Tuesday, August 9, 2011

Tragedi tanah runtuh di Brinchang

Tujuh maut tertimbus

BRINCHANG - Tiga lelaki dan empat wanita maut, manakala dua parah dalam kejadian tanah runtuh di perkampungan Orang Asli Sungai Ruil, Brinchang, yang berlaku kira-kira jam 5.45 petang, kelmarin.

Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, mangsa terbunuh dikenali sebagai Normadiah Lasik, 69, Ali Hassan, 50, Jaafar, 49, Mohd Ikbal Jaafar, 15, Sara Gunung, 37, Norma Gunung, 51, dan Yusnizan Yusof, 22.

Menurutnya, dua lagi mangsa parah, Bah Anjang Besar a/l Anjang, 39, dan Serry Priary a/p Suri, 15 tahun.

“Segala operasi mencari dan menyelamat dihentikan pada 1.50 pagi. Bagaimanapun, pihak polis meneruskan bagi menjalankan operasi kawalan di kawasan kejadian,” katanya.
Beliau berkata, mangsa terakhir ditemui jam 1.20 pagi.

“Kesemua mangsa yang maut dibawa ke Hospital Sultanah Hajjah Kalsom untuk dibedah siasat, manakala mangsa parah dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh untuk menerima rawatan lanjut,” katanya.

Wan Mohd Zahari berkata, kedua-dua mangsa yang cedera itu dilaporkan stabil.

“Sebanyak 248 anggota pelbagai agensi antaranya Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat, pasukan Smart, Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) dan Rela terlibat dalam operasi di kawasan kejadian,” katanya.

Wan Mohd Zahari berkata, kesemua 60 keluarga mendiami rumah di kawasan berisiko sudah dipindahkan ke Dewan Serba Guna Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina Brinchang di sini, awal pagi kelmarin.

Dalam kejadian 5.45 petang itu, banjir lumpur dan tanah runtuh selepas hujan lebat sejak 5 petang, merosakkan enam rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin di perkampungan berbukit berkenaan di mana tiga daripadanya tertimbus.

Dalam pada itu proses menempatkan mangsa yang selamat ke Dewan SJKC berjalan lancar di bawah penyelenggaraan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) daerah Cameron Highlands.


sumber: http://www.sinarharian.com.my

No comments:

Sila klik