Monday, January 5, 2015

Bangkit selepas tragedi cinta 2014






PETANG itu, dalam ruang bicara kami, segalanya bagaikan kaku, tidak bergerak. Waktu turut larut dalam perasaan hiba kami. Hanya suara kecil yang sesekali tertahan-tahan, tersekat-sekat menjadi perantara.

Jika biasanya kami galak berceloteh, bercerita tentang fesyen, becok dengan petua-petua peribadi tentang cantik, diet berhemah dan macam-macam ‘bebelan mesra’ sesama kami- petang itu bahasa badannya terhad. Dia seolah hilang kata-kata sama sekali.

“Sedih, sangat sedih. Bah yang sangat teruk, tidak disangka sama sekali, Lofa tumpang bersedih untuk seluruh rakyat Kelantan dan di negeri-negeri lain juga. Semoga penghujung tahun 2014 yang penuh duka ini akan segera berakhir,” demikian kata pelakon asal Pasir Mas, Kelantan ini.

Bercakap soal 2014, bukan hanya kisah Disember yang kelabu kami bualkan. Tetapi menoleh dalam kenangan, tahun yang sama menghadiahkan pelbagai lagi ganjaran, yang datang dalam nuansa bukan sekadar hitam dan putih, malah kelabu juga bagi seorang Noor Neelofa Mohd Noor, 26.


Tidak keterlaluan jika dikatakan, Neelofa adalah artis muda yang paling sensasi untuk sepanjang 2014 ini apabila diari kehidupan sarat dengan warna suka dan duka, disayang dan dibenci sepanjang tahun lalu.

Tahun itulah juga dia putus cinta yang cukup merobek hati dan perasaan dengan seorang pelakon, tahun inilah juga dia dikutuk dan dicerca gara-gara penampilan buruk ala-ala maskot dalam satu acara hiburan, isu plagiat paten tudung dan macam-macam, tetapi Lofa tidak kalah.

Cercaan tidak menjadikan dia lemah, sebaliknya bangun mencari kekurangan diri. Juga, kisah cinta yang berakhir tidak dijadikan sebagai titik penamat, sebaliknya mengutip lekas puing-puing kesabaran untuk kekal bertahan.


Dia akhirnya membuat keputusan yang dilihat drastik untuk tidak larut dalam kecewa.

Dicerca bagaimana sekalipun, dia kekal bertahan dalam prinsip diri dan selepas beberapa ketika kita dapat melihat lahirnya seorang Neelofa yang baharu apabila dia bertukar penampilan kepada bertudung.

Lebih daripada itu, dalam usia muda juga, pada pandangan mata kita, dia antara artis yang menerima hidayah awal, mendekatkan diri dengan agama, belajar mengaji al-Quran semula, selain menimba ilmu hidup yang lain juga.


“Tidak dinafikan selepas putus cinta, memang Lofa ambil masa untuk kembali seperti sediakala terutama dari sudut spiritual. Lofa ambil pendirian untuk alih tumpuan ke lain, enggan larut dalam kecewa sangat.

Kita tahu, bila kita diduga, usah cepat mengalah dan kena buat sesuatu untuk alih perhatian. Tidak harus dalam kecewa selama-lamanya, itu tindakan yang kurang bijak. Jadi, Lofa tahu hanya dengan bisnes ia boleh melupakan rasa kecewa, rasa sedih, kepada benda yang baik untuk diri sendiri.

“Kekecewaan, putus harapan, benda baru yang Allah hendak beri. Bila difikirkan balik, keputusan yang Lofa ambil tu adalah satu keputusan yang bukan semua orang berani buat. Allah bagi kekuatan untuk Lofa lakukannya, itu adalah rahmat yang tiada nilainya,” katanya.


Seketika lari daripada masalah, Lofa mulakan dengan sambung belajar di Los Angeles pada Januari 2014 di Sekolah Filem dan Lakonan, Akademi Filem New York. Walau hanya sebulan, itu pemangkin untuk bekal semangat kekal positif. Mengeluarkan wang sendiri puluhan ribu ringgit untuk membayar yuran dalam kelas sekitar 35 jam, menetap di negara asing sendirian, ia adalah kenangan luar biasa berharga.

“Walaupun sekejap, ia tetap peluang. Sesuatu yang sukar untuk berulang, selepas balik daripada belajar itulah, Lofa seperti menjadi seorang yang baru.

Lalu pada Mac mula fokus kepada bisnes dengan kemunculan Lofa Lens, beralih ke bisnes jubah dan terbaharu tudung Naelofar Hijab.


“Menariknya dalam soal ini, bukan hanya Lofa seorang yang bergerak ke hadapan. Tetapi kami lakukan dalam semangat keluarga, seluruh keluarga. Emak, kakak, sepupu, bapa saudara, datuk dan nenek, semua bersama-sama menjalankan bisnes ini.

“Justeru, ini bisnes keluarga dan Lofa sangat berbangga dengan apa yang kami capai ini. Mudah-mudahan terus diberi kesempatan oleh Allah untuk berkembang, bukan hanya pada 2015 ini, tapi tahun ke hadapan juga,” katanya.

Hanya mengambil masa yang singkat untuk menebus kecewa, hari ini Lofa memberitahu bahawa dia tidak pernah menyesal dengan kisah cinta yang tidak menjadi itu. Berkali-kali dia tegaskan betapa dia sebenarnya memperoleh nikmat yang tidak ternilai harganya, kesan dari kekecewaan.


“Akhirnya kita akan fikir, semua benda yang jadi, ada baiknya jika kita mencari hikmah. Rasa bersyukur pula kerana peristiwa itu (putus cinta) berlaku. Kalau saya tak buat keputusan untuk berubah, rasanya saya tidak akan mampu capai apa yang saya lalui hari ini, pada tahap sekarang,” katanya lagi.

Terima lamaran Airish

Dalam kalut menguruskan jenama sendiri, Neelofa, masih laris sebagai duta produk kecantikan. Terbaharu, dia dilamar jenama kosmetik tempatan, Airish Miracle sebagai duta kecantikannya. Bukan sebarang duta, sebaliknya kata Lofa dia menjadikan kulit muka sendiri sebagai bahan ujikaji sebelum membuat keputusan menerima lamaran.


“Jujur Lofa katakan, apabila seseorang artis dilantik sebagai duta atau wajah kepada sesuatu jenama, ia adalah satu pencapaian peribadi yang menarik sekali. Dilantik sebagai duta Airish Miracle, adalah satu kebanggaan. Lebih penting lagi ialah ia satu tanggungjawab, bagaimana untuk saya mengangkat jenama baharu itu sendiri adalah satu cabaran yang bukan mudah.

Tidak semberono menerima tawaran, ia datang dengan pakej lengkap sebagai produk hebat, setelah Lofa sendiri mencubanya hampir setahun.

“Lofa sangat yakin dengan Airish kerana produk ini berkesan dan ada kelas tersendiri. Kalau menjadi duta, tetapi kita sendiri tidak memakainya, ia akan menjadikan kita susah hendak bercakap kepada orang. Tetapi untuk Airish, Lofa boleh katakan ia benar-benar membantu Lofa untuk mendapatkan kulit muka yang lebih licin, cantik dan segar sentiasa. 2015 lebih meyakinkan Lofa kerana menjadi wajah Airish,” katanya lagi.


Istana? Mahu kunci mulut

Tidak dapat tidak, 2014 Lofa juga banyak terkait dengan kisah, hubungan cintanya dengan pihak Istana. Kisah kononnya bakal dilamar untuk menjadi permaisuri di sebuah negeri berlegar-legar, kekal menjadi kisah yang tidak ketahuan hujung pangkalnya.

Pesan Lofa, usaha ditanya soal kisah cinta, jauh sekali soal lamaran yang kononnya pernah diterima.


Fokus hari ini bukan kepada kisah peribadi kerana dia belum sampai ke tahap sudah mahu mengakhiri hidup bujang. Selesa menjalani kehidupan seadanya, sebagai orang bisa, Lofa berharap agar segala spekulasi usah bercambah menjadi bersimpang siur. Kelak nanti, ada yang akan berkecil hati. Sebagai seorang wanita yang baru mencecah usia 26 tahun, dia hanya mahu menjalani kehidupan dengan lebih aman dan damai, menyusur ruang hidup yang semakin mendewasakan.

“Tentang khabar angin itu, rasanya tiada apa-apa yang perlu Lofa jelaskan. Walaupun Lofa adalah artis, tak semua kita perlu jelaskan apa-apa kepada sesiapa untuk memuaskan hati mana-mana pihak. Ini kerana, daripada hari pertama lagi cerita ini bermula, ia adalah sesuatu yang sangat sensitif, kerana ia membabitkan keluarga yang lain juga,” katanya, minta dimengertikan.

Lalu bagaimana, jika dalam diamnya itu, dalam enggan berkongsi cerita sebenar itu terus dianggap sebagai ‘diam-diam ubi yang berisi’? Ohhh, itu juga Lofa enggan peduli.


“Kalau orang hendak menganggap ada lamaran ke, hendak berkahwin ke, apa sekalipun....Biarlah mereka kekal dengan tanggapan mereka sahaja, saya tidak berhak untuk mengubah apa-apa.

“Yang Lofa tahu, untuk lebih selamat, baiklah Lofa sendiri ambil pendirian untuk ‘kunci mulut’. Saya hanya boleh cakap, saya tidak ada kata-kata untuk diungkapkan tentang itu,” katanya lagi, kali ini sedikit lebih serius.

Dalam hidup, setiap yang bernama manusia itu, perlu ada matlamat sendiri. Selagi masih solo, bukan menjadi kepunyaan orang, Lofa mahu mahkotakan segala impian dan cita-cita peribadi.


“Soal perkahwinan, segalanya akan sampai. Bila sampai masa dan ketika, dengan siapa saya akan berkahwin, dengan siapa saya akan meneruskan kehidupan, orang akan tahu juga kerana sebagai artis saya faham bahawa hidup saya akan terus diperhatikan.

“Tetapi buat masa sekarang, ‘perkahwinan’ saya yang sebenar-benarnya adalah dengan bisnes dan juga keluarga. Usah bertanya lagi soal ‘pelik-pelik’ yang lain ya,” pintanya dalam bahasa paling jujur.

- See more at: http://www.utusan.com.my/hiburan/bangkit-selepas-tragedi-cinta-2014-1.44434#sthash.IerMZHGA.dpuf

No comments:

Sila klik