Sila klik

Sunday, August 14, 2011

Irma Hasmie, penampilan berbeza


Transformasi Irma

Irma


TUTUR kata Irma Hasmie masih bernada yang sama. Ramah tidak berubah tetapi intonasinya merendah diri dan lembut menutur bait-bait kata.
Ketara berbeza adalah penampilannya yang kini mendapat perhatian dan pujian marhaen. Imej muslimah yang dibawa Irma ternyata memaut setiap pandangan. Dia akur bahawa transformasi itu tidak ditutur ramai tetapi khalayak sentiasa mahukan perubahan positif dalam atmosfera dunia hiburan.
Manis bertudung dengan gaya tersendiri, ucap Irma penuh syukur, perubahan imej dan persona ini membawa juga transformasi dalam pengaliran rezekinya.
“Syukur, makin murah rezeki. Perjalanan hidup saya makin tenang walau sibuk dengan kerjaya. Saya bersyukur walaupun kadangkala rasa penat tetapi rezeki saya makin murah. Saya hanya perlu korbankan masa,” ujar Irma yang tenang bersuara.
Terbaru, wanita muda berusia 29 tahun ini muncul dalam siri Kasih Alia terbitan JS Pictures yang kini ditayangkan di saluran TV3 pada setiap Isnin hingga Khamis pada pukul 7 malam.
Membawa watak Qistina, Irma memerankan anak sulung yang paling rapat dengan ibunya. “Paling mendengar kata dan sesuai dengan imej diri saya yang bertudung kini,” ujar Irma tentang drama 26 episod tersebut.
“Saya berlakon bersama Sheila Rusly dan Fida dan siri ini menampilkan konflik keluarga tiri yang berlaku dalam masyarakat,” ujarnya yang seronok berlakon bersama pelakon-pelakon lain seperti Sharnaaz, Iqram Dinzly, Erry Putra dan Rafidah Ibrahim.
Seiring pertukaran imej yang berlaku buat pelakon yang mula dikenali melalui filem Kuliah Cinta ini, ada yang menganggap Irma bakal meninggalkan dunia lakonan.
Ujar Irma telus, dia belum terfikir untuk berhenti daripada kerjayanya sebagai pelakon walaupun sudah berubah imej.
“Sampai hari ini, hati saya belum terdetik lagi untuk berhenti bidang lakonan sejak bertudung. Syukur kerana pihak produksi begitu memahami saya,” ujar Irma yang meminta pihak produksi memperuntukkan 30 minit setiap kali waktu solat kerana mahu membuang dan memakai solekan.
Tidak berdepan masalah dengan setiap penggambaran yang dilakukan, Irma turut bersyukur kerana tidak putus-putus diberikan tawaran berlakon dan mengacara.
Terbaru, pelakon comel ini diberi kesempatan mengendalikan program Solehah dan Assalamualaikum yang ditayangkan di saluran TV AlHijrah.
“Saya mahu mencari akhirat. Pernah terfikir kenapa tidak sedar daripada awal lagi dan kenapa ketika berusia saya 26 tahun, baru saya terpanggil untuk berubah? Tapi saya tetap bersyukur kerana Allah buka hati saya,” kata Irma menjadikan lakonan sebagai medium untuk berdakwah ke jalan yang diredai Tuhan.
Selain itu, pelakon ini turut melebarkan kerjayanya dan bergelar usahanita hasil kerjasama dengan pereka fesyen kegemarannya, Ezuwan Ismail.
Irma dan Ezuwan yang juga merupakan rakan baiknya bekerjasama mengeluarkan seleksi jubah yang diberi nama Irma Hasmie by Ezuwan Ismail dikeluarkan dengan sepuluh rekaan eksklusif dalam sepuluh warna.
Menurut Irma, rekaan busana tersebut juga hasil perbincangan dan persetujuan dirinya dan Ezuwan Ismail sendiri.
sumber: KOSMO! Online

No comments: