Saturday, October 24, 2015

Sentiasa diperhatikan ALLAH



TIDAKLAH manusia dijadikan sia-sia dan dibiarkan tanpa petunjuk. Kebaikan sama sekali tidak akan luput, kejahatan tidak akan dibiarkan dan pengadil tidak akan mati.

Kerana itu, perlulah kita muraqabah (berasa sentiasa diperhatikan ALLAH SWT) kerana ALLAH dengan sifat-Nya, Al-Raqiib sememangnya sentiasa memerhati kita dan mengetahui segala tindak-tanduk amal perbuatan manusia. Akhirnya, segala amalan manusia akan diadili-Nya.


Erti ihsan

Dalam sebuah hadis, Jibril AS bertanya kepada Rasulullah SAW perihal erti ihsan. Jawab Nabi SAW: "Ihsan adalah engkau sembah ALLAH seolah-olah engkau melihat-Nya: Jika engkau tidak melihat-Nya sesungguhnya Dia melihat engkau." (Riwayat Bukhari & Muslim)

Hadis di atas menjelaskan, kita dituntut supaya sentiasa mempunyai sifat muraqabah. Ini yang dimaksudkan dengan ihsan. Berdasarkan pengertian ihsan, ia menuntut supaya kita sentiasa takut, gerun dan mengagungkan ALLAH. Hadis ini juga mewajibkan sifat ikhlas dalam beribadah di samping mencantikkan ibadah yang dilakukan, mengelokkan dan menyempurnakannya.

Nabi SAW berpesan kepada beberapa sahabatnya mengenai hal ini. Kata Abu Dzar RA: "Kekasih sehati sejiwaku SAW telah berwasiat kepadaku supaya aku takutkan ALLAH seolah-olah aku melihat-Nya; jika aku tidak melihat-Nya sesungguhnya Dia melihatku."

Kata Abdullah bin Omar RA: "Rasulullah SAW telah memegangku dan berkata: sembahlah ALLAH seolah-olah engkau melihat-Nya."

Hakikat ini disebutkan berulang kali dalam banyak tempat dalam al-Quran, antaranya dalam Surah Al-Hadiid ayat 4 dan Surah Al-Baqarah ayat 186.

Oleh itu, barang siapa yang sentiasa muhasabah dirinya di dunia maka akan ringanlah urusan hisabnya di hari akhirat. Berbeza dengan orang yang bersikap lalai tidak muhasabah diri di dunia, akan banyaklah kesalahan yang dilakukannya. Dan di akhirat kelak dia akan menyesal.

Kata Khalifah Umar RA: "Tidaklah urusan penghitungan amal menjadi berat atas sesebuah kaum yang telah memandang mudah perbuatan mereka sehingga akhirnya mereka mendapati ALLAH telah menghitung berat amalan mereka walaupun sebesar zarah."

Hendaklah kita sentiasa berasa diperhatikan ALLAH kerana ALLAH sentiasa memerhatikan kita. Firman-Nya: "Sesungguhnya ALLAH sentiasa mengawasi kamu." (Surah Al-Nisaa': 1)


Diperhati & memerhati

Sifat muraqabah menjurus kepada erti mengetahui dan meyakini, ALLAH sentiasa memerhati zahir dan batin kita. Perhatian-Nya atas kita tidak pernah lekang. Tambah lagi, Dia telah mewakilkan atas setiap hamba-Nya malaikat pencatat yang menulis setiap kata dan perbuatan si hamba itu.

Firman ALLAH: "Tidak ada perkataan yang dilafazkan melainkan ada di sisi-Nya malaikat pengawas yang sentiasa bersedia." (Surah Qaaf: 18)

ALLAH berfirman lagi: "Sesungguhnya ada malaikat-malaikat yang menjaga dan mengawas segala perbuatan kamu; (malaikat) mulia yang ditugaskan untuk menulis (amal-amal kamu); mereka mengetahui apa yang kamu lakukan." (Surah Al-Infitaar: 10-12)

Pada hari kiamat nanti manusia akan membaca semua yang ditulis oleh malaikat pengawas daripada ucapan dan perbuatannya serta dihisab mengikut amalannya.

Firman ALLAH: "Pada hari setiap orang akan mendapati apa sahaja kebaikan yang telah dikerjakannya, sedia (dibentangkan kepadanya dalam kitab amalnya); dan demikian juga apa sahaja kejahatan yang telah dikerjakannya. (Ketika itu setiap orang yang bersalah) ingin kalau ada jarak yang jauh di antaranya dengan amalnya yang jahat itu." (Surah Ali Imraan: 30)


Baik atau buruk

Bahkan anggota tubuh badan juga akan bersaksi atas amalan yang dilakukan. Tangan, kaki, telinga dan mata akan berkata-kata pada hari akhirat nanti sebagaimana yang dijelaskan dalam Surah Yasin ayat 65 di samping ayat-ayat lain.

Bumi turut bersaksi pada hari kiamat mengenai apa yang manusia telah kerjakan di atasnya sama ada baik atau buruk. Sebagaimana firman-Nya: "Pada hari itu bumi pun menceritakan khabar beritanya." (Surah Al-Zalzalah: 4)

Sabda Nabi SAW: "Khabar beritanya adalah penyaksiannya atas semua hamba dan umat manusia perihal apa yang telah dilakukan atas muka bumi." (Riwayat Tirmizi, sahih)

Maka ALLAH mempersaksikan atas hamba-Nya kesaksian malaikat, nabi-nabi, bumi yang dipijak ketika sesuatu amalan itu dilakukan dan anggota tubuh badan yang melakukan perbuatan tersebut.

Jika hakikat ini dapat difahami, sewajarnya mukmin itu sentiasa muhasabah dan memperbaiki dirinya dengan menambahkan ketaatan dan bertaubat daripada kemaksiatan.

Malangnya manusia sering melupai kewajipan ini sehingga meninggalkan persiapan yang perlu dan lalai dalam melakukan ketaatan. Akhirnya umur di dunia dihabiskan dengan perkara yang sia-sia.


Cegah hal haram

Muraqabah, berasa sentiasa diperhatikan ALLAH bertujuan untuk mencegah manusia daripada melakukan hal-hal yang haram. Sifat inilah yang telah menghalang Nabi Yusuf AS daripada terjerumus dalam maksiat di kala dia digoda oleh isteri sang raja.

Firman ALLAH: "Dan perempuan yang Yusuf tinggal di rumahnya bersungguh-sungguh memujuk Yusuf mendatangi dirinya dan perempuan itu pun menutup pintu-pintu serta berkata: "Datanglah kepadaku." Yusuf menjawab: "Aku berlindung dengan ALLAH; sesungguhnya Tuhanku telah memeliharaku dengan sebaik-baiknya; sesungguhnya orang yang zalim tidak akan berjaya." (Surah Yusof: 23)

Sifat muraqabah jugalah yang telah menghalang si lelaki yang berkeinginan atas anak perempuan saudaranya untuk melakukan hal yang keji sehingga apabila tiba di atas perbaringan, anak perempuan saudara itu berkata: "Bertakwalah kepada ALLAH, jangan kau menyarung cincin kecuali dengan haknya." Kata-kata ini menyebabkan lelaki itu berhenti dan tidak meneruskan keinginannya semata-mata kerana takutkan ALLAH. Kisah ini disebut dalam hadis riwayat Bukhari dan Muslim.

Begitu juga dalam peristiwa seorang anak perempuan pada zaman Khalifah Umar Al-Khattab RA yang ibunya menyuruh supaya dia menipu dengan mencampurkan air dalam susu yang dijualnya di pasar. Si anak berkata kepada ibunya: "Wahai ibu, apakah ibu tidak takut kepada Umar?" Jawab ibunya: "Umar tidak melihat apa yang kita lakukan." Kata si anak: "Jika Umar tidak melihat kita, sesungguhnya Tuhan Umar melihat kita." Umar apabila mendengar percakapan itu berasa kagum dengan si gadis itu lantas mengahwinkan salah seorang anak lelakinya dengannya. Keturunan hasil daripada perkahwinan inilah Khalifah Umar bin Abdul Aziz lahir.

Betapa perlunya kita kepada muraqabah dalam setiap masa dan setiap perbuatan. Ini kerana ALLAH sentiasa bersama hamba-Nya di mana jua dia berada. Dia melihat apa yang kita lakukan serta menghitungnya.

Akhirnya ALLAH akan berkata: "Wahai hamba-Ku, sesungguhnya ia adalah amalanmu yang Aku akan hitung dan membalasnya; barang siapa memperoleh balasan baik maka hendaklah dia bersyukur atasnya dan barang siapa memperoleh selainnya maka janganlah dia salahkan sesiapa kecuali dirinya sendiri." (Riwayat Muslim)


No comments:

Sila klik