Sila klik

Friday, April 4, 2014

Anak kita makin kurang ajar - ABDUL JALIL ALI

Sekadar gambar hiasan dari Google


3 April 2014

WALAUPUN marah dan kecewa, tidaklah boleh saya menyalahkan peraturan dan undang-undang Sweden. Kita kena menghormati dan mematuhi undang-undang orang lain, sama seperti kita mahu orang lain menghormati dan tidak mencampuri urusan undang-undang kita.

Sebagai rakan senegara simpati amat saya kepada Azizul Raheem Awalludin, dan isterinya Shalwati Nor Shal, yang masing-masing dihukum penjara 10 bulan dan 14 bulan, oleh Mahkamah Daerah Solna negara itu, 28 Mac lalu.

Tidak sahaja hukuman penjara, si suami juga diperintahkan membayar ganti rugi 67,200 SEK (mata wang Sweden) @ RM33,900, sementara si isteri kena 36,400 SEK @ RM18,362.

Mereka didakwa atas kesalahan mencabul integriti dan mendera anak-anak mereka –Aishah, 15, Ammar, 13, Adam, 12, dan Arif, 8. Seperti yang dijelaskan pasangan tersebut memukul anak-anak kerana mereka enggan solat.

Dalam Islam – juga dalam budaya Melayu di negara kita – merotan anak untuk mengajar adalah dibenarkan. Islam telah menetapkan kaedah merotan untuk peringkat-peringkat usia kanak-kanak.

Tentu sekali merotan untuk mengajar anak, bukan satu penderaan. Pukulan suami-isteri tersebut ke atas anak-anak tentu tidak mencederakan. Malah Hakim Mattias Moller dalam perbicaraan tersebut sendiri mengakui bahawa kekasaran yang dilakukan terhadap kanak-kanak itu bersifat kecil.

Namun beliau menegaskan, walaupun kecil kesalahan tersebut diputuskan mahkamah sebagai satu pencabulan serius terhadap integriti mereka yang melibatkan keganasan berulang dan sistematik.

Demikianlah, lain padang lain belalang. Lain negara lain pula undang-undangnya. Maka mengembeklah kita jika berada di kandang kambing, dan menguaklah jika masuk ke kandang kerbau. Adat dan peribahasa telah menetapkan begitu.

Saya teringat zaman persekolahan awal saya dulu-dulu, adalah perkara biasa murid dirotan pada tapak tangan, betis atau punggung, sekiranya tidak membuat kerja sekolah atau melawan guru. Saya sendiri pernah beberapa kali dirotan kerana ponteng sekolah.

Walaupun perit dan berbekas merah di tapak tangan, tidak berani saya mengadu pada abah. Saya tahu abah tidak akan bersimpati sebaliknya sentiasa menyebelahi guru. Katanya: “Engkau nakal, memang patut kena rotan!”
Kalau nasib tidak baik dia akan menambah satu lagi rotan di punggung saya.

Kalaulah undang-undang Sweden itu dilaksanakan di negara kita zaman saya sekolah dulu, pasti abah akan dihukum penjara, mungkin seumur hidup. Memang, dulu-dulu saya marah abah, tetapi sekarang baharu saya tahu rotannya yang hinggap di punggung saya adalah simbol kasih saya dan keprihatinannya untuk menjadikan saya manusia.

Bagi saya Azizul dan Shalwati ada hak untuk mengajar dan mendisiplinkan anak menggunakan rotan. Selagi tidak mencederakan hingga lebam-lebam dan patah riuk, merotan atau memukul anak-anak seperti yang ditetapkan syarak, sepatutnya tidak perlu dijadikan isu.

Sebaliknya apa yang patut dijadikan isu dan diberi perhatian serius sekarang ialah sikap sesetengah ibu bapa yang langsung tidak mengajar, tidak cakna, malah membiarkan apa sahaja yang dilakukan oleh anak-anak walaupun terang-terang melanggar undang-undang.

Kanak-kanak di bawah umur dibiarkan membawa kenderaan, sedangkan semua tahu itu membahayakan. Bagaimana seorang ibu boleh membenarkan anak-anak tanpa lesen sah, memandu kereta? Di mana keprihatinan – dan akal! – seorang ibu membenarkan anaknya yang baharu 10 tahun menunggang motosikal? Bukan sahaja tanpa lesen, tetapi juga tanpa topi keledar, tanpa kasut, tanpa baju. Dan tanpa malu!

Ibu bapa sekarang memanjakan anak, sehingga guru langsung tidak berani menghukum murid. Jentik sedikit sahaja di telinga murid, ibu bapa akan datang sekolah, masuk ke bilik pengetua dan mengamuk. Sekiranya murid kena rotan, ibu bapa akan menulis surat kepada Perdana Menteri. Sebab itu murid-murid kita tiada disiplin, malah jadi samseng sekolah.

Selalu saya lihat ibu bapa membiarkan anak menyepak bola ketika mengikut mereka ke pasar raya. Anak-anak juga tidak ditegur bersenggayut pada eskalator, atau memanjat tempat letak barang di pusat beli-belah.

Malah, ada ibu bapa yang membiarkan – mungkin bangga! – apabila anak mereka memanjat dan berdiri di kaunter pembayaran sambil menjerit. Mereka kata, biarkan kanak-kanak berkreatif. Itu bukan kreatif. Itu kurang ajar!

sumber : http://www.sinarharian.com.my/kolumnis/abdul-jalil-ali/anak-kita-makin-kurang-ajar-1.266595

No comments: