Sila klik

Tuesday, April 1, 2014

Masjid Al-Ridhwan, Parit Buntar digunakan secara rasmi pada 28 Mac lalu

Impian akhirnya termakbul
KHAIRIL ANWAR MOHD AMIN
31 Mac 2014

Masjid Al-Ridhwan yang tersergam indah bakal menjadi mercu tanda baharu Parit Buntar.


PARIT BUNTAR - Penantian dan doa penduduk Pekan Baru Parit Buntar selama sembilan tahun untuk mendapatkan sebuah masjid baharu sebagai alternatif kepada Masjid Jamek Parit Buntar akhirnya termakbul.

Selepas pelbagai kontroversi tercetus sewaktu usaha pembinaan Masjid Al-Ridhwan dilaksanakan, akhirnya masjid satu setengah tingkat yang dibina di atas tanah seluas 0.4 hektar itu siap sepenuhnya pada Oktober 2013 dan digunakan secara rasmi pada 28 Mac lalu.

Masjid melibatkan kos pembinaan keseluruhan menjangkau RM4.07 juta itu menerima sebahagian besar dana daripada sumbangan wakaf orang awam hampir RM3 juta, manakala Kerajaan Negeri Perak dan Majlis Agama Islam Perak turut menyumbang RM1 juta dan RM250,000.

Pengerusi II Jawatankuasa masjid, Ahmad Ismail berkata, pihaknya bersyukur kerana penantian lebih 1,000 penduduk beragama Islam dari enam taman perumahan di kawasan Pusat Bandar Parit Buntar untuk mendapatkan masjid baharu di kawasan mereka akhirnya tercapai.

Menurutnya, usaha penduduk termasuk Jawatankuasa Pembinaan dan Jawatankuasa Penyelaras Masjid Al-Ridhwan mendapatkan kelulusan, dana dan sokongan orang awam dalam membina masjid itu sememangnya amat gigih dan tidak dapat digambarkan dengan kata-kata.

“Kewujudan masjid ini amat penting terutama kepada penduduk Taman Kerian sehingga Taman Kerian Tambahan 6 berikutan sebelum ini mereka terpaksa pergi ke masjid lebih jauh seperti Masjid Jamek Parit Buntar dan Masjid Al-Ubudiah untuk menunaikan solat Jumaat.

“Kini, dengan adanya Masjid Al-Ridhwan, bukan sahaja penduduk taman berdekatan, malah golongan peniaga dan pengunjung Pusat Bandar Parit Buntar dapat memanfaatkan masjid itu untuk kemudahan solat Jumaat dan ibadah lain,” katanya sewaktu ditemui pada Majlis Pengisytiharan dan Solat Jumaat Masjid Al-Ridhwan, Jumaat lalu.

Perasmian pengisytiharan masjid yang disempurnakan oleh Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Perak, Datuk Yusop Husin itu turut dihadiri Orang Besar Jajahan Kerian, Datuk Meor Ridwan Mahayuddin; Pegawai Daerah Kerian, Shahril Ismail dan Yang Dipertua (YDP) Majlis Daerah Kerian (MDK), Abdul Khair Ahamad.

Mesra muslimat, OKU

Ahmad berkata, usaha kutipan wakaf orang awam mula dibuat pada bulan Mei 2004 dan diteruskan sehingga bulan Oktober 2013.

Katanya, kutipan wakaf diterima bukan sahaja dari kalangan penduduk Parit Buntar, malah turut disertai pewakaf dari daerah berdekatan, Pulau Pinang dan Kedah.

“Kutipan wakaf dimulakan dengan permohonan sumbangan RM100 dari setiap ahli kariah masjid di sekitar Taman Kerian dan Taman Kerian Tambahan.

“Kami amat berbangga kerana usaha pembinaan masjid di Pusat Bandar di sini bukan sahaja menerima sambutan menggalakkan orang ramai, malah terdapat sebahagian pewakaf yang menderma wang tunai menjangkau RM60,000 bagi setiap individu,” katanya.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa masjid, Abu Bakar Hussin berkata, masjid baharu itu mampu menampung kapasiti 2,000 jemaah, selain mesra muslimat dan Orang Kurang Upaya (OKU).

Menurutnya, jemaah muslimat yang berkunjung hadir ke Masjid Al-Ridhwan diberi ruangan khas solat iaitu di bahagian tingkat atas selain mempunyai aksesibiliti khas tanpa perlu melalui bahagian solat kaum Muslimin.

“Kami turut mengetengahkan konsep mesra OKU di mana laluan dan kemudahan khas seperti kerusi roda dan tempat wuduk khas disediakan kepada mereka," katanya.

Abu Bakar berkata, di sebalik pembinaan masjid itu sudah disiapkan, jawatankuasa masjid masih memerlukan sumbangan dana tambahan mencecah RM100,000 bagi tujuan dekorasi dalaman dan hiasan masjid.

Menurutnya, pihaknya amat menghargai sumbangan semua pewakaf terlibat sebelum ini dan mengalu-alukan sumbangan tambahan.

“Selain itu, kami turut berterima kasih kepada kesemua syarikat korporat yang turut menyumbang dana kepada pembinaan masjid ini.

“Penduduk bergotong-royong membersihkan kawasan masjid minggu lalu dan mereka teruja untuk menjalankan pelbagai aktiviti keagamaan setiap minggu di situ.

“Kami penduduk amat gembira menerima masjid baru yang sudah lama kami nantikan bagi keselesaan melakukan ibadah dan menganjurkan aktiviti komuniti setempat,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Parit Buntar, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa berbangga usaha pembinaan masjid di Pusat Bandar di sini berjaya direalisasikan.

Manfaat dengan baik

Dalam pada itu, Yusop ketika ditemui mahu masjid baharu itu dimanfaatkan penduduk sebagaimana Masjid Al-Azhar, Mesir yang dimanfaatkan rakyat negara itu untuk dijadikan tempat beribadah, tempat menimba ilmu dan pusat penyatuan ummah.

Menurutnya, kesemua ahli kariah turut diminta bersatu padu dan menerima pelantikan jawatankuasa kariah masjid yang dibuat tanpa mengambil kira fahaman politik dan perbezaan pendapat.

“Pihak Jaipk mengakui kelewatan kebenaran penggunaan masjid dikeluarkan walaupun sudah disiapkan hampir enam bulan lalu.

“Kelewatan berlaku berikutan masalah pelantikan jawatankuasa masjid dan status boleh guna (CCC) bangunan belum dikeluarkan Jabatan Kerja Raya (JKR).

“Kini, kedua-dua isu utama itu sudah selesai dan saya percaya penantian penduduk Parit Buntar untuk menggunakan masjid baharu amat berbaloi,” katanya.

sumber : http://www.sinarharian.com.my/edisi/perak/impian-akhirnya-termakbul-1.265586

No comments: