Bantu Jentera PRN Negeri Sembilan & Melaka Bergerak, Bantu Suara Islam Terus Dibawa

Thursday, June 16, 2011

Pertimbangan membeli kereta baru

Pertimbangan membeli kereta baru

Terfikir untuk membeli kereta baru? Bagi mencari sebuah kereta baru yang benar-benar memenuhi kriteria yang disenaraikan bukanlah mudah kerana ia mungkin memakan masa lama dan sukar, tetapi jangan stres. 

Perkara pertama yang perlu dilakukan ialah jangan menghabiskan masa dengan mencari terlalu banyak informasi melalui Internet kerana anda mungkin tidak mahu melebihi bajet yang ditetapkan kerana terlalu rambang mata. 

Memperuntukkan lebih banyak wang tidak bermaksud kereta itu lebih tahan lama, terdapat beberapa kereta yang bagus, tahan lama, tidak mahal dan tidak bagus, tidak tahan lama serta mahal. 

Semua pihak tahu adalah penting membuat kajian sebelum berfikir untuk melakukan uji pandu di pusat pengedar berhampiran, tetapi tidak semua mengetahui langkah-langkah tinjauan yang akan membawa kepada persetujuan adil pada akhir perbincangan. 

Langkah pertama yang perlu dilakukan adalah melakukan kajian dari segi kereta yang sesuai dengan kewangan anda, meneroka beberapa kenderaan kemungkinan (termasuk kereta terpakai) dan mengunjungi lebih dari satu pusat pengedar kereta bagi melakukan beberapa perbezaan sebelum memutuskan pembelian. 

Berbekalkan kajian berkenaan, apabila anda mengunjungi pusat pengedar dengan keyakinan, pengetahuan dan potensi fikiran terbuka, anda sudah arif dengan penerangan yang diberikan dan boleh melangkah keluar bila anda mahu. 



Kesalahan biasa, fikir secara rasional 

Berdasarkan kajian dilakukan melalui Internet, pembeli perlu mengetahui, bila, di mana untuk membelanjakan wang diperlukan sebelum memutuskan untuk membeli. Sebagai permulaan, kenal pasti dahulu adakah anda benar-benar memerlukan kenderaan baru, hanya kerana anda terpaksa membelanjakan RM80 untuk mengisi minyak setiap minggu tidak bermaksud ia adalah perlu untuk menukar kepada kereta lebih kecil. 

Ketersediaan hibrid misalnya dengan harga yang tidak semua mampu milik, jadinya sesuatu yang kecil mahupun hibrid mungkin akan menjimatkan wang bagi kos minyak atau membuatkan anda berasa lebih baik tentang diri sendiri, tetapi ia bukanlah semestinya pilihan murah, khususnya bagi anda yang sudahpun memiliki kereta kurang kecekapan bahan bakar. 

Realitinya anda masih perlu melakukan kiraan. Kereta yang lebih cekap melibatkan lebih kos pada masa kini, malah nilai kereta juga akan turun sekiranya mahu dijualkan kembali, tidak seperti nilai hartanah yang sentiasa meningkat. 

Sekiranya anda memutuskan untuk membeli kereta baru, seharusnya lebih peka tentang urusan harga keseluruhan kereta berkenaan berbanding bayaran bulanan. Kebiasaannya pengedar lebih gemar membuat kiraan kemampuan pembeli berdasarkan bayaran bulanan, tetapi ia boleh membuatkan anda tertipu, sekiranya dilanjutkan lebih lama, lebih banyak wang yang dilaburkan. 

Langkah lain adalah bekerjasama dengan jabatan jualan pengedar Internet berbanding bersemuka dengan jurujual. Ini kerana jurujual lebih mencuba untuk mendapatkan keuntungan, lebih mahal harga jualan lebih tinggi komisen yang diperoleh. Manakala pengurus Internet mendapat gaji dan bonus berdasarkan volume. 

Semua perkara yang dinyatakan perlu dipertimbangkan oleh pembeli sebelum        berkira-kira untuk membeli kereta baru.


sumber: Sinar Harian Online

Wednesday, June 15, 2011

Facebook semakin lesu


KEBANYAKAN pengguna Facebook menutup akaun mereka kerana bimbang data dan maklumat peribadi diceroboh oleh individu tidak bertanggungjawab.


BRITAIN - Penutupan akaun laman jaringan sosial Facebook yang semakin meningkat sejak kebelakangan ini seolah-olah menjadi petanda kepada permulaan zaman lesu laman web tersebut.
Pakar psikologi Internet, Graham Jones memberitahu pengguna Facebook mula berasa bosan setelah satu tempoh masa menggunakan Facebook.
"Adalah sesuatu yang normal bagi seseorang individu teruja menggunakan sesuatu yang baru. Dia kemudian akan berasa bosan dan beralih pada perkara baru," katanya.
Kajian berkaitan penggunaan Facebook yang dijalankan di United Kingdom (UK) menunjukkan sebanyak 100,000 pengguna di Britain telah menutup akaun mereka sejak bulan lalu.
Penutupan secara mendadak itu turut dikaitkan dengan kebimbangan pengguna Facebook mengenai pencerobohan data dan maklumat peribadi mereka. Malah, timbul spekulasi bahawa laman Facebook juga bakal berdepan waktu suram seperti yang dialami MySpace dan Friendster.
Awal tahun ini, para eksekutif Facebook mengumumkan jumlah pengguna laman web itu UK mencecah 30 juta, iaitu separuh daripada populasi penduduk UK.
Di Amerika Syarikat (AS), jumlah pengguna Facebook juga jatuh merudum kepada 149.4 juta pengguna berbanding 155.2 juta sebelum ini. - Agensi
sumber: KOSMO Online

Tuesday, June 14, 2011

KL Gangster raih RM6.2 juta


Oleh Rozdan Mazalan
rozdan@bharian.com.my
2011/06/14

Babak dalam KL Gangster.
Babak dalam KL Gangster.
Kutipan selepas empat hari tayangan, atasi saingan filem Hollywood 

FILEM tempatan sudah ada penontonnya tersendiri walaupun dengan kemasukan filem daripada luar negara.
Kali ini dibuktikan dengan filem penuh aksi terbitan Skop Production Sdn Bhd, KL Gangster yang meraih kutipan menakjubkan sehingga RM6.2 juta hanya dalam tempoh empat hari tayangan, bermula 9 Jun sekali gus melakar sejarah tersendiri.


Biarpun bersaing dengan beberapa filem blockbuster Hollywood seperti Kung Fu Panda 2, X-Men: First Class dan Super 8, buah tangan Syamsul Yusof itu nyata punyai tarikan sendiri. 

Syamsul berkata, dia tidak menyangka sambutan luar biasa diberikan penonton walau pada masa yang sama berhadapan dengan dakwaan Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (PEKIDA) berhubung pendedahan kod rahsia. 

“Memang saya tidak menafikan, sedikit sebanyak isu itu menarik penonton ke pawagam untuk mengetahui apa yang digembar-gemburkan. Tetapi sebenar sebelum isu itu timbul lagi sambutannya cukup menakjubkan pada hari pertama tayangan apabila meraih kutipan RM1.5 juta. 

“Alhamdulillah, saya sangat bersyukur kerana dari hari pertama hingga hari ini (semalam) sambutan filem ini masih lagi mencipta sejarah untuk penerbitan filem Melayu dari syarikat Melayu sendiri,” katanya yang dihubungi Hip semalam. 
Sebagai pengarah muda yang berjaya, Syamsul menyatakan bukanlah haknya untuk bercerita mengenai kutipan tiket, malah lebih bersemangat bercerita mengenai kehendak penonton masa kini. 

“Sebenarnya jika hendak ikutkan, saya bukanlah orang yang layak untuk bercerita mengenai kutipan tiket, ia adalah hak produser iaitu ayah saya sendiri. 

“Secara peribadi pada pengamatan saya, hari ini saya melihat ramai produser filem seolah lebih mengejarkan kepada kutipan tiket dan rekod baru yang ingin dicipta. 

“Saya sebenarnya tidak begitu selesa apabila orang mengajukan mengenai rekod yang hendak dicipta melalui filem arahan saya. Kalau boleh saya lebih suka memikirkan apa lagi yang dimahukan penonton kita hari ini dan melihat kualiti produk kita mampu atau tidak menyamai filem Hollywood,” katanya lagi. 

Selain Syamsul, KL Gangster turut dibantu sepupunya, Rizal Ashraf, selain bapanya sendiri, Datuk Yusof Haslam turut menyumbangkan idea. Ia menampilkan Aaron Aziz selaku watak utama, Syamsul sendiri, Adi Putra, Zul Huzaimy, Sheera Iskandar, Wan Maimunah dan Ridzuan Hashim. 



sumber: Berita Harian Online

Monday, June 13, 2011

Pekerja Sektor Kewangan Dan Perbankan Terima Bonus Terbaik

imej dari google

KUALA LUMPUR, 13 Jun (Bernama) -- Lebih 50 peratus daripada pekerja yang menerima bonus lebih enam bulan terdiri daripada mereka yang berkhidmat dalam industri perbankan dan kewangan, demikian menurut kajian yang dilakukan oleh JobStreet.Com.

Daripada jumlah itu, profesional, dengan separuh daripada mereka, menerima bonus RM50,000 atau lebih, katanya dalam satu kenyataan Isnin.

Responden membabitkan 48 peratus eksekutif kanan, 24 peratus pengurus, 18 peratus eksekutif muda dan 10 peratus pengurus kanan.

Majoriti daripadanya berkhidmat dengan 10 industri terkemuka di Malaysia, seperti pembuatan, kewangan dan perbankan, perundingan, teknologi maklumat dan komunikasi, pembinaan, pendidikan serta peruncitan dan pemborongan.

Ia bagaimanapun berkata lebih 70 peratus responden tidak berpuas hati terdapat jumlah pembayaran bonus masing-masing.

-- BERNAMA

Thursday, May 26, 2011

Nik Aziz dakwa Umno-BN ‘cipta’ label ulama, profesional di PAS


May 26, 2011
KUALA LUMPUR, 26 Mei — Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menegaskan tidak wujud dua kumpulan — ulama dan profesional, yang didakwa bersaing mahu menguasai barisan kepimpinan parti Islam berusia enam dekad itu.
Sebaliknya kata beliau, istilah golongan ulama dan profesional itu yang seringkali timbul ketika pemilihan parti, sebenarnya “dihidupkan” oleh Umno-Barisan Nasional (BN).
Nik Aziz (gambar) berkata demikian menjelang pemilihan kepimpinan PAS pusat awal bulan depan dengan tumpuan beralih kepada persaingan jawatan timbalan presiden dan naib presiden.
Jawatan timbalan presiden bakal menyaksikan pertarungan tiga penjuru membabitkan penyandangnya Nasharudin Mat Isa, Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan ahli jawatankuasa kerja pusat Mohamad Sabu.
Sementara itu, jawatan naib presiden juga bakal menyaksikan pertarungan sengit.
Datuk Seri Abdul Hadi Awang telah berjaya mengekalkan jawatan presiden tanpa cabaran.
Mereka yang mahu bertanding jawatan tertinggi PAS harus mengesahkan pencalonan mereka sebelum pukul 5 petang ini.
“Kononnya kedua-dua (ulama dan profesional) ini adalah inti yang berlawanan antara satu sama lain. Sedangkan hakikatnya tidak pernah wujud jurang antara ulama atau professional dalam PAS kecuali jurang yang diada-adakan oleh Umno-BN.
“Jikapun ada, kedua-duanya tidak lebih melainkan hanyalah caj positif dan caj negatif yang apabila bergabung menjadi arus eletrik yang cukup kuat untuk memberikan renjatan kepada Umno-BN,” kata Nik Aziz menerusi laman Facebook malam tadi.
Oleh itu kata Menteri Besar Kelantan itu, barisan kepimpinan PAS terdiri daripada pelbagai latar belakang pendidikan dan kemahiran.
Justeru, tegas Nik Aziz, walaupun berbeza latar belakang, namun dasar perjuangan dan matlamat yang hendak dicapai tetap sama.
“Tidak ada apa yang pelik jika kepimpinan PAS dilatari oleh individu yang datang dari pelbagai bidang pendidikan dan kemahiran.
“Di zaman Rasulullah SAW, sahabat-sahabat baginda mempunyai latar belakang yang pelbagai.
“Oleh yang demikian, tidak ada yang pelik jika di dalam PAS ada kepimpinannya dari pelbagai latar belakang. Profesional dalam PAS itulah golongan ulama, dan ulama dalam PAS itulah professional.
“Semuanya menjadi batu bata membentuk benteng kukuh berdepan dengan ombak sekular. Hari ini, gelombang sekular sedang ganas membadai. Jika dulu, ada gelombang berwarwa biru, hari ini pula ia berwarna merah,” katanya merujuk kepada kempen yang kini digunakan Umno untuk merampas Kelantan.
Tambah Nik Aziz, beliau berharap perwakilan akan membuat keputusan bijak dalam memilih barisan kepimpinan parti untuk meneruskan agenda perjuangan PAS.
“Harapan saya, muktamar yang akan diadakan pada minggu hadapan ini akan membuahkan hasil yang terbaik untuk perjuangan Islam.
“Kepada para perwakilan, pilihlah pemimpin yang bertaqwa kepada Allah. Ikhlaskanlah hati, dan letakkanlah pertimbangan semasa memilih di atas neraca iman kepada Allah, insya-Allah, saya yakin pilihan para perwakilan nanti adalah yang terbaik untuk meneruskan perjuangan PAS di persada politik tanah air,” katanya.
sumber: The Malaysian Insider

Wednesday, May 18, 2011

Terlalu beri kemewahan

Oleh Ruhaiza Rusmin
ruhaizarusmin@hmetro.com.my
     
CABARAN BARU...keluarlah daripada kepompong keselesaan demi menimba pengalaman bersama rakan-rakan baru.
CABARAN BARU...keluarlah daripada kepompong keselesaan demi menimba pengalaman bersama rakan-rakan baru.
DIBANDINGKAN kehidupan dan cabaran pelajar dulu dan sekarang,
memang banyak perbezaan.

Jika dulu hanya berjalan kaki atau menaiki basikal, sekarang ada pengangkutan
ke sekolah atau kereta yang menanti di depan rumah malah jika dulu hanya
menjamah makanan asas sebagai alas perut, kini dilambakkan pelbagai juadah hebat.
   
  • FotoBOLEH BUAT...tanpa mengira jantina, pelajar perlu belajar berdikari sebagai persediaan menempuh alam selepas pengajian.
  • FotoPERLU ADA...komputer riba juga kini menjadi satu kemudahan utama kepada pelajar untuk menyiapkan tugasan menjadikan segalanya semakin mudah.
  • FotoKEJAYAAN...pelajar yang tabah menghadapi cabaran sepanjang pengajian kini meraikan kejayaan.
  • FotoSATU KEMESTIAN...dulu telefon bimbit dianggap barangan mewah, namun semua mampu memilikinya termasuk pelajar meskipun masih belum mempunyai pendapatan tetap.

Monday, May 16, 2011

Penduduk akui Ladang Rakyat tak rampas tanah

M Faqih


GUA MUSANG, 16 Mei: “Ladang Rakyat tidak pernah rampas tanah rakyat. Kalau ada tanaman mereka tidak masukkan dalam kawasan projek.

“Lagi pun kawasan yang diambil Ladang Rakyat kesemua tanaman yang pernah ditanam tidak menjadi akibat dimakan binatang liar,” kata Ramli Abdul Rahman, 57 ketika ditemui di Kampung Baru Star.

Kampung tersebut terletak kira-kira 25 km dari bandar Gua Musang. Kedudukannya di laluan yang menghubungkan Gua Musang dan Jeli melalui Jelawang, Dabong.

Di sebelah timur bukit di kampung itu, tidak jauh dari masjid terletak projek perladangan sawit diusahakan Ladang Rakyat.

Kelapa sawit yang ditanam tiga tahun lalu kini ada yang sudah berbuah.

Ramli memberitahu Ladang Rakyat tidak pernah merampas tanah penduduk kampung seperti didakwa sesetengah pihak melalui media massa sebelum ini.

”Saya masih ingat lagi sewaktu Allahyarham Chek Hashim Sulaiman menjadi Penyelia Dun Galas acap kali beliau datang menemui penduduk membincangkan cadangan Ladang Rakyat membangunkan ladang sawit di sini.

”Kalau tidak silap enam kali beliau datang. Perjumpaan diadakan di masjid Star Baru dan Madrasah di Kampung Kalai,” katanya.

Menurutnya dua tahun berbincangan diadakan dan penduduk berpuas hati apabila kawasan yang sudah ditanam dikeluarkan daripada projek Ladang Rakyat.

Beliau juga meluahkan rasa pelik selepas lebih empat tahun projek Ladang Rakyat dijalankan mengapa pula baru sekarang ada penduduk di sesetengah tempat mempertikaikan.

Oleh itu beliau mengsyaki ada orang tengah yang menjual tanah milik kerajaan cuba menimbulkan pelbagai dakwaan bukan-bukan terhadap Ladang Rakyat.

Seramai 10 penduduk ditemui di Kampung Star Baru Sabtu lalu menjelaskan perkara serupa seperti diberitahu Ramli.

Di majlis berasingan pada malam bertempat di padang Majlis Daerah Gua Musang lebih 1,000 penduduk hadir mendengar penjelasan mengenai isu membabitkan Ladang Rakyat.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Ladang Rakyat, Dr Nazmi Ghazali Azmi tampil menjelaskan isu tersebut yang turut dihadiri Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan anggota Exco, Datuk Mohd Amar Abdullah.

Turut hadir Penyelia Parlimen Gua Musang, Ustaz Abdullah Hussin, Penyelia Dun Galas, Dr Zulkefli Mohamad dan Penyelia Dun Paloh, Hamdan Jusoh.

Biar pun hujan pada sebelah petang, namun orang ramai tetap hadir bagi mendengar penjelasan sebenar mengenai isu Ladang Rakyat selepas diberi imej negetif media harian proUmno.

Dr Nazmi berkata, sejak daripada awal lagi pemimpin Umno cuba menggagalkan projek Ladang Rakyat apabila mereka menentang ketika Enakmen Perbadanan Pembangunan Ladang Rakyat dibentang pada persidangan Dun Kelantan.

Katanya, selama dua hari setengah enakmen tersebut dibahas dan akhirnya perbadanan tersebut berjaya diwujudkan dengan undian 23 Adun PAS menyokong dan 22 Adun BN menentang.

”Umno menentang kewujudan program Ladang Rakyat kerana program ini memberi kebajikan kepada rakyat di mana sehingga akhir tahun lepas sebanyak RM40 juta dibayar kepada lebih 4,300 peserta.

”Kejayaan program ini dapat dilihat apabila pada pilihan raya umum Mac 2008 Adun BN yang menentang penubuhan Ladang Rakyat kecundang dalam pilihan raya sehingga tinggal enam orang,” ujarnya.

Beliau juga menjelaskan biar pun Umno mendesak kerajaan negeri mengeluarkan kertas putih kononnya berlaku penyelewengan membabitkan Ladang Rakyat, namun audit yang dilakukan Jabatan Audit Negara tidak menemui sebarang penyelewengan.

Menteri Besar pula menyokong cadangan Ladang Rakyat menyaman pihak yang membuat tuduhan tidak berasas terhadap agensi terbabit.

sumber : Harakahdaily

Sila klik