Sila klik

Sunday, August 7, 2011

Ramadan bulan ibadat, bukan pesta makanan

Foto
Datuk Abu Hassan Din Al-Hafiz

MUNGKIN rata-rata umat Islam sudah tahu kelebihan berpuasa, namun boleh Datuk perjelaskan lagi dengan lebih terperinci?


Ramadan bulan disediakan Allah begitu banyak pahala untuk direbut umat Islam melalui setiap ibadat sehingga Rasulullah SAW bersabda dalam hadis yang bermaksud: “Tidur bagi orang yang berpuasa itu adalah ibadat, manakala diamnya adalah bertasbih.” Begitulah betapa besarnya kelebihan Ramadan yang mana tidur pun dianggap ibadat. Pada bulan inilah diturunkan satu malam yang istimewa iaitu Lailatulqadar di mana malam yang lebih baik daripada 1,000 bulan dan digandakan pahala amalan pada malam itu. Pada Ramadan jugalah Allah SWT menurunkan petunjuk bagi manusia, iaitu al-Quran. Kita digalak memperbanyakkan serta menggandakan bacaan al-Quran berserta maksudnya pada bulan mulia ini. Syaitan juga tidak dapat menghasut manusia pada Ramadan. Namun jika masih ada kejahatan yang dilakukan ia berpunca daripada nafsu sendiri. Pada bulan inilah pintu langit akan dibuka seluas-luasnya bagi memberi peluang kepada umat Islam memohon ampun dan memanjatkan doa, paling penting kegembiraan orang yang berpuasa dengan ikhlas pada Ramadan kerana berpuasa dapat menghalang manusia daripada kejahatan. Bagaimanapun, amat malang sekali apabila ada sesetengah individu mengambil kesempatan untuk mengaut keuntungan pada bulan ini tanpa memikirkan kepentingan akhirat. Sebenarnya tidak salah sekiranya mereka mengambil kesempatan untuk berniaga tetapi dengan dua syarat. Pertama jangan terlampau mementingkan keuntungan berganda. Kedua, jangan mengabaikan ibadat. Tetapi apa yang kita dapati hari ini kebanyakan peniaga di bazar Ramadan tidak sempat ke rumah Allah, lebih-lebih lagi jika mereka berniaga hingga lewat malam. Justeru saya sarankan bazar Ramadan yang menjual juadah berbuka ditutup setengah jam sebelum berbuka bagi memberi peluang kepada pengunjung dan peniaga membuat persiapan berbuka, seterusnya ke masjid untuk bertarawih. Saya juga cadangkan pihak berkuasa menahan orang Islam tidak berpuasa dan makan di khalayak ramai serta peniaga yang sama bersubahat dengan orang itu kerana tidak menghormati kemuliaan Ramadan.

Dari segi amalan pemakanan pada Ramadan pula, bagaimana yang digalakkan Islam?

Kunci utama ialah amalan pemakanan secara sihat, makan secara sederhana dan seimbang. Mengikut sunnah, lebih baik mengambil kurma sebagai makanan pertama untuk berbuka kerana ia kaya dengan tenaga serta serat. Sebenarnya, menjaga dan mengawal perut daripada makan terlalu banyak adalah kaedah pencegahan penyakit berkesan, namun kebanyakan kita suka mengambil makanan dalam kuantiti banyak. Amalan ini boleh menyebabkan sistem pencernaan lemah dan tidak boleh mencerna secara teratur. Paling penting ialah untuk tidak makan secara berlebihan dan digalakkan mengambil makanan ringkas terlebih dulu. Mengambil contoh Nabi Muhammad SAW yang mengamalkan petua kesihatan mengambil kira isi padu makanan. Baginda lebih mengutamakan makanan lembut, terutama jika baru sembuh atau melalui proses pemulihan. Disiplin pemakanan yang diamalkan Rasulullah SAW biasanya mengelak makanan itu mendatangkan penyakit kepada individu yang sihat, manakala bagi mereka yang mengalami masalah kesihatan, ia mengelak penyakit menjadi semakin serius. 
Selalu kita lihat pada bulan puasa, banyak berlaku pembaziran sewaktu membeli juadah berbuka?

Pada bulan puasa, bazar Ramadan tumbuh bagaikan cendawan, sekali gus menyumbang kepada pembaziran. Di sanalah pelbagai jenis makanan ada untuk berbuka. Makanan yang dijual menyebabkan kita rambang mata membuat pilihan. Masa itu, segala amalan makanan sihat diketepikan kerana nafsu makan mengatasi segala-galanya. Umat Islam seharusnya memahami konsep berpuasa dan faham mengapa perlu berjimat cermat kerana hadis Rasulullah SAW ada menyebut: “Apabila seorang antara kamu hendak berbuka puasa, hendaklah ia berbuka dengan air.” Melalui hadis ini, Nabi mengajar umat Islam cara hendak berbuka. Kita akan dapati satu bentuk penjimatan sekiranya mengikut sunnah nabi. Malangnya setiap kali Ramadan, sebahagian umat Islam lebih gemar membazir dan ikut nafsu sedangkan cara demikian tidak dituntut Islam. Untuk mengelakkan pengambilan makanan atau minuman berlebihan, perlulah bersederhana ketika menghidang juadah terutama ketika berbuka. Memang sukar mengawal apa yang dimakan sekiranya juadah pelbagai jenis ada depan mata. Paling penting, umat Islam harus ingat tujuan berpuasa untuk mendapatkan pahala dan keberkatan dan sebarang pembaziran pada Ramadan boleh mengurangkan pahala amalan puasa itu sendiri. Ramadan bulan yang baik mengajar diri hidup dalam kesederhanaan dan menginsafi kemampuan diri menikmati pelbagai juadah lazat berbanding mereka yang hidup dalam kemiskinan dan kebuluran di serata dunia. Bukan saja bersederhana dari segi pemakaian, suasana kediaman, malah pemakanan ketika berbuka juga perlu dijaga supaya tidak melampaui batas. Pembaziran juga satu perbuatan dibenci bukan saja Islam tetapi juga agama lain.

Apa pula pendapat Datuk dengan aliran berbuka puasa di hotel dan restoran mewah?

Menyentuh soal berbuka di restoran mahupun hotel, kita bukan saja pentingkan soal berbuka tetapi hendaklah berbuka dengan makanan yang pasti halalnya dan tidak meragukan. Selain berbuka, kita hendaklah memastikan menu atau makanan disediakan itu halal. Misalnya, setiap kali Ramadan, banyak pihak sibuk menganjurkan majlis berbuka di hotel mewah kepada orang susah khususnya anak yatim. Meraikan golongan ini bukan satu kesalahan tetapi janganlah sampai ke peringkat riak dan bertujuan bermegah sehingga ada yang mengabaikan aspek halal. Bagi saya, daripada meraikan golongan ini dengan membawa mereka ke hotel mewah dengan bayaran tinggi untuk berbuka, lebih baik bagi wang ihsan dan sedekah secara terus kepada anak yatim. Bukan saja isu halal jadi persoalan, seperkara lagi yang perlu diberi perhatian ialah apabila sesetengah hotel atau restoran mewah menyediakan juadah berbuka dan pada waktu sama diiringi unsur hiburan yang boleh melalaikan seperti tarian dan nyanyian yang mana hiburan seperti ini amat tidak digalakkan. 

Akhir sekali, apa nasihat Datuk kepada umat Islam pada Ramadan ini?

Amalan melatih anak kecil berpuasa baik tetapi persoalannya, mengapa puasa lebih diutamakan sedangkan ibadat lain lebih penting seperti solat diabaikan. Saya bimbang dan takut sekiranya ibu bapa membiasakan anak dengan berpuasa tetapi tidak mengerjakan solat, sia-sialah puasa mereka. Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda: “Perintahkanlah atau suruhlah anak-anak kamu mengerjakan solat ketika usianya tujuh tahun dan apabila menjangkau usia 10 tahun, pukul mereka jika mereka tidak mahu bersolat”. Berpandukan hadis ini jelas Rasulullah SAW lebih mengutamakan solat berbanding puasa. Tetapi apa saya lihat hari ini, kebanyakan ibu bapa lebih menekankan puasa terhadap anak-anak tetapi mengabaikan solat. Dalam mengabaikan solat ada pula yang tidak mengendahkan bulan puasa. Berdasarkan pemerhatian saya, masih ada generasi muda tidak memahami perkara ini dan mereka tidak berpuasa, tanpa segan silu memperlihatkan kepada orang ramai yang mereka tidak berpuasa dengan menghisap rokok. Dalam Islam sepatutnya orang yang tidak boleh berpuasa seperti perempuan yang datang haid, sakit dan seumpamanya walaupun mereka tidak berpuasa, dilarang makan dan minum di khalayak ramai kerana menghormati Ramadan. Inikan pula orang yang sengaja tidak berpuasa.

sumber: Berita Harian Online

No comments: