Wednesday, April 2, 2014

Desakan agar kerajaan ambil alih lebuh raya

Kerajaan patut ambil alih tol, syarikat terus untung
APR 02, 2014 SALMIYAH HARUN


KUALA LUMPUR: PAS mempersoalkan kerajaan yang mempunyai pegangan terbesar di dalam PLUS tetapi tidak mengambil alih saham minoriti sebanyak 24 peratus bagi mengurangkan kos mengambil alih konsesi tol.

Ahli Parlimen Sepang, Mohamed Hanipa Maidin berkata, kerajaan semestinya mempunyai mekanisme yang boleh difikirkan untuk melindungi kepentingan rakyat bukannya dengan terus memberi pampasan kepada syarikat konsesi.

"Kenapa kerajaan mempunyai share terbesar melalui Khazanah sebanyak 76 peratus dan kalau dia bayar balik saham minoriti yang lebih kurang 24 peratus sudah tentu kerajaan boleh mengurangkan kos ambil alih konsesi tol itu," katanya dalam sidang media di lobi parlimen.

Tegas Hanipa, kini kerajaan tetap membayar kepada syarikat konsesi tol walaupun harga tol tidak dinaikkan.

Sebagai contoh katanya, syarikat konsesi untuk lebuh raya LDP dan Litrak mengaut keuntungan besar dengan mendapat pampasan RM89 juta kerana tidak ada kenaikan harga tol.

"Tidak naikkan harga tol pun syarikat konsesi tetap akan untung bermakna mereka dalam keadaan sentiasa untung," tegasnya turut diakui Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad.

Dalam hal ini jelas Hanipa, sepatutnya kerajaan boleh mengguna kuasa untuk mengambil semula tol kerana ia tidak praktikal dan tidak menguntungkan apabila kerajaan menangguhkan kenaikan tol tetapi dalam keadaan sentiasa rugi.

Hanipa turut difahamkan sebuah syarikat Idaman Saga Berhad telah membuat proposal untuk mengambil alih PLUS dengan memberi cadangan tanpa diberi pampasan walaupun tidak berlaku kenaikan tol.

"Kerajaan kena fikir! Kita kesal dengan cara kerajaan yang menangguhkan tol dengan perjanjian tambahan dan naikkan masa perjanjian yang dilihat tidak menyelesaikan masalah sebab wang rakyat masih digunakan," tambahnya.

Terdahulu Hanipa dalam pertanyaan lisan semalam mempersoalkan kerajaan yang tidak mahu mengambil alih pentadbiran lebuh raya bagi mengelakkan kerajaan terus membayar pampasan kepada syarikat konsesi akibat tidak menaikkan kadar tol seperti terma perjanjian.

Namun, Menteri Kerjaraya dalam jawapan bertulisnya mengatakan cadangan Hanipa itu akan memberi implikasi kewangan yang tinggi kepada kerajaan iaitu melebihi RM400 bilion.

Bahkan pengambilalihan itu akan dianggap sebagai nasionalisasi yang memberi kesan negatif kepada pasaran modal dan imej kerajaan di kalangan pelabur asing.

Jumlah pampasan tol yang telah dibayar oleh kerajaan kepada syarikat konsesi sehingga tahun berakhir 2012 sbanyak RM2.8 bilion.

sumber : http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/26847-kerajaan-patut-ambil-alih-tol-syarikat-terus-untung

No comments:

Sila klik