Monday, July 14, 2014

Siasat sejadah berimej makhluk

Md Nasa (kanan) dan Dr Mohd Hisham menunjukkan lakaran gambar menyerupai makhluk pada sejadah yang kebanyakannya digunakan di surau dan masjid.

MOHD IZZATUL IZUAN TAHIR
13 Julai 2014

SABAK BERNAM – Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Daerah Sabak Bernam meminta Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) mengenal pasti sejadah yang mengandungi gambar makhluk yang terdapat di surau dan masjid, disimpan atau dibakar agar tidak digunakan jemaah.

Pengerusi Unit Penggunanya, Md Nasa Md Yatimi berkata, hasil pemerhatian Perkim di kebanyakan masjid dan surau di daerah itu mendapati terdapat pelbagai gambar makhluk menyerupai manusia, patung dan haiwan pada sejadah.

Menurutnya, Jais seharusnya mengeluarkan satu garis panduan kepada umat Islam bagi memastikan sejadah yang digunakan di surau dan masjid termasuk di setiap rumah tidak mengandungi unsur pemujaan terhadap makhluk lain selain ALLAH.

“Kita minta Jais memandang serius perkara ini kerana tidak mahu umat Islam terus menggunakan sejadah yang berunsur pemujaan yang boleh merosakkan akidah,” katanya.

Md Nasa berkata, umat Islam yang menggunakan sejadah setiap kali menunaikan solat di rumah juga perlu memastikan ia bebas daripada sebarang unsur yang tidak sepatutnya.

Pengarah Dakwah Perkim Daerah Sabak Bernam, Dr Mohd Hisham Surgi berkata, selain Jais, Kementerian Dalam Negeri (KDN) juga diminta supaya memastikan sejadah yang diimport dari negara luar tidak mengandungi unsur terbabit.

Menurutnya, kemasukan sejadah dari negara luar yang mengandungi gambar makhluk dipercayai berpunca daripada kilang pembuatannya milik bukan Islam.

“KDN perlu memandang serius berhubung perkara ini kerana kita tak mahu ada pihak luar cuba menggugat kesucian Islam dengan sewenang-wenangnya menjual barangan yang boleh mendatangkan perbuatan syirik.

“Apabila syirik berlaku, maka doa yang menjadi senjata mukmin tidak akan termakbul dan mereka (musuh Islam) dalam senyap telah melemahkan umat Islam secara halus,” katanya.

Selain itu katanya, sejadah yang mempunyai lakaran pelbagai corak juga menjejaskan kekhusyukan umat Islam ketika mengerjakan ibadah wajib itu.

“Perkim berharap supaya Jais dan KDN dapat memastikan sejadah yang digunakan di kebanyakan surau dan masjid serta dijual di pasaran tidak mengandungi unsur syirik yang boleh menjejaskan akidah umat Islam.

“Kita mencadangkan supaya semua surau dan masjid tidak menggunakan sejadah yang bercorak dan hanya menggunakan satu warna bagi memelihara kesucian sewaktu beribadah,” katanya kepada Sinar Harian.

No comments:

Sila klik