Sunday, March 6, 2011

Tiket penerbangan dibiayai




MERLIMAU - Kerajaan Negeri melalui Yayasan Melaka membelanjakan RM241,980 untuk membiayai tiket kapal terbang pelajar Melaka pulang ke Mesir bagi menyambung pelajaran yang tertangguh akibat pergolakan berlaku di negara itu. Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata, seramai 322 orang pelajar akan kembali semula ke bumi ambia’ itu menaiki pesawat Syarikat Emirates Air dengan penerbangan pertama yang dijadualkan esok. 

“Kerajaan Negeri hanya membiayai sebanyak RM2,000 seorang dan baki RM180 akan ditanggung keluarga masing-masing dan hari ini (semalam) Yayasan membuat penyerahan tiket kepada 111 orang pelajar perubatan dan selebihnya akan diberikan kemudian. 

“Penghantaran balik ini akan dibuat secara berperingkat mengikut tarikh dan masa dijadualkan dengan penerbangan pertama pada jam 2.10 pagi dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan transit di Dubai sebelum sampai ke Kaherah,” katanya selepas Majlis Penyerahan Tiket Pulang Pelajar Mesir dan Pelancaran Ikatan Mahasiswa Anak Melaka (IMAM) di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Abd Rahman Yaakub, di sini, semalam. 

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Sains dan Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Datuk Yaakub Md Amin; Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Sains dan Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Datuk Ab Wahab Ab Latip; Pengurus Besar Yayasan Melaka, Sharabuddin Kudus dan Timbalan Pengerusi IMAM, Omar Mohd Mokhtar. 

Mohd Ali berkata, turut mengingatkan pelajar supaya berwaspada dan berjaga-jaga dengan sebarang kemungkinan berlaku, walaupun keadaan di Mesir dikatakan sudah pulih. 

Dalam perkembangan lain, Mohd Ali meminta pelajar dan keluarga yang ingin memohon pinjaman pelajaran supaya terus bertemu pihak Yayasan Melaka tanpa perlu melalui ejen. 

“Difahamkan, pelajar atau keluarga perlu membayar sehingga RM15,000 kepada ejen yang berjanji akan mendapatkan bantuan atau pinjaman pelajaran sedangkan jika terus kepada yayasan, tiada bayaran dikenakan. 

“Risiko tinggi melalui ejen apabila ejen tidak dapat menunaikan janji mereka dan duit burn... siapa yang rugi? Oleh itu, saya harap pelajar atau ibu bapa selepas ini terus jumpa pihak yayasan jika mahu mohon pinjaman,” katanya. 


sumber : Sinar Harian

No comments:

Sila klik