Sila klik

Sunday, January 1, 2012

Gelora Politik 2012

2012 tahun 'berperang', akui pemimpin BN, Pakatan
Oleh : ZULAIKHA ZULKIFLI DAN NURUL NADIA MOHD KAMARUZAMAN
Tarikh : January 1, 2012







SHAH ALAM - Sementara spekulasi pilihan raya umum ke-13 berlarutan, ahli-ahli politik negara, dari kedua-dua Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR) melihat 2012 sebagai 'tahun untuk berperang' dengan persekitaran politik dijangka lebih panas dan hangat.

Ketika ditanya isu yang akan menghangatkan tahun 2011, Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi secara berseloroh berkata, "isu Tony Pua lah!"
Beliau merujuk kepada pelawaannya untuk bertemu dengan Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu bagi memberi gambaran jelas sebab berbilion ringgit dibayar untuk pembelian pertahanan.

Bagaimanapun jelas Menteri Pertahanan ini, isu yang akan kekal 'hangat' pada tahun 2012 ialah Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) dan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Putrajaya mengumumkan akan meminda Auku dan memansuhkan ISA, yang bakal digantikan dengan dua undang-undang baru.
Di sebalik itu, Mac ini genap empat tahun pilihan raya umum 2008 berlangsung.

"Tahun 2012, selain memperkasakan Umno, saya juga berharap walau berbeza pendapat dan pandangan, tetapi dalam soal agama, perpaduan ummah dan pertahanan negara, kita seharusnya tidak berbeza pendapat," katanya kepada Sinar Harian Online ketika ditanya mengenai 'gelora politik 2012'.

Sehubungan itu tambah beliau, Umno juga akan bekerja keras bagi memastikan kemenangan pilihan raya umum ke-13.

Katanya, tidak guna jika ada jawatan dalam parti tetapi tidak dapat membentuk sebuah kerajaan negeri dan persekutuan.

"Biarpun pembangkang merasakan mereka boleh cuba untuk menewaskan kami, hakikatnya rakyat telah sedar dengan tipu helah mereka," katanya yang turut mengharapkan agar segala cabaran pada tahun 2012 akan Umno hadapi dengan istiqamah, berlapang dada dan berfikiran terbuka.

Jelasnya, usaha harus digandakan untuk perpaduan dalaman dan menguatkan roh perjuangan dengan berintegrasi dalam menghadapi apa jua cabaran.

Rakan sejawatannya dari Pas, Salahuddin Ayub menekankan bahawa politik negara semakin bergerak ke arah politik yang lebih dinamik.

Katanya, tidak kira sama ada pembangkang atau kerajaan, mereka harus menuju ke arah politik berintegriti yang harus dijelmakan dengan mengambil kira persekitaran dan kemahuan generasi muda yang dilihat bakal memberi faktor kemenangan kepada parti.

"Tidak ada parti yang boleh rasa selesa dan berpuas hati dengan pencapaian yang mereka ada sekarang.

"Kita perlu bergerak pantas untuk membuktikan bahawa kepimpinan dan ketrampilan parti semakin meningkat," katanya.

Ahli Parlimen Kubang Kerian ini menambah, "saya yakin dan percaya bahawa keadaan semakin mendesak untuk kita khususnya Pakatan Rakyat untuk menempatkan diri mereka dalam hati rakyat yang mahukan perubahan dan mula menunjukkan sikap bosan mereka dengan isu skandal dan kebangkitan rakyat juga dilihat semakin diabaikan."
Selain itu, Salahuddin berkata, beliau mengharapkan agar kehendak dan dasar parti ke arah kontemporari.

"Kalau Pas berjaya untuk terjemah keseluruhan yang ada di dalam buku Negara Berkebajikan dan Buku Jingga, saya yakin kedudukan Pas akan lebih baik. Selain itu, Pas juga akan terus meyakinkan orang bukan Islam dan Melayu bahawa Pas relevan dan sesuai untuk rakyat beri pengharapan," katanya.

Dalam pada itu, Pengarah Komunikasi PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, 2012 merupakan tahun yang akan menentukan masa depan PKR dan PR.

Katanya, ia tahun penting kerana satu perubahan besar dalam senario politik diperlukan.

"Bagi PKR, sebagai komponen dalam pakatan rakyat, hasrat kita, matlamat kita adalah untuk bawa perubahan besar di peringkat persekutuan. Masa sudah sampai untuk rakyat Malaysia membawa satu kerajaan baru bersama PR," kata beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri kerusi Seri Setia.

Bagi DAP pula, fokus utama parti komponen PR ini ialah untuk memenangi pilihan raya.

Pengerusi DAP Selangor Teresa Kok berkata, dengan kedatangan tahun baru, beliau berharap akan ada penambahbaikan dari segi pentadbiran kerajaan dan juga politik negara.
"Saya juga berharap akan dapat kekalkan semua kerajaan negeri Pakatan Rakyat jika PRU-13 diadakan tahun ini," katanya yang juga Exco Kerajaan Negeri Selangor.

Bagaimanapun menurut Kok, walau tahun sudah berganti, Umno dan Perkasa akan terus memainkan isu politik perkauman dan isu sensitif lain.

"Tetapi pada saya, Pakatan akan mengekalkan tadbir urus yang baik bagi boleh menunjukkan kepada semua pihak yang PR mampu mentadbir kerajaan, malah akan lebih baik dari tahun sebelum ini.

"Kita harus lihat politik sekarang bukan lagi mengekalkan sesuatu parti politik, tapi berjaya secara bersama. Saya harap PR akan dapat kemenangan bersama dan mengekalkan perpaduan di kalangan kami," ujarnya.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung MIC S. Murugessan yakin suasana politik negara akan lebih rancak.

Katanya, ini disebabkan ramai pihak menganggarkan bahawa PRU-13 akan berlangsung tahun ini.

"Jadi saya rasa suasana politik negara akan lebih hebat (pada 2012)," katanya.

JUsteru katanya, MIC turut bermatlamat untuk menang pada PRU-13 dengan lebih cemerlang dan akan memastikan dapat menarik lebih ramai undi kaum India berbanding suasana tiga tahun lalu.

"Saya harap 2012 akan jadi tahun yang lebih cerah," katanya.

Seiring dengan pandangan itu, Ketua Penerangan Parti Progresif Penduduk, Datuk A Chandrakumanan juga percaya persekitaran politik pada 2012 akan "lebih panas dan vibran" berbanding tahun lalu.

"Melihat pada suasana semasa, saya percaya akan ada lebih banyak isu, di mana pembangkang pula akan sengaja mencetuskan isu-isu yang tidak berasas... tujuan mereka ialah mahu merosakkan imej negara dan memusnahkan negara," kata beliau yang turut menyentuh isu berkaitan dengan Auku.

- kredit untuk Sinar Harian Online

No comments: