Wednesday, September 28, 2011

National Geographic tayang hutan Malaysia



Hutan hujan Malaysia di National Geographic
28/09/2011 9:23pm

PUTRAJAYA — Hutan hujan Malaysia yang terkenal seperti di pusat perlindungan gajah Kuala Gandah di Pahang, Taman Negara dan Tasik Kenyir akan ditunjukkan kepada dunia menerusi saluran National Geographic tahun depan.

Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr. Ng Yen Yen berkata filem dokumentari ‘The Malaysian Journey: Hutan’ itu yang akan diulas oleh pelakon aksi Hollywood, Jason Scott Lee akan berperanan utama dalam usaha Malaysia mempromosikan sektor ekopelancongan.

"Kita memiliki hutan hujan tertua di dunia dan ramai pelancong terbang ke negara ini kerana kita ada banyak rimba sama ada di bahagian timur atau barat Malaysia,” katanya di majlis pelancaran dokumentari tersebut bersama Lee, di sini hari ini.

Pembikinan filem dokumentari selama satu jam itu yang diterbitkan bersama saluran FOX International dengan Pelancongan Malaysia siap pada penghujung minggu lepas.

Kedua-dua pihak telah bekerjasama sejak lapan tahun lalu dan menerbitkan beberapa program yang berjaya dengan dibantu oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas).

Sementara itu, Lee berkata, beliau sangat teruja untuk menerokai hutan hujan Malaysia yang terkenal itu dengan memberi keutamaan pentingnya memelihara ekopelancongan.

"Saya juga telah berpengalaman tinggal di sebuah kampung dan belajar mengenai kepelbagaian budaya di sini,” katanya.

Pada tahun 2007, Lee yang menjadi pendokong kuat terhadap alam sekitar dan pemeliharaannya menjadi pengulas dan mempersembahkan bahagian pertama dokumentari ‘Malaysian Journey’ mengenai seni silat oleh seorang juru silat tempatan, kehidupan kaum Rungus di Sabah dan tinggal bersama nelayan di Langkawi. 

— Bernama

No comments:

Sila klik