, entah di mana silapnya, filem yang mempertaruhkan keringat Shaheizy Sam dan Lisa Surihani, ini tidak begitu berjaya menarik minat penonton ke pawagam walaupun ia digarap dengan baik.

Tidak memandang kegagalan lalu sebagai penghalang untuk terus berkarya, pengarah muda, Syafiq Yusof, tampil membawa satu revolusi baharu dalam dunia perfileman tempatan.

Mempertaruhkan filem 'spin off', Abang Long Fadil, yang mana wataknya diwujudkan menerusi filem arahan abangnya, KL Gengster, ternyata ia memberi cukup rencah.

Mengekalkan watak milik Zizan Razak dan menggabungkan teknik imej janaan komputer (CGI), ternyata filem inilah yang ditunggu-tunggu dalam pawagam tempatan!

Kurang seminggu ditayangkan, filem terbitan Skop Production ini bagaimanapun berjaya mengaut kutipan sebanyak RM2.1 juta dalam tempoh empat hari tayangan.

Akui bapanya yang juga penerbit filem, Datuk Yusof Haslam, ia adalah kejayaan awal yang terpahat di sepanjang pembabitan Syafiq dalam industri perfileman,

Kita ikuti temu bual khas pemilik syarikat produksi terkenal ini bersama Zass...

Mula ditayangkan pada 29 Mei lalu, bagaimana dengan perkembangan kutipan tiket sepanjang tayangan?

Alhamdulillah, empat hari tayangan, filem ini berjaya mengutip RM2.1 juta dan saya yakin kutipan akan lebih bertambah sepanjang tempoh tayangan. Saya sangat bersyukur di atas pencapaian ini dan ia adalah kejayaan besar buat anak saya, Syafiq Yusof.

Secara keseluruhannya, adakah anda berpuas hati dengan hasil kerja Syafiq?

Walaupun ilmunya dalam bidang perfileman tidak terlalu banyak seperti saya mahupun abangnya, Syamsul, namun saya amat berpuas hati dengan hasil kerja yang diberikan.

Dia sangat komited dalam memastikan filem ini digarap dengan baik dan memenuhi selera penonton. Semangat sebeginilah yang kita mahukan daripada generasi muda! Malah, saya akui, Syafiq sememangnya bekerja kuat demi filem ini.

Sejujurnya, hasil kerja Syafiq adalah di luar jangkaan saya dan memberi anjakan baru dalam industri perfileman tempatan.

Saya juga tidak menyangka, dengan kos yang kecil, dia mampu menyajikan teknik CGI yang lebih baik!

Malah, penerimaan daripada masyarakat khususnya penonton menerusi trailer, Abang Long Fadil yang dikongsi di Youtube meraih 95 peratus 'like'. Ia adalah pencapaian luar biasa bagi anak muda sepertinya. Cuma saya sedikit ralat dengan kategori yang ditetapkan pihak Lembaga Penapisan Filem (LPF) terhadap filem ini.

Filem ini dikategorikan sebagai 18PL, adakah ianya turut mengganggu jumlah kutipan?

Ya, saya kehilangan 30 peratus penonton disebabkan perkara ini. Sejujurnya, memang saya ralat dengan tindakan LPF yang bertegas untuk meletakkan filem ini dalam kategori 18PL sedangkan ia adalah filem genre aksi komedi.

Saya dimaklumkan, LPF menonton filem ini sebanyak tiga kali kerana cuba untuk memberikan P13, tetapi akhirnya terpaksa diletakkan 18PL dalam pengelasan filem.

Anak saya, Syafiq turut bertanyakan hal ini kepada saya kerana ramai di kalangan kenalannya yang datang ke pawagam bersama keluarga dan anak-anak, namun tidak dibenarkan masuk.

Bayangkanlah, kita dapat tayangan di waktu cuti persekolahan, namun oleh kerana kategori ini, penonton bawah 18 tahun tidak dibenarkan masuk dan menonton.

Saya pelik, mengapa filem antarabangsa seperti, Godzilla yang lagi unsur ganasnya lebih hebat mendapat kelulusan sebagai P13? Sedangkan filem kita yang hanya mengetengahkan sebahagian sahaja terus 'dihukum' sedemikian rupa.

Lainlah kalau filem ini menyentuh hal-hal agama ataupun soal keselamatan. Saya yakin, sekiranya filem ini mendapat P13, jumlah kutipan itu akan lebih banyak lagi.

Selain daripada kategori, adakah filem ini bebas daripada sebarang pemotongan babak?

Untuk pengetahuan umum, babak filem ini turut dipotong enam bahagian! Sebagai orang lama, saya rasa perkara ini tidak perlu berlaku kerana jika saya rasa aksi yang ditonjolkan itu tidak relevan ataupun berlebihan, saya sendiri akan memotongnya.

Untuk 'bertegang urat' mengenai kategori pula, ianya tidak mendatangkan apa-apa hasil kerana ia telah pun ditayangkan. Saya hairan, mengapa di Brunei tiada sebarang potongan? Jika aksi yang divisualkan itu tidak layak dipertontonkan, kenapa di Brunei boleh lepas?

Selain itu, kita juga turut menghormati keputusan negeri Perak untuk tidak menayangkan filem ini di negeri berkenaan atas kemangkatan Almarhum Sultan. Dari situ sebenarnya, kita sudah hilang enam pawagam untuk tayangan. Namun, kita tidak boleh mempertikaikan perkara itu kerana ianya berlaku di luar bidang kuasa kita.

Pada pandangan anda, adakah LPF dilihat lebih terburu-buru dalam menetapkan kategori filem?

Saya tiada sebarang masalah dengan LPF, namun saya berharap agar pihak mereka lebih peka mengenai perkara ini. Soal kategori juga memainkan peranan dalam penerimaan penonton terhadap filem kita.

Di saat industri mengalami kemerosotan dari segi kutipan filem tempatan, LPF seolah-olah 'menyekat' peluang kita untuk berkarya sedangkan filem antarabangsa tidak mengalami nasib yang sama.

Bagaimana industri tempatan akan maju jika LPF masih bersikap begini? Saya harap, LPF akan mengkaji semula perkara ini dan bersikap lebih terbuka. Cubalah bertolak ansur dengan karya tempatan.

Bagaimana pula dengan sasaran kutipan untuk filem ini?

Secara keseluruhan, filem ini menelan kos perbelanjaan mencecah RM3.2 juta. Pun begitu, saya berharap filem ini berjaya membawa pulangan modal. Namun, sekiranya ia mampu meraih keuntungan besar, saya bersyukur dan berbangga dengan titik peluh anak saya.

Kemungkinan besar, Syafiq juga bakal mengikut jejak langkah Syamsul dalam dunia pengarahan dan bergelar penggiat seni yang berjaya. Adakah ini yang anda harapkan dalam mengekalkan legasi keluarga?

Satu ketika dahulu, saya pernah menanam harapan supaya anak-anak dapat meneruskan legasi saya dalam bidang perfileman tempatan. Alhamdulillah, impian dan hasrat saya tercapai untuk lihat anak-anak saya mengembangkan kerjaya yang saya uruskan satu ketika dahulu. Tiada apa yang membahagiakan saya selain melihat mereka berjaya.

Saya kini meletakkan harapan kepada mereka kerana semakin hari, usia saya semakin tua. Saya sudah tidak mampu menguruskannya seorang diri.

Namun saya sedar, zaman semakin berubah dan idea serta buah fikiran mereka lebih relevan dengan industri masa kini. Saya berharap agar penglibatan anak muda seperti mereka dalam industri akan memberi anjakan serta nafas baru dalam industri perfileman tempatan.

No comments: