Sila klik

Thursday, December 8, 2011

Dakwat kekal yang pernah diuji dan diluluskan bagi Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12) 2008 boleh digunakan untuk PRU-13 jika kandungan bahannya masih sama

'Dakwat patuhi syarak'
Oleh Faiza Zainudin, Azman Mahmood, Shaarani Ismail dan Mohammad Ishak
bhnews@bharian.com.my
2011/12/08




Prof Emeritus Tan Sri Dr Abdul Shukor Husin. Bahan pernah diuji, boleh guna kecuali berubah kandungan



KUALA LUMPUR: Majlis Fatwa Kebangsaan berpendapat dakwat kekal yang pernah diuji dan diluluskan bagi Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12) 2008 boleh digunakan untuk PRU-13 jika kandungan bahannya masih sama.

Pengerusinya, Prof Emeritus Tan Sri Dr Abdul Shukor Husin, berkata selagi dakwat itu menggunakan bahan sama seperti pernah diuji, ia boleh digunakan kerana kandungannya mematuhi syarak dan tidak menimbulkan sebarang kemudaratan atau masalah kepada umat Islam melakukan ibadat.

“Bagaimanapun, jika jenis dakwat yang akan digunakan nanti (PRU-13) berbeza dengan dakwat yang sudah diputus dan diuji sebelum ini (PRU-12), maka ia perlu dianalisis terlebih dulu Jabatan Kimia sebelum diserah kepada JAKIM (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) dan Majlis Fatwa bagi diputuskan sama ada ia boleh digunakan atau tidak kerana dikhuatiri mengandungi bahan terlarang,” katanya ketika dihubungi semalam.

Beliau berkata ketika diminta mengulas sama ada majlis perlu mengkaji semula dakwat kekal yang akan digunakan PRU-13 berikutan keputusan SPR untuk melaksana sepenuhnya proses pengundian mengguna dakwat kekal.

Sebelum ini, dakwat kekal yang dicadangkan digunakan untuk PRU-12 diuji dan keputusan muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan pada Ogos 2007 mendapati dakwat itu tidak mengandungi bahan najis diharamkan syarak, tidak mendatangkan mudarat kepada kesihatan serta tidak menghalang air sampai ke kulit apabila digunakan.

Uji kaji dijalankan Jabatan Kimia Malaysia juga mendapati dakwat kekal itu yang mengandungi alkohol etanol juga tidak menimbul masalah ibadat bagi orang Islam. 

Bagaimanapun, dakwat itu dilupuskan menerusi proses pembakaran pada November 2009 berikutan faktor keselamatan dan perundangan.

Difahamkan kerajaan mengimort dakwat hitam bernilai hampir RM2.4 juta dari India. Negara berkenaan menggunakan dakwat kekal sejak 1951 dan memperoleh bekalan dari Mysore Paints dan Varnishes Ltd (MPVL), milik kerajaan negeri Karnataka sejak 1959. Penggunaan dakwat itu dikatakan cukup berkesan bagi mengelak pengundian berganda.
- berita dari Berita Harian Online

No comments: