Sila klik

Wednesday, November 23, 2011

Syamsul Yusof, Siti Shahrizah Saifuddin atau Eja dan juga Shaheizy Sam turut gemilang apabila meraih ‘kemenangan berganda’

Kejayaan berganda





KEMENANGAN yang tidak perlu dipertikaikan lagi! Jenaka yang dilontarkan Fauziah Datuk Ahmad Daud dan Johan Raja Lawak, hos Festival Filem Malaysia ke-24 (FFM 24) yang berlangsung malam kelmarin itu seolah-olah suatu pernyataan tegas bahawa FFM kali ini tidak mahu terpalit dengan kontroversi berkait dengan senarai kemenangan, biarpun sudah pasti ada yang pihak yang tidak berpuas hati.
Apa yang jelas, keputusan untuk semua kategori yang dipertandingkan FFM 24 sudah diumumkan!

Festival Filem Malaysia kali ini juga telah mencipta sejarah apabila mempertaruhkan pertembungan 41 filem cereka, 30 filem pendek, 9 filem animasi dan 6 filem bukan bahasa Melayu bagi merebut sebanyak 23 kategori yang dipertandingkan.

Namun, FFM 24 nyata dikuasai KRU Studios menerusi kejayaan filem Hikayat Merong Mahawangsa meraih lapan anugerah termasuk kategori tertinggi Filem Terbaik yang menawarkan hadiah wang tunai RM25,000 selain trofi dan sijil.

Filem Skop Productions, KL Gangster turut mencapai kejayaan cemerlang dengan menguasai enam anugerah termasuk kategori Pengarah Terbaik.

Syamsul Yusof, Siti Shahrizah Saifuddin atau Eja dan juga Shaheizy Sam turut gemilang apabila meraih ‘kemenangan berganda’. Jika tahun lepas pada FFM 23, dia dinobatkan sebagai Pengarah Terbaik, nampaknya kategori tersebut masih dikuasai anak bujang Datuk Yusof Haslam itu pada tahun ini.

Eja juga boleh dikatakan menang berganda apabila sekali lagi terpilih sebagai Pelakon Wanita Terbaik menerusi filem Janin untuk Festival Filem Malaysia (FFM 24) selepas sebelum ini diumumkan sebagai Pelakon Wanita Terbaik menerusi Anugerah Skrin 2011, juga hasil lakonannya menerusi Janin.

Bagi Shaheizy Sam pula, ia nyata kemenangan berganda kerana jika pada FFM 23 dulu dia diumumkan sebagai Pelakon Lelaki Terbaik menerusi filem Kongsi.

Ditemui usai majlis yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) itu, ketiga-tiga Syamsul, Eja dan Sam meluahkan rasa kemenangan yang dikecapi mereka itu kepada Kosmo!.


Tiada lagi air mata Syamsul



KEMENANGAN Syamsul kali ini tidak menimbulkan sebarang pertikaian.


Tiada lagi adegan air mata daripada anak bujang penerbit dan pengarah terkenal Datuk Yusof Haslam iaitu Syamsul Yusof, 28, apabila sekali lagi dinobatkan sebagai Pengarah Terbaik kali ini menerusi filem KL Gangster. Ironinya, pengarah muda itu tampil yakin menggondol trofi kemenangannya dua kali berturut-turut menerusi FFM.

Biarpun berusia muda, Syamsul sekali lagi membuktikan kehebatannya dalam mengarah apabila berjaya menewaskan empat calon lain yang bukan calang-calang seperti Yusry Abdul Halim (Hikayat Merong Mahawangsa), Mamat Khalid (Hantu Kak Limah Balik Rumah), Ahmad Idham (Senjakala) dan Osman Ali (Cun).

Meluahkan rasa syukur dengan rahmat Allah, Syamsul tidak menjangkakan kemenangannya pada malam itu apabila dia merasakan Yusry yang akan menang.

“Bukan mudah nak menang pengarah terbaik dua kali berturut-turut. Seperti FFM 23 saya tidak meletakkan harapan yang tinggi. Saya memang tak jangka apa-apa.

“Saya rasa diri sangat kecil tercalon bersama dengan pengarah yang hebat-hebat. Memang pada mulanya saya jangka Yusry yang akan menang. Tetapi syukur saya dipilih juri untuk meraih kemenangan ini,” luahnya.

Kemenangannya itu juga kata Syamsul, ditujukan buat kedua ibu bapanya.

“Anugerah ini adalah untuk ayah. Daripada kecil mengikut ayah ke set penggambaran dan belajar selok-belok dunia pengarahan minat saya mula timbul. Memang pada awalnya saya ayah selalu kritik hasil kerja saya dan tidak merasakan saya layak lagi mengarah namun sekarang saya sedar kritikan dan marahnya bersebab. Dia mahu saya jadi pengarah terbaik,” ucapnya.

Syamsul yang bakal memulakan penggambaran filem KL Gangster 2 pada bulan Disember ini memberitahu, dia bukan menghasilkan filem tentang gengster semata-mata tetapi dengan matlamat untuk membuka minda dan hati orang muda .



SHAHEIZY SAM semakin bersemangat meneruskan karier lakonan impak kejayaannya.

Ditanya adakah dia teringin menghasilkan filem antarabangsa, kata Syamsul, buat masa sekarang dia ingin menumpukan untuk menghasilkan filem bagi pasaran tempatan.

“Memang menjadi idaman setiap pengarah untuk berkarya sehingga ke luar negara. Ia untuk membuktikan yang kita sudah mampu. Bukan bergantung semata-mata kepada kreativiti tetapi perancangan perniagaan juga,” katanya lagi.

Eja terkilan

Jika dulu Eja, 39, pernah dikritik hebat disebabkan melakonkan watak Qaseh yang sedang menanti ajal dengan memakai bulu mata palsu dalam drama Seputih Qaseh Ramadan, kini dia membuktikan kehebatan lakonannya telah disahkan dengan kemenangannya di FFM 24.

Watak Sutera dalam filem Janin berjaya mengangkat nama Eja sebagai Pelakon Terbaik sekaligus melayakkan Eja membawa pulang wang tunai RM15,000, trofi, sijil dan barangan kemas bernilai RM40,000 sumbangan Amee Philips.

“Ini kemenangan berganda dan tahun yang sangat bertuah buat diri saya apabila dinobatkan sebagai Pelakon Wanita Terbaik untuk filem Janin dua kali berturut-turut.

“Ia juga merupakan naskhah terbaik daripada saya untuk penutup tahun 2011. Sebaliknya, ia juga merupakan pencetus semangat buat saya untuk melakukan yang terbaik di masa-masa akan datang,” ujarnya.

Tambahnya: “Watak Sutera yang dilakon saya dalam filem Janin sangat kuat. Sutera merupakan isteri dan ibu. Watak ini banyak bermain dengan emosi dan spiritual yang mana anaknya yang mati hadir kembali dalam hidup dia.



KARAKTER Eja dalam filem Janin membawa tuah buat dirinya tahun ini.


“Istimewanya skrip Wan Hasliza ini adalah kerana dia memang buat skrip ini khas untuk saya. Dia memandang saya terus ke dalam dan kalau bukan kerana dia, saya tak akan menang pada malam ini. Tidak seperti penerbit dan penulis lirik lain.”

Eja yang mengakui cerewet dalam pemilihan skrip dan jalan cerita juga memberitahu, filem itu merupakan filem ke-8 sepanjang 15 tahun dia berada dalam industri seni.

“Jika buat watak pembantu sekalipun, Eja akan pastikan ia bagi pengajaran serta meninggalkan kesan kepada penonton, dan bukan semata-mata hiburan saja. Bagi Eja, hasil kerja Eja harus dikenang dan diingati sampai bila-bila walaupun ketika Eja sudah tak ada lagi.

Permulaan buat Sam

Shaheizy Sam pula mengucapkan syukur dengan kemenangannya pada FFM 24 kali ini. Namun, anak muda ini nyata tidak mahu larut dengan kemenangannya itu, malah menganggap ini sebagai suatu peniup semangat dan permulaan buat dirinya untuk terus berusaha gigih dalam dunia lakonan.

“Alhamdulillah Sam tidak percaya dan masih tidak rasa diri ini berjaya dinobatkan sebagai pelakon lelaki terbaik.

“Tetapi juri lebih mahir membuat keputusan memilih calonnya dan saya gembira kerana terpilih daripada calon-calon lain yang juga hebat,” katanya yang berpenampilan seperti seorang ahli magis pada malam anugerah itu,” ujarnya.

Kata Sam, dia masih belum berpuas hati dengan pencapaiannya. Kecuali jika industri filem dan hasil kerjanya ditonton sehingga keluar negara.

“Ini sebenarnya satu permulaan buat saya untuk menghasilkan sesuatu yang lebih baik di masa-masa akan datang,” katanya yang akan muncul untuk lima filem pada 2012 iaitu Songlap, 8 jam, Aku Ada Kau Ada, Adnan Sempit 2 dan Nyangkung 2.

sumber : KOSMO! Online

No comments: