Friday, June 6, 2014

Kontroversi berterusan, Cadbury M’sia ucap “Terima Kasih Malaysia”



KUALA LUMPUR, 5 Jun: Walaupun pelbagai pihak masih menyuarakan rasa tidak puas hati dengan isu yang melibatkan kontroversi coklat Cadbury, hari ini syarikat Cadbury Malaysia menyiarkan iklan di semua akhbar tempatan hari ini yang bertajuk “ Segalanya baik. Kembali ceria bersama kami”.

Iklan tersebut turut menyebut ‘ Coklat Cadbury yang dihasilkan dan dijual di Malaysia telah mendapat pengiktirafan sijil Halal. Anda telah mempercayai kami selama 40 tahun dan anda boleh terus melakukanya . Terima Kasih Malaysia diatas kepercayaan anda.

Ikan dalam versi bahasa Inggeris pula berbunyi seperti berikut “ All is good. Enjoy us again”.

Walaupun Kementerian Kesihatan berkali – kali cuba menjelaskan isu ini selepas kontroversi itu mencapai satu tahap yang boleh umpamakan seperti “nasi sudah jadi bubur”, dimana ramai pihak yang beranggapan tidak ada sebarang faedah selagi Kementerian itu tidak bertindak.

Ramai pihak yang merasakan , sekalipun Menteri, Timbalan Menteri ataupun pegawai tertinggi daripada Kementerian itu menjelaskan isu tersebut berkali – kali pun ataupun mengunakkan ruang di media massa tetapi segalanya sudah terlambat . Kata mereka ini bukanya masa untuk menuding jari ataupun melepaskan tangan kepada pihak lain kerana banyak kenyataan Kementerian itu tidak selari dalam isu yang melibatkan kontroversi coklat Cadbury sebelum ini. Segalanya bermula dari kenyataan Kementerian Kesihatan , kata mereka kepadaThe Malaysian Times (TMT).

Yang penting sekarang ialah – tanggungjawab siapa ? siapa yang terlibat ? ambil tindakan dan bersihkan situasi yang sebenar, kata mereka.

Semalam Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM) dan enam badan bukan kerajaan (NGO) hari ini membuat laporan polis berhubung kenyataan mengelirukan pengguna umat Islam di negara ini tentang isu penemuan Asid Deoksiribonukleik (DNA) babi dalam coklat Cadbury.

Enam NGO itu ialah Ikatan Rakyat Insan Muslim Malaysia (IRIMM), Pertubuhan Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Persatuan Veteran Tentera Melayu (PVTM), Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (IKHLAS), Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin (PMSP) dan Gerak Kerja Ayahanda Negeri Selangor(GEGAS).

Presiden MJMM, Abdul Rani Kulup Abdullah yang diiringi 30 anggota beberapa NGO yang lain, membuat laporan polis pada 11.30 pagi tadi di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.

“Semalam, Jakim mengesahkan dua sampel produk coklat Cadbury yang diambil terus dari kilang syarikat itu disahkan oleh makmal Jabatan Kimia, tidak mengandungi DNA babi.

“Sebelum ini, Kementerian Kesihatan (KKM) mengeluarkan kenyataan bahawa ia telah mengesan ‘porcine’ atau DNA babi dalam coklat susu dan kacang Hazel serta coklat susu dan badam bagi kelompok produk itu bertarikh luput 13 Nov 2014 dan kelompok bertarikh luput 15 Jan 2015,” katanya.

Sehubungan itu, Abdul Rani menggesa pihak bertanggungjawab untuk mengambil tindakan proaktif bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

Sementara itu, Presiden JMM, Azwanddin Hamzah menggesa KKM dan Jakim memberi penjelasan lebih baik kepada rakyat berhubung isu ini.

Semalam, KKM menyiasat pegawai yang membocorkan laporan awal ujian DNA babi dalam coklat Cadbury, sebelum ujian makmal kedua sempat dijalankan untuk mengesahkan kandungan itu.

Pada 2 Jun lepas, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata analisis makmal Jabatan Kimia terhadap dua produk coklat susu Cadbury – Roast Almond dan Hazelnut (badam dan kacang hazel) – disahkan tiada DNA babi.

Turut hadir, Presiden Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan yang menggesa supaya KKM dan Jakim bekerjasama dalam memberi penjelasan yang telus berkaitan isu ini sebelum mengeluarkan fatwa yang sahih.

“Kita minta perkara ini dapat diselesaikan dengan cara baik dan minta para pengguna bersabar dalam isu ini,” katanya.

KEMENTERIAN KESIHATAN JADI SASARAN

Selepas Kementerian Kesihatan mengakui melakukan kesilapan berhubung pengumuman terdapat kesan Asid Deoksiribonukliek (DNA) babi dalam kandungan dua produk coklat Cadbury termasuk tidak memaklumkan kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) terlebih dahulu, ramai pihak termasuk rakyat mendesak Kementerian Kesihatan mengambil tindakan yang drastik termasuk memecat pegawai yang terlibat dengan kejadian tersebut.

The Malaysian Times (TMT) menerima pelbagai komen dan pandangan dari orang ramai yang melahirkan kebimbangan dan kekesalan mereka dengan insiden tersebut.

“Menteri Kesihatan perlu bertindak. Ini bukan masanya untuk menuding jari antara satu sama lain. Sekiranya Kementerian mengakui itu adalah kesilapan mereka. Ambil tindakan segera”, kata rata – rata pembaca ketika dihubungi TMT .

Mereka juga berpandangan kontroversi isu tersebut telah menjejaskan imej negara di peringkat antarabangsa.

Sebelum ini Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Hilmi Yahya berkata, kesilapan berlaku apabila maklumat terhadap ujian makmal yang dijalankan ke atas produk-produk itu dibocorkan ke laman sosial selain pengumuman dibuat terlalu awal.

Katanya, sikap terburu-buru seorang pegawai kementerian membocorkan laporan awal ujian itu sebelum ujian kedua dijalankan telah menimbulkan kekeliruan kepada orang ramai.

“Kebocoran maklumat awal siasatan itu adalah kesilapan daripada pegawai kami. Sikap terburu-buru telah menimbulkan kekeliruan dalam perkara ini. Saya mohon kepada semua untuk menerima keputusan Jakim. Satu kesilapan telah dibuat oleh pegawai kami dan kementerian sedang jalankan siasatan dalaman dan tindakan tegas akan diambil,” katanya.

Pengumuman Kementerian Kesihatan berhubung penemuan DNA babi dalam dua produk Cadbury iaitu coklat susu dengan kacang hazel dan coklat susu dengan buah badam baru-baru ini telah mengejutkan umat Islam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom pula dipetik berkata, analisis makmal Jabatan Kimia terhadap dua produk coklat susu Cadbury terbabit disahkan tiada DNA babi.

Menurut Dr. Hilmi, sebarang keputusan berkenaan status halal atau haram melibatkan sesuatu produk kelak akan diuruskan oleh Jakim.

“Orang ramai boleh meyakini siasatan Jakim yang telah membuat pengesahan produk itu tidak mengandungi unsur haram dan selamat dimakan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menolak kewujudan sebarang unsur sabotaj melibatkan isu kebocoran ujian awal coklat Cadbury itu.

“Jakim dan Kementerian Kesihatan melakukan ujian makmal menggunakan prosedur operasi standard yang sama untuk mendapatkan keputusan. Kita mempunyai lebih 15 makmal bagi tujuan itu tetapi ujian Cadbury dibuat di Sungai Buloh sebelum maklumat mengenainya bocor tanpa pengesahan dalam ujian awal Februari lalu,” ujarnya.

Tambahnya, berbanding makmal yang digunakan Jakim, makmal kementerian tidak diakreditasikan untuk penentuan produk halal dan hanya digunakan untuk kajian dalaman.

MEMALUKAN – PERKASA

Isu kekeliruan berhubung kandungan coklat Cadbury yang dikatakan mempunyai DNA babi amat memalukan dan tidak boleh dimaafkan, kata Presiden Pertubuhan Pribumi Kebangsaan Malaysia (Perkasa) Datuk Ibrahim Ali.

Beliau berkata, isu berkenaan memperlihatkan kegagalan keupayaan Kementerian Kesihatan dan Jabatan Agama Islam Malaysia (Jakim) dengan mengeluarkan bukti yang tidak diperhalusi dengan betul.

“Siapa punya angkara?…Kementerian Kesihatan atau Jakim yang mengatakan coklat Cadbury ada DNA babi, ia amat memalukan,” kata Ibrahim dalam satu kenyataan dari London yang dikirimkan kepada The Malaysian Insider.

“Bukti tidak teliti dengan diperhalusi, tidak ada ‘Standard Operating Procedure (SOP) yang profesional antara Jakim dan Kementerian Kesihatan,” katanya dan menambah, kesilapan sedemikian tidak boleh dimaafkan.

Ibrahim yang juga bekas ahli Parlimen Pasir Mas berkata, kekeliruan berkenaan melibatkan kerugian perniagaan yang besar dan menjejaskan reputasi Cadbury.

“Siapa yang silap dan cuai mesti diambil tindakan malah masyarakat antarabangsa turut mentertawakan Malaysia,” katanya.

Ibrahim berkata, komuniti antarabangsa yang ditemuinya di London berkata “Malaysia amat melucukan” ekoran insiden tersebut.

“Ada yang saya jumpa di London komen ‘Your country very funny … not profesional at all … Malaysia have the tallest twin tower in the world, but how come first’,” katanya.

“Tak tahulah, nak cakap apa lagi,” kata Ibrahim.

Selepas kontroversi DNA babi dalam coklat Cadbury, KKM mengesahkan pihaknya akan mengadakan siasatan dalaman untuk menjejak individu bertanggungjawab yang menyebarkan laporan tersebut.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahya berkata, laporan awal tersebut tidak tepat dan penyebarannya secara terburu-buru mengakibatkan kekecohan di kalangan masyarakat yang majoriti beragama Islam di dalam negara.

“Kami akan membuat siasatan dalaman. Mereka terburu-buru mengeluarkan laporan awal itu sebelum siasatan lanjut melibatkan produk tersebut dilakukan semula,” katanya kepada media selepas merasmikan Persidangan Persatuan Hospital Swasta Malaysia, hari ini.

KKM sebelum ini mengesahkan kewujudan DNA babi (porcine) dalam dua daripada tiga sampel coklat Cadbury yang diambil bagi tujuan pemantauan.

Susulan itu, Cadbury menarik balik dua produk, Cadbury Dairy Milk Hazelnut (nombor keluaran 200813M01Hh I2 yang tamat tempoh pada 13 November, 2014) dan Cadbury Dairy Milk Roast Almond (nombor keluaran 221013N01R I1 yang tamat tempoh pada 15 Januari, 2015).

Kontroversi tersebut menimbulkan kemarahan orang ramai, malah pertubuhan bukan kerajaan menggesa Cadbury dan Jakim disaman akibat penemuan tersebut.

No comments:

Sila klik