Thursday, June 5, 2014

Delegasi Malaysia ke Australia bincang maklumat terkini MH370


KUALA LUMPUR - Malaysia akan menghantar delegasi ke Canberra, Australia dalam masa terdekat bagi membincangkan maklumat terkini operasi pencarian pesawat Malaysia Airlines Penerbangan MH370, termasuk kos, di lokasi baharu.

Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, delegasi itu akan diketuai Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari dengan disertai tiga lagi timbalan menteri yang mengetuai jawatankuasa peringkat kementerian masing-masing berkaitan operasi mencari pesawat berkenaan.

"Ia turut disertai Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam Malaysia, Datuk Azharuddin Abdul Rahman dan Timbalan Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia, Laksamana Madya Datuk Seri Panglima Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin,” katanya.

Hishammuddin, yang juga Menteri Pertahanan, berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan mesyuarat berkaitan pencarian MH370 hari ini.

Timbalan Menteri Luar, Datuk Hamzah Zainuddin mengetuai jawatankuasa berkaitan waris keluarga; Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Aziz Kaprawi mengetuai jawatankuasa berkaitan teknikal, pembentukan dan lantikan pasukan penyiasat manakala jawatankuasa berkaitan penghantaran aset bagi operasi mencari diketuai Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Abdul Rahim Bakri. - Bernama

No comments:

Sila klik