Sunday, June 19, 2011

Zami Ismail Meninggal Dunia Akibat Masalah Jantung


Zami Ismail (tengah) bersama dua lagi pelakon sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu, Imuda (kiri) dan Khatijah Tan.
KUALA LUMPUR: Pelawak veteran, Zami Ismail, 67, meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) dekat sini, kira-kira pukul 10.30 pagi Ahad akibat kegagalan jantung.
Anak ketiga Allahyraham yang juga pelakon dan pengarah Mohd Soupi Zami (Opie Zami), 37, berkata, ayahnya sempat berpesan kepada semua anaknya agar berbuat baik sesama manusia.
"Keadaan dia (Allahyarham) berada dalam keadaan biasa saja dan pergi dengan tenang. Dia sempat berpesan kepada kami semua agar berbuat baik sesama manusia," katanya yang ditemui di perkarangan rumah mayat IJN, di sini, Ahad.
Menantu sulung Allahyarham, Azizah Amdih, 35, berkata, Allahyarham yang dimasukkan ke IJN sejak dua minggu lalu dilaporkan tenat pada malam Sabtu dan terpaksa bergantung hidup dengan bantuan mesin perubatan.
"Doktor memberitahu jantungnya sangat lemah dan terpaksa dirawat di Unit Rawatan Kritikal (CCU) sehinggalah pada malam tadi (Sabtu) keadaanya menjadi semakin tenat. Bagaimanapun Allah lebih sayangkan dia," katanya kepda mStar Online ketika dihubungi di sini, Ahad.
Jenazah Allahyarham dibawa keluar dari rumah mayat Institut Jantung Negara, Kuala Lumpur untuk disemadikan di kampung halamannya di Tapah, Perak, petang Ahad. - Foto BERNAMA
Azizah berkata, pihaknya reda dengan pemergian Allahyarham dan berharap semua peminat dapat mendoakan kesejahteraannya.
Allahyarham yang popular dengan sitkom Pi Mai Pi Pai Tang Tu pada tahun 1980-an hingga 1990-an turut berlakon hampir 20 buah filem termasuklah dua filem yang belum ditayangkan lagi iaitu Husin Mon Dan Jin Pakai Toncit (arahan Mamat Khalid) dan Shh...Dia Datang (Saiful Apek).
Allahyarham juga pernah memenangi anugerah Pelakon Komedi Terbaik, Festival Filem Malaysia ke-9 (FFM9) pada tahun 1991 menerusi filem Mak Som.
Jenazah Allahyarham dibawa pulang dan dikebumikan di kampung halamannya di Tapah, Perak dan dikebumikan selepas solat Asar.
Allahyarham meninggalkan seorang balu, Hanizan Ibrahim, 58, dan sembilan orang anak iaitu Mohd Hitler, 39, Ahmad Yamashita, 38, Mohd Soupi Zami, 37, Ismail Fahmi, 36, Khairul Affendi, 30, Aida Nurul Asyikin, 29, Aida Nurul Wahyu, 27, Mohd Firdaus, 24 dan Zahid Albukhman, 21.
sumber: mStar

No comments:

Sila klik