Thursday, July 28, 2011

Suntikan semangat Harimau Malaya

PUTRAJAYA 27 Julai - Datuk Seri Najib Tun Razak mengingatkan pemain Harimau Malaya agar percaya kepada diri sendiri dan mempraktikkan taktik yang ditentukan jurulatih, Datuk K. Rajagobal dalam berhadapan Singapura pada pusingan kedua kelayakan Piala Dunia di Stadium Nasional Bukit Jalil malam esok.

Perdana Menteri berkata, kalau mereka bermain dengan penuh disiplin, bersemangat dan keyakinan diri, beliau percaya mereka boleh mengatasi Singapura kerana mereka ada kebolehan dan bakat untuk berjaya.

''Meskipun terpaksa mengatasi defisit dua gol tetapi kita yakin mereka mampu membuat kenaikan mata dengan syarat bermain sebagai satu pasukan dan tidak ada kelemahan di mana-mana posisi pun," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurutnya, beliau akan menyaksikan perlawanan tersebut menerusi skrin gergasi bersama kira-kira 10,000 peminat bola sepak tanah air khususnya rakyat negeri Kedah sebagai tanda sokongan kepada pasukan Harimau Malaya.

Menerusi perbualan telefonnya bersama Rajagobal, Najib memberitahu, beliau sudah mengubah format jamuan makan malam bersama rakyat di Dewan Wawasan Kubang Pasu apabila meminta penganjur memasang skrin gergasi untuk menyaksikan perlawanan bola sepak.

"Saya tidak akan berada di Stadium Nasional Bukit Jalil malam esok tetapi saya akan menyaksikan perlawanan itu, semangat saya ada di sana, semoga berjaya," katanya.

Menurut Perdana Menteri, beraksi di tempat sendiri di hadapan ribuan penyokong memberi kelebihan kepada pasukan negara untuk memenangi perlawanan tersebut.

Sementara itu, Najib berkata, kerajaan akan meneliti dan mempertimbangkan pelbagai cadangan yang dibangkitkan oleh pakar-pakar bidang yang terlibat perbincangan dalam talian meja bulat 1Malaysia.

''Ada yang memberi kertas cadangan mengenai bagaimana mewujudkan cara hidup sihat di peringkat sekolah, terdapat juga wakil daripada industri muzik membangkitkan bahawa artis tidak menerima ganjaran yang sewajarnya," katanya.

sumber: Utusan Malaysia Online

No comments:

Sila klik