Sila klik

Saturday, July 30, 2011

Terbaik daripada Toyota

Oleh MUHAMMAD MD. TAJUDIN



LFA didakwa menjadi jelmaan Toyota Supra berikutan persamaan rekabentuk antara kedua-dua model tersebut.


ASIA TENGGARA ialah ‘tanah jajahan’ Toyota. Di Malaysia, walaupun Perodua dan Proton adalah peneraju utama industri automotif, namun jika dikira pengaruh Toyota dalam Perodua dan digabungkan dengan jualan Toyota itu sendiri, maka boleh dibuat kesimpulan mudah bahawa gergasi dari Jepun itu sebenarnya adalah penakluk pasaran tempatan.

Di sekeliling kita pula penuh dengan kenderaan jenama Toyota. Ada jiran yang memandu Avanza atau rakan sekerja yang memandu Vios. Di pejabat pula, terutama agensi kerajaan, banyak yang menggunakan Hiace sebagai kenderaan rasmi untuk mengangkut pekerja.

Toyota kini berada dalam keadaan yang kukuh. Mereka mewah dengan teknologi dan platform dengan kos pembangunan yang dikongsi oleh beberapa model lain. Mereka mempunyai skala ekonomi, faktor yang penting dalam survival bisnes masa kini.

Biarpun begitu, dalam kalangan rakan-rakan saya, Toyota menjadi bahan jenaka. Harus tahu bahawa kelompok saya terdiri daripada anak muda yang gemarkan kereta pantas, cantik dan tidak membosankan.

Walaupun Toyota menawarkan Vios versi TRD, itu tidak memadai kerana di dalam kepala rakan-rakan saya cuma ada model Hachiroku (Toyota Corolla AE86), Supra atau paling tidak Starlet Turbo.

Jika dibandingkan dengan Vios TRD, ia ibarat langit dan bumi. Maka tidak hairanlah jika model-model Toyota moden menjadi bahan jenaka mereka. Tetapi apa boleh buat, begitulah dunia bisnes automotif.

Anda boleh keluarkan model niche dengan kos jutaan ringgit, tetapi sanggupkah syarikat anda lingkup semata-mata hendak mengeluarkan model menarik, tetapi hanya dua tiga kerat yang memilikinya.

Jika model bisnes sebegitu betul, tidaklah Lotus kini dimiliki Proton, Lamborghini ditadbir Volkswagen dan Jaguar dibeli Tata.

Walaupun Toyota dengan kereta berprestasi boleh diibaratkan sebagai memori silam yang tidak harus dikenang lagi, namun mereka menghantar mesej yang jelas melalui anak syarikat mereka iaitu Lexus. Subsidiari yang menghasilkan kenderaan mewah bagi menyaingi kereta premium barat.

Lexus menghadiahkan model berprestasi LFA, kereta dengan kejuruteraan agung daripada pakar-pakar Toyota dan Lexus yang mengambil masa 10 tahun untuk disiapkan.

Momen penting Lexus

LFA merupakan satu pencapaian dan momen yang penting untuk Lexus dari segi sejarah dan pembangunan model itu. Dakwa Lexus, ia direka atas kertas kosong walaupun ada yang mengatakan LFA adalah jelmaan Supra kerana beberapa persamaan rekabentuknya.

LFA dicipta oleh pasukan jurutera berkuantiti kecil dengan nyalarasa serta dedikasi tinggi dengan menolak luas sempadan kejuruteraan pada setiap peringkat penghasilannya. Senang kata, projek LFA benar-benar menguji pengetahuan dan pengalaman kejuruteraan mereka.

Asyik hasilkan kereta biasa-biasa sahaja untuk pasaran massa, sekali-sekala hasilkan kereta yang mencabar minda sebegini memang menyeronokkan.

Dengan matlamat mempunyai berat seminimum mungkin, LFA dibina menggunakan teknologi gentian kaca termaju. LFA pada asalnya dirancang untuk dibina menggunakan aluminium pada bahagian casis dan badan kereta. Ia sebaliknya digantikan dengan material Carbon Fibre Reinforced Plastic [CFRP].

Kereta berpacuan roda belakang itu dikuasakan oleh enjin 4.8 liter V10 aspirasi normal berkuasa 552bhp yang dipadankan dengan transmisi enam kelajuan sequential automatic. Kelajuan total LFA, 320 kilometer sejam (km/j).

Lebih menarik, Lexus membuat keputusan bahawa struktur CFRP harus dibina sendiri dan bukannya oleh vendor luar. Bagi mencapai matlamat itu, Lexus menggunakan teknologi warisan Toyota iaitu teknologi tenunan bagi menghasilkan gumpalan gentian kaca untuk membina LFA.

Perlu tahu, Toyota sebenarnya bermula sebagai syarikat yang menghasilkan mesin tenunan sebelum membuat kereta.

LFA pertama kali dilancarkan pada tahun 2000 sebagai projek yang jelas serta mudah dari aspek penyelidikan dan pembangunannya. Walau bagaimanapun, projek itu kemudian menjadi lebih besar apabila Haruhiko Tanahashi dilantik untuk mengetuai sekumpulan jurutera dalam membangunkan projek tersebut.

Prototaip LFA pertama siap dibina pada tahun 2003. Kajian rekabentuknya pula dibuat dengan dipertontonkan pada umum pada pada Pameran Kereta Detroit 2005.

Kemudian, LFA dihantar untuk berlumba dalam perlumbaan Nurburgring 24 jam pada tahun 2008 dan 2009 bagi menguji ketahanannya. Sejarah tercipta apabila LFA dilancarkan secara rasmi pada Pameran Kereta Tokyo pada tahun 2009.

LFA benar-benar ‘rare’ apabila hanya 500 unit sahaja akan dikeluarkan untuk pasaran seluruh dunia. Kereta itu akan dihasilkan dengan tangan di kilang Motomachi di Toyota City. Setiap unit enjin V10 LFA akan dibina oleh seorang jurutera dan kemudiannya ditandatangani olehnya sebagai tanda perhatian penuh yang diberi dalam menghasilkan kereta itu.

Bak kata Haruhiko: “LFA ialah kereta berprestasi dengan ‘baka’ baik. Sebuah mesin yang dijuruterakan bagi mencapai satu matlamat iaitu memberi pengalaman pemanduan yang agung.

“Dalam sedekad yang lalu, kami telah menjarakkan setiap sempadan dalam mencapai matlamat ini. Saya percaya kami telah menghasilkan kereta yang berorientasikan pemandu dengan sedaya upaya kami.”

sumber: KOSMO Online

No comments: