Thursday, December 13, 2012

Malaysia ketinggalan dalam matematik dan sains


Kedudukan Malaysia jatuh dalam matematik dan sains, menurut kajian antarabangsa
December 12, 2012

KUALA LUMPUR, 12 Dis ― Pelajar Malaysia ketinggalan dalam bidang matematik dan sains berbanding dengan negara-negara lain, menurut kajian dua badan pendidikan antarabangsa dengan menunjukkan pencapaian sekolah menengah tahun ini lebih rendah dari sebelumnya.

Malaysia mendapat 440 mata dalam matematik untuk tingkatan dua ― bersamaan dengan gred lapan di seluruh dunia, dalam Kajian Sains Dan Matematik Antarabangsa (TIMSS) pada tahun 2011, di belakang Korea Selatan, Singapura, Chinese Taipei, Hong Kong dan Jepun yang menduduki lima tangga teratas seluruh dunia.

Pelajar berusia 14 tahun Malaysia juga gagal menyaingi rakan-rakan sebaya mereka di Israel dengan 516 mata, Lithuanian (502) dan Lebanon (449) disamping hanya di hadapan Thailand dengan perbezaan yang tipis, dengan mendapat 427 mata.

Dalam bidang sains, Malaysia mendapat 426 mata, bersamaan dengan Syria dan hanya mendapat mata tipis berbanding Palestin, Georgia dan Oman yang mendapat 420 mata.

Singapura mendapat mata tertinggi dengan 590 mata, Chinese Taipei (564), Korea Selatan (560), Jepun (558), Israel (516), Kazakhstan (490) dan Thailand dengan 451 mata.

Purata mata bagi TIMSS ialah 500 mata, dengan negara yang menunjukkan mata melebihi angka tersebut dianggap sebagai terbaik dalam dua bidang tersebut, manakala di bawah mata tersebut dianggap tidak mencapai prestasi yang dikehendaki.

TIMSS adalah kajian selama empat tahun untuk pendidikan sains dan matematik bagi gred empat dan lapan di seluruh dunia ― atau Darjah Empat dan Tingkatan Dua mengikut sistem pendidikan Malaysia.

Bagaimanapun, bagi Malaysia kajian hanya dilakukan bagi peringkat sekolah menengah dalam kajian tersebut.

Dalam kajian TIMSS menunjukkan Malaysia masih tidak mencapai prestasi yang baik dalam tiga kajian sebelum ini dalam dua bidang tersebut yang dianggap penting untuk negara mencapai negara berpendapatan tinggi.

Pada tahun 2007, purata pelajar Malaysia mendapat 474 mata di dalam matematik dan 471 di dalam sains dalam kajian TIMSS.

Dan pada tahun 1999, purata bagi pelajar ialah 519 mata bagi matematik dan 492 bagi sains.

Pelobi pendidikan, termasuk Kumpulan Bertindak Ibu Bapa untuk Pendidikan (PAGE) menyalahkan polisi kerajaan yang tidak tetap terutamanya dalam mengajar matematik dan sains mengakibatkan kejatuhan standard dalam bidang tersebut.

Kerajaan baru-baru ini melancarkan Pelan Pendidikan Nasional 2013-2025 bagi mencapai tempat tiga teratas untuk ujian Program Kajian Pelajar Antarabangsa (PISA) untuk 13 tahun dari sekarang.

Malaysia kini ditangga ketiga paling rendah.

Tetapi dalam perbentangan Bajet 2013, kerajaan Barisan Nasional juga memotong belanjawan pendidikan dari RM50 billion kepada RM38.7 billion, menimbulkan keraguan terhadap pelan pendidikan tersebut dalam usaha meningkatkan standard pendidikan negara.

Para penganalisis juga mencadangkan bahawa impian Malaysia untuk meningkatkan mutu pendidikan tidak akan berlaku selagi campur tangan ahli politik dalam membentuk polisi pendidikan negara.

sumber berita : The Malaysian Insider

1 comment:

siti zaidah Ahmad said...

pelajar kini sentiasa nakkan ganjaran...jalan pintas nak senang keje.....cikgu dah buatkan nota...dah sediakan nota dan jawapan untuk latihan....strategik cikgu dah mcm2 guru pelajari dan didedahkan.....last2 murid yang desperate sangat boleh kata..."cikgu bagi saya RM5 saya buat semua keje yg cikgu suwuh wat"...alahai dah mcm pemintak rasuah plak gaya

Sila klik