Sunday, December 16, 2012

Laungan Allah disebut, ketika alami kesakitan teruk

Rithsman insaf selepas dibedah
Oleh NORIAH IDRIS
nori@hmetro.com.my



SAHAM AKHIRAT...antara pelajar tahfiz dikendalikannya.

KEHIDUPAN mewah dilaluinya dan sering ke luar negara atas tuntutan kerjaya mahupun berseronok sesama rakan atau keluarga membuatkan beliau terbuai seketika dalam keindahan duniawi.

Bahkan, setiap kali berpeluang ke luar negara, perkara duniawi menjadi bahan atau topik menarik dibincangkan bersama rakan taulan mahupun keluarga hingga ada kalanya timbul rasa bangga di hati.





RANCANG...Rithsman menunjukkan jadual penerbangan tahun depan dan sudah ditempah agensi umrah.




KOMITED...seronok kendali perniagaan berkaitan umrah.


Dalam mindanya, tidak pernah terlintas untuk mengerjakan umrah kerana merasakan masih muda dan biasanya ibadat itu hanya bagi yang berusia.

Namun peristiwa yang berlaku dua tahun lalu mengubah pandangan Datuk Rithsman Mohamed, 40, serta sangat menguji diri apabila beliau menghidap sakit tulang belakang yang teruk hingga hampir lumpuh.

Proses pembedahan tulang belakang dilakukan sangat menyeksa diri dan dalam keadaan separuh sedar, beliau merasakan ajalnya hampir tiba. Ketika itu, beliau tidak tahan melawan sakit hinggakan menjerit sekuat hati dan spontan menyebut nama Allah.

“Selepas sedar daripada pembedahan, saya memikirkan mengapa diuji dengan kesakitan itu... hanya nama Allah disebut, bukan ibu, ayah atau isteri mahupun anak yang terlintas di fikiran.

“Baru saya sedar dan menyabarkan diri bahawa inilah keajaiban diberikan Tuhan supaya saya insaf kerana selama ini alpa akan duniawi.

“Saya terus menangis dan berdoa supaya dianugerahkan kesihatan baik dan perkara pertama terlintas di fikiran adalah mahu mengerjakan umrah setiap tahun atau menunaikan haji sebagai tanda kesyukuran.

“Alhamdulillah, Allah membuka ruang kepada saya kerana pada tahun itu juga diberi peluang menunaikan haji di Makkah dan bersyukur diterima menjadi tetamu-Nya,” katanya.

Titik tolak daripada situ, setiap tahun bahkan setiap bulan beliau mengambil peluang mengerjakan umrah apabila berkesempatan melakukannya kerana terbabit dalam bidang pelancongan dan menubuhkan organisasi mengurus jemaah berkaitan ibadat umrah.

Menurut Rithsman, sebelum membabitkan diri dalam perniagaan berasaskan ibadat umrah, selama 12 tahun beliau terbabit dalam perniagaan berasaskan khidmat nasihat dan perunding sumber manusia di pelbagai organisasi.

Menerajui Eco Riths Travel & Tours Sdn Bhd yang ditubuhkan dua tahun lalu, banyak penerbangan ke luar negara dilakukan seperti Indonesia, China, Korea Selatan, Jepun dan pelbagai lagi atas permintaan syarikat korporat dan individu tertentu.

Terbaru, beliau memperkenalkan pakej ‘khidmat sewa pesawat’ Sistem Penerbangan Malaysia (MAS) dan menjual pakej itu kepada agensi yang mengendalikan umrah ke Makkah.

Menerusi kuota penerbangan hampir 500 jemaah dengan jadual penerbangan lengkap dan agensi pula tidak culas membuat bayaran bagi tempahan dilakukan, ia perniagaan memberangsangkan.

Bagi 2013, sebanyak 18 penerbangan dirancang dan bakal membawa jemaah mengerjakan umrah seawal Februari hingga Ogos depan, semuanya habis ditempah agensi terbabit.

“Apabila menceburi perniagaan berkaitan ibadat, saya berasa lebih tenang, malah rezeki yang didatangkan tidak pernah putus. Namun, tidak bermakna saya hanya bergoyang kaki sambil menunggu pelanggan.

“Bersama kakitangan komited, kami sentiasa berusaha memberi yang terbaik kepada pelanggan dalam apa juga aspek perniagaan dirancang dengan mempertaruhkan kualiti.

“Bagi umrah dan haji, aqiqah, perkhidmatan tiket, visa (umrah, haji dan pelancongan) serta menyediakan ‘shuttle’ di lapangan terbang atau apa saja yang berkaitan untuk kebaikan orang ramai, jangan memikirkan keuntungan semata-mata,” katanya.

Dalam meneruskan kesinambungan ilmu keagamaan, Rithsman menaungi Madrasah Al-Ilmi di Seksyen 9, Shah Alam yang bertujuan mendedahkan ilmu keagamaan sejak kecil.

Ditubuhkan pada 2005, sekolah tahfiz itu memulakan operasinya dengan 10 murid tetapi kini hampir 300 pelajar yang dahagakan ilmu hafazan dan pendidikan agama menuntut ilmu agama di situ.

Menurutnya, pelajar diambil daripada lepasan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) hingga menjangkau 17 tahun tetapi ada yang menghantar anak mempelajari tahfiz seawal sembilan tahun.

Namun, katanya, pengambilan di bawah 12 tahun mesti melalui temu duga selain mempunyai pengetahuan asas dalam al-Quran serta menguasai bahasa Melayu, bahasa Inggeris dan matematik dengan baik.

Sehingga kini, katanya, ada kalangan mereka hafaz al-Quran sebanyak 30 juzuk sebelum usia 12 tahun dan ada pula selepas Penilaian Menengah Rendah (PMR).

Menurutnya, pelajar cemerlang boleh meneruskan pengajian di luar negara iaitu di Yaman, Mesir dan Afrika Selatan.

Sebagai pusat bercirikan pembelajaran agama, pelajar ditempatkan di asrama dan dilatih mengurus diri, membersih pakaian mahupun memasak sendiri selain memupuk budaya toleransi sesama mereka.

Bagi menjadikannya pusat tahfiz disegani, beliau mempelawa individu, kumpulan mahupun syarikat korporat menghulurkan sumbangan bagi mengurus madrasah itu dengan lebih sempurna.

“Sehingga kini, belanja mengurus madrasah itu menjangkau hingga RM11,000 sebulan, termasuk beberapa lagi cawangan dengan merangkumi 14 kakitangan.

“Selain itu, permintaan untuk program cuti sekolah mendapat sambutan memberangsangkan. Dalam usaha meningkatkan motivasi diri, kami membawa pelajar cemerlang dan anak yatim mengerjakan umrah bersama-sama.

“Jika ada pihak berhasrat menaja atau menjadi keluarga angkat mereka, ini peluang terbaik melabur untuk ‘saham akhirat’,” katanya.

Dalam soal keluarga pula, beliau tidak menafikan bahagia memiliki ramai anak iaitu lapan orang dan hidup bahagia di sisi isteri tercinta, Datin Mazrina Khalid, 40.

PROFIL:

NAMA: Datuk Rithsman Mohamed
TARIKH LAHIR: 6 November 1972
JAWATAN: Pengarah Urusan Eco Riths Travel & Tours Sdn Bhd
ASAL: Kota Bharu, Kelantan
PENDIDIKAN: Ijazah Pengajian Perniagaan, Kolej Kota Kinabalu
STATUS: Berkahwin
ISTERI: Datin Mazrina Khalid
ANAK: Lapan orang

sumber : myMetro

No comments:

Sila klik