Sunday, December 23, 2012

Seni di dalam terowong

Seni boleh dilakarkan di mana-mana. (Imej : Google)

Seni terpanjang di dunia




MENGGUNAKAN pengangkutan awam bawah tanah tak semestinya menjadi pengalaman yang sangat menarik. Ini kerana pengangkutan itu bertujuan memudahkan perjalanan orang ramai dari satu tempat ke tempat lain.

Namun, keadaan sama sekali berbeza di ibu negara Sweden, Stockholm, apabila seniman memberikan wajah baru kepada terowong yang digunakan kereta api bawah tanah di situ sebagai pusat pameran.

Kira-kira 90 daripada 100 stesen kereta api bawah tanah di Stockholm mendapat sentuhan lebih 150 seniman sejak 55 tahun lalu.

Hasil sentuhan seni itu memang luar biasa. Daripada sekadar terowong yang suram, ia kini kelihatan sungguh indah dengan pelbagai warna dan bentuk.

‘Solekan’ itu membantu sistem pengangkutan kereta api bawah tanah di Sweden dianggap sebagai paling indah di Eropah.

Terowong itu juga menjadi pameran seni terpanjang di dunia, dengan ukuran 110 kilometer.

Pelbagai gaya artistik dipersembahkan di situ, tujuh tahun selepas ia dibuka kepada orang ramai pada 1950.
Seniman pertama memberikan sentuhannya di terowong bawah tanah itu ialah Vera Nilsson dan Siri Derkert selepas cadangan mengenainya dikemukakan kepada Majlis Bandar Raya Stockholm pada 1955.

Selepas mendapat kelulusan, bermulalah proses kerja seni berlangsung di situ untuk tempoh hampir 60 tahun.

Untuk memeriahkan lagi dunia seni bawah tanah itu, pihak berkuasa bukan saja membenarkan paparan seni lukis dan arca dipamerkan, malah tayangan filem juga pernah dilakukan di situ.

Tayangan filem seni mula dibuat di stesen Skanstull sejak 2004. Sementara itu, karya seni bukan saja dapat dilihat di stesen kereta api bawah tanah.

Walaupun pihak berkuasa tempatan berpendapat seni tampak sebegitu memerlukan kos penyelenggaraan tinggi, ia masih dibenarkan dibuat di stesen bas dan kereta api.

Pengendali sistem pengangkutan di Stockholm, SL, berkata hasil seni seumpama itu “menuntut harga tinggi” kerana ia mesti dibersihkan, tahan lama dan tahan hakisan cuaca.

Pada masa sama, karya seni itu juga membantu pengendali pengangkutan awam di situ.

Menurut mereka, penumpang ternyata lebih gembira dengan ‘hiburan’ yang ada, selain membantu mereka mencari laluan tepat - sekali gus mengawal kadar jenayah.

Pada laman sesawang SL, firma terbabit menyatakan: “Karya seni itu membolehkan stesen kelihatan lebih indah, selamat dan membantu menjadikan perjalanan bukan sekadar menghubungkan dua tempat.”

sumber : myMetro Online

No comments:

Sila klik