Sila klik

Saturday, August 2, 2014

Kedudukan Khalid masih ditentukan oleh PKR


Abdul Khalid Ibrahim.
Ganbar dari mStar Online

Laporan yang disiarkan oleh mStar Online mengenai percaturan yang dikenali sebagai 'Langkah Kajang' kini dilihat semakin meruncing, rundingan sedang giat dilakukan untuk mengekalkan Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor.

Perkara ini dijelaskan oleh Setiausaha Politik Khalid, Azman Abidin bahawa usaha sedang dimulakan untuk membawa Khalid dan penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail ke meja rundingan.

Rundingan untuk mempertemukan mereka diatur sebelum Hari Raya tetapi ditangguhkan kerana cuti perayaan.

"Saya harap perbincangan ini akan diteruskan semula dalam masa terdekat," kata Azman.

Azman berkata, beliau merupakan perantara yang mengaturkan perbincangan selain menyampaikan komunikasi antara Khalid dan Anwar.

"Saya berusaha keras agar perbincangan itu dapat diadakan supaya Tan Sri (Khalid) akan diberi peluang untuk mengekalkan jawatannya sebagai menteri besar," kata Azman.

Beliau berkata, walaupun Khalid menerima sokongan luar supaya mengekalkan jawatannya, beliau memerlukan persetujuan PKR untuk terus menerajui Selangor.

"Tan Sri merupakan ahli PKR, jadi amat penting beliau perlu mendapat mandat dari PKR untuk kekal," kata Azman.

Beliau berkata isu ini bolej diselesaikan secara baik jika ia dibincangkan secara dalaman bersama parti.

"Keadaan boleh kembali reda dan orang ramai tidak perlu mengeluarkan kenyataan yang boleh menjejaskan parti dan Pakatan Rakyat," katanya.

Jika rundingan gagal diteruskan, Azman berkata, Khalid perlu menunggu hasil perbincangan mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat pada 10 Ogos ini.

Mesyuarat itu dijangka mencapai kata putus berhubung kedudukan Khalid.

PKR mahu Khalid menyerahkan jawatannya kepada Dr Wan Azizah.

DAP bersetuju dengan pertukaran itu tetapi pemimpin PAS tidak setuju dengan cadangan tersebut.

Menurut Azman, tindakan Khalid yang dilihat bertemu dengan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat adalah kunjungan sempena Hari Raya.

"Ia hanya kunjungan Hari Raya dan tidak lebih daripada itu," katanya sebagaimana yang dilaporkan oleh mStar Online.

No comments: