Sila klik

Saturday, July 30, 2011

Nissan GT-R pencabar kereta berprestasi Barat

Oleh MUHAMMAD MD TAJUDIN



KEUPAYAAN GT-R menggugat ego pengeluar jentera dari Barat.


SELEPAS lebih dua bulan, pelbagai jenis kereta sudah dipaparkan dalam kolum ini. Walau bagaimanapun, kereta berprestasi tinggi masih belum saya tulis. Bukan apa, kereta sebegini hanya segelintir sahaja yang mampu memilikinya. Era kereta berprestasi massa seperti Toyota Corolla AE86, Nissan March Superturbo dan Ford TX3 nampaknya sudah luput ditelan sejarah. Kini, jentera sebegitu majoritinya sudah memasuki pasaran premium hingga orang kebanyakan hanya mampu melihat dan mengidamkannya. Masakan tidak, harga sebuah kereta berprestasi tinggi sudah menyamai atau melebihi nilai sebuah rumah teres atau banglo di kampung.

Mencabar ego

UNIT enjin yang mampu menghasilkan kuasa sehingga 530PS!

Saya tidak pasti apakah memori umum rakyat Malaysia terhadap Nissan. Orang lama mungkin mengaitkannya dengan model Sunny atau Sentra teksi Genting. Orang muda pula pasti teringatkan kehebatan model Cefiro dalam sukan drift. Bagi orang yang sudah berkeluarga, mereka pasti terfikirkan model Grand Livina. Biar apa pun, Nissan menghantar mesej yang jelas dengan kehadiran sebuah model ini, Nissan GT-R. Kereta agung daripada pengeluar kereta Jepun yang mencabar ego pengeluar kereta berprestasi Barat seperti Porsche, Ferrari dan Aston Martin yang masing-masing mewakili Jerman, Itali dan Britain. Jepun mampu menawarkan kereta yang hebat hanya pada setengah harga atau kurang daripada pengeluar kereta barat. Itu adalah taktik lama yang kini ditiru oleh pengeluar kereta Korea. 2GT-R atau nama asalnya Skyline bukan lahir dalam tempoh dua atau tiga tahun. Warisannya bermula berpuluh-puluh tahun selepas model pertama dikeluarkan oleh Prince Motor Company pada tahun 1957, sebelum mereka bergabung dengan Nissan pada tahun 1966.

Dipantaskan terus ke tahun 2007, Nissan memperkenalkan GT-R dengan menggugurkan nama Skyline. Model terbaharu itu nyata menaikkan nama Nissan. Masuk tahun 2011, model wajah baru (facelift) dibangunkan berdasarkan tema World's best multi-performance and pleasure of responsive driving. Ciri luarannya lebih kuat dan stabil. Di samping gabungan kemaskini lain bagi menyumbang aerodinamik yang lebih baik.

Kuasa enjin dipertingkat Downforce GT-R berjaya dikurangkan. Sementara pekali seret pula turun daripada 0.27 kepada 0.26. Kestabilan kereta diperbaiki menerusi bampar dan bukaan gril yang lebih besar dengan efek tiga dimensi yang dipertingkatkan.


RUANG kokpit yang mengetengahkan ciri sebuah jentera berprestasi tinggi.

Bampar depan telah direka semula dengan tambahan sirip berkembar yang menyumbang kepada downforce sepuluh peratus lebih baik. Selain mengurangkan rintangan angin di dalam ruang enjin, serta meningkatkan aliran udara melalui radiator untuk menyejukkan brek hadapan. Kedua-dua sisi bampar pula dipasang lampu LED siang hari yang kini merupakan aksesori wajib kereta pasaran Eropah. Bampar belakang tidak terkecuali menerima pembedahan kosmetik dengan titik tengah graviti yang rendah serta hujungnya dipanjangkan. Dengan pemanjangan peresap belakang (diffuser), penyejukan bahagian bawah lantai menjadi lebih baik dan rintangan angin berjaya dikurangkan. Penyejukan penyenyap ekzos turut diperbaiki. Downforce belakang berjaya ditingkatkan sebanyak sepuluh peratus melalui penggunaan outlet bampar belakang yang menyingkirkan udara pada ruang tayar belakang. Lampu kabus LED berpadatan tinggi dipasang sekali dengan peresap belakang.

Dari segi mekanikal, output enjin GT-R dipertingkatkan kepada 530PS @ 6,400rpm dan tork maksimum 612Nm dari 3,200 hingga 6,000rpm. Penutup enjin diwarnakan merah untuk mengilustrasikan penambahan prestasi.

Paling menarik, enjin ini lebih jimat minyak. Ia dicapai melalui modifikasi pada tekanan boost pengecas turbo, pemasaan injap, nisbah campuran udara dengan diameter paip inlet lebih besar dan sistem ekzos.

Nissan turut menyemak semula seleksi pemanduan dengan menggantikan Snow Mode dengan Save Mode yang mengoptimumkan tork pemanduan. Ia juga mengubah jadual penukaran gear untuk penggunaan minyak lebih ekonomikal apabila memandu di jalan lurus dan terbuka. Walaupun Snow Mode telah diganti, ciri-ciri asalnya masih dikekalkan.
LAMPU LED siang hari yang menjadi aksesori wajib kenderaan di Eropah turut dipasang pada Nissan GT-R.


R Mode pula digunakan untuk memecut kereta dari titik pegun dan akan berfungsi apabila brek ditekan dengan gear dianjakkan, pedal minyak ditekan sepenuhnya dan brek dilepas dengan cepat. Dalam keadaan itu, suhu minyak akan diawasi secara automatik bagi memastikan ketahanan dan mengelakkan peningkatan suhu melebihi paras ditetapkan. Perubahan lain yang dibuat ialah menambah topang sokongan untuk menguatkan lagi kerangka, brek dan suspensi yang telah dirombak semula. Gabungan tayar dan roda turut ditukar. Tayar barunya ialah Dunlop SP Sport Maxx GT 600 DSST CTT dan roda aluminium tempa jenama Rays. GT-R tidaklah semahal mana. Di United Kingdom, harganya ialah £69,950 (RM340,220). Tidak mahal jika dibandingkan dengan kereta berprestasi tinggi lain yang mencecah jutaan ringgit. Di sana, sebuah Ferrari mungkin bersamaan dengan dua buah GT-R!

sumber: KOSMO Online

No comments: